Peletakan jawatan Profesor Madya Dr Muhammad Faishal Ibrahim sememangnya mengejutkan ramai.

Apa tidaknya.

Sumbangan beliau kepada masyarakat dan negara memang besar. 

Sepanjang perkhidmatan lebih dua dekad, beliau dikenali sebagai pemimpin berjiwa rakyat – rajin turun ke padang dan mempunyai hubungan rapat dengan masyarakat.

Maka tidak menghairankan apabila berita peletakan jawatannya sebagai Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam disambut dengan rasa sedih dan simpati. 

Ada yang merasakan keputusan itu terlalu keras. 

Malah, ada juga yang berharap agar peletakan jawatan tersebut dapat ditarik balik.

Reaksi seperti ini boleh difahami. 

Maklumat yang diketahui orang ramai mengenai perkara tersebut masih terbatas, khususnya tentang kandungan sebenar pertukaran mesej dalam talian dengan seorang wanita.

Dalam era media sosial, maklumat tidak lengkap sering kali dikaburi dengan spekulasi.

Namun, kita perlu bergantung pada apa yang telah dinyatakan dengan jelas.

Berdasarkan maklumat setakat ini, jelas bahawa perkara tersebut memanglah serius. 

Ternyata, ini bukanlah sekadar salah faham kecil yang boleh diketepikan begitu sahaja.

Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong, menyifatkan pendedahan itu sebagai mengejutkan dan Dr Faishal sendiri mengakui tindakannya telah melampaui batas.

Dalam keadaan sedemikian, keputusan beliau untuk berundur adalah langkah yang tepat dan bertanggungjawab. 

Keputusan tersebut wajar dihormati.

Mereka yang memegang jawatan awam, lebih-lebih lagi kedudukan kepimpinan, sememangnya tertakluk pada tahap tingkah laku yang tinggi. 

Prinsip ini penting untuk menjaga kewibawaan institusi awam dan keyakinan masyarakat terhadap pemerintah.

Dalam hal ini, wajarkah pengecualian dibuat atas dasar jasa lama, kedudukan atau populariti seseorang?

Jawapannya tentu sekali tidak, kerana ini boleh menimbulkan lebih banyak persoalan dan akhirnya merosakkan kepercayaan orang ramai.

Dan wajarkah masyarakat terus mengungkit atau mendesak agar setiap butiran didedahkan?

Dalam hal ini, kita perlu berwaspada kerana isu ini melibatkan privasi semua pihak yang terlibat dan keluarga masing-masing.

Ini selaras dengan ajaran agama dan didikan kita supaya menjaga aib orang lain.

Menjaga aib bukanlah bermakna menutup kesalahan atau mengabaikan soal pertanggungjawaban. 

Kita mungkin tidak mengetahui setiap butiran. 

Namun, kita juga tidak perlu terus membuat andaian atau menambah spekulasi. 

Apa yang pasti, siasatan polis tidak mendedahkan apa-apa kesalahan jenayah.

Maklumat yang telah disampaikan setakat ini sudah memadai untuk menunjukkan bahawa peletakan jawatan itu adalah langkah yang wajar.

Namun selepas itu, adalah tidak wajar untuk kita terus mencari-cari, atau menyebarkan butiran yang hanya akan memanjangkan kesedihan dan membuka ruang kepada fitnah.

Fikirkanlah perasaan manusia dan keluarga di sebalik episod sedih ini. 

Mereka juga berhak diberikan ruang untuk melalui keadaan ini dengan maruah dan ketenangan.

Yang penting sekarang adalah bagaimana masyarakat harus melangkah ke hadapan.

Melangkah ke hadapan bukanlah bererti melupakan apa yang berlaku. 

Ia bererti mengambil pengajaran daripadanya tanpa terus terperangkap di dalamnya. 

Ia juga bererti memberi ruang kepada Dr Faishal dan keluarganya meneruskan kehidupan, serta membolehkan kepimpinan baharu menumpukan perhatian kepada tugas dan amanah yang menanti.

Dalam membuat pertimbangan, usahlah kita mudah meletakkan seseorang sebagai wira tanpa cela, atau pesalah yang harus dihukum selama-lamanya. 

Pendekatan seperti ini tidaklah adil dan tidak mencerminkan kematangan masyarakat.

Sememangnya, jasa seseorang harus dihargai. 

Namun, bersimpati tidak bermakna soal amanah dan pertanggungjawaban harus diketepikan.

Dalam membuat pertimbangan, kita perlu tahu membezakan antara kasih terhadap seorang pemimpin dengan keperluan mempertahankan prinsip, lebih-lebih lagi apabila kesilapan telah dilakukan. 

Pada masa yang sama, dalam menuntut pertanggungjawaban, kita perlu tahu menjaga maruah, menunjukkan ihsan dan memberi ruang kepada seseorang untuk membina semula kehidupannya, selepas menerima akibat daripada tindakannya.

Inilah ciri-ciri sebuah masyarakat yang matang.

Akhirnya, masa depan masyarakat Melayu/Islam tidak akan ditentukan oleh satu kekhilafan atau kehilangan seorang pemimpin. 

Ia akan ditentukan oleh cara kita bertindak selepas itu.

Perhatian kita selepas ini harus ditumpukan kepada usaha memperkukuh masyarakat.

Dalam hal ini, sokongan wajar terus diberikan kepada para pemimpin masyarakat dan peluang wajar diberikan kepada Pemangku Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam yang baru, Encik Zaqy Mohamad untuk meneruskan perjuangan ini.

Tugas yang menantinya bukan kecil. 

Beliau perlu terus mendengar suara masyarakat, menangani isu-isu yang menjadi keprihatinan ramai dan memperkukuh keyakinan terhadap kepimpinan Melayu/Islam.

Pucuk pangkalnya, dalam saat ini, kematangan kita sebagai masyarakat sedang diuji. 

Dr Faishal telah mengakui kekhilafan beliau dan menerima akibatnya.

Kita telah bersedih. 

Kita akan mengenang jasa dan mendoakan kesejahteraan diri dan keluarganya. 

Kini, tiba masanya untuk menerima keputusan dan terus melangkah ke hadapan.

Jadi masyarakat matang dalam membuat pertimbangan

“Dalam membuat pertimbangan, kita perlu tahu membezakan antara kasih terhadap seorang pemimpin dengan keperluan mempertahankan prinsip, lebih-lebih lagi apabila kesilapan telah dilakukan. Pada masa yang sama, dalam menuntut pertanggungjawaban, kita perlu tahu menjaga maruah, menunjukkan ihsan dan memberi ruang kepada seseorang untuk membina semula kehidupannya, selepas menerima akibat daripada tindakannya.”
Penulis.