Jemputan melebihi 1,000 orang dalam majlis perkahwinan meriah di kolong blok kini semakin jarang dilhat, sedang pasangan muda lebih cenderung memilih walimah lebih kecil dan intim.
Perubahan ini turut memberi kesan kepada pemilihan lokasi – dewan hotel, ‘ballroom’ atau ruang acara tertutup kini semakin menggantikan majlis perkahwinan di kolong blok Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB), yang suatu ketika dahulu sinonim dengan majlis perkahwinan masyarakat Melayu.
Menurut Encik Mohamed Nor Ismail, 55 tahun, pemilik Amani Services dan Amani Weddings Pte Ltd yang telah lebih 20 tahun dalam industri, jumlah tempahan majlis bawah blok telah merosot ketara – daripada lapan setiap hujung minggu sekitar awal 2000-an kepada hanya beberapa sahaja pada 2025.
“Pada 2024, saya hanya mendapat dua tempahan bawah blok, dan setakat ini hanya tiga tempahan buat tahun 2025,” ujarnya.
Beliau juga menjelaskan bahawa jumlah jemputan semakin berkurangan, dan kini semakin ramai pasangan memilih untuk bergabung dalam satu majlis perkahwinan bagi menjimatkan kos dan berkongsi perbelanjaan.
“Kalau dulu, satu pasangan yang datang kepada kami akan membuat dua majlis berasingan, setiap majlis sekurang-kurangnya 1,000 jemputan. Sekarang tidak begitu. Satu pasangan datang berkongsi majlis, dan jemputan pun tak lebih dari 300 orang biasanya,” katanya lagi.
Peningkatan taraf hidup generasi muda, digabungkan dengan kesan pandemik Covid-19 yang telah menonjolkan kelebihan majlis peribadi berskala kecil, telah menjadikan majlis perkahwinan di bawah blok semakin jarang dilihat, kata penyedia khidmat lain.
Dapatan tinjauan Berita Minggu bersama 50 responden Melayu berusia antara 18 dengan 40 tahun menunjukkan bahawa keselesaan menjadi keutamaan dalam pemilihan lokasi perkahwinan, dengan hanya 10 peratus terbuka untuk mengadakan majlis di bawah kolong blok.
Hampir separuh juga memilih untuk mengundang 100 hingga 300 tetamu, berbanding 14 peratus yang mengundang 300 hingga 500 orang, dan 24 peratus untuk lebih daripada 500 orang.
Baki 14 peratus menjemput kurang 100 orang.
Cik Mastura Esnain, 57 tahun, pengasas Anggun by Mastura, berkata pandemik telah mengubah norma majlis perkahwinan Melayu yang dahulunya disambut besar-besaran, kini menjadi lebih sederhana dan mengikut kehendak pasangan sendiri.
“Pendapat saya, trend baru ini adalah perkara yang menggembirakan pasangan muda. Pasangan menyukainya kerana sekarang bukan lagi pasaran ibu bapa. Ia adalah pasaran pasangan itu sendiri – mereka yang membuat keputusan,” kata Cik Mastura yang kini mengendalikan empat dewan majlis perkahwinan di serata Singapura.
Encik Zack Zackariah, 45 tahun, pengarah urusan The Atas People, menyatakan bahawa pasangan masa kini lebih berpelajaran, berpendapatan lebih tinggi, banyak pengalaman merantau dan sudah membuat kajian sendiri sebelum membuat keputusan.
“Majoriti pelanggan kami membiayai perkahwinan mereka sendiri. Tidak hairanlah, jika mereka lebih inginkan mutu yang sejajar dengan demografi mereka.”
Usahawan Encik Muhammad Lutfi Zaifuddin, 28 tahun, dan pereka bentuk 3D, Cik Nur Atikah Ayob, 27 tahun, melangsungkan perkahwinan mereka di Home Team NS Bedok pada 28 Julai 2024.
Mereka tertarik ruangnya yang luas dan penampilan moden yang memenuhi cita rasa mereka.
Majlis yang dihadiri sekitar 400 orang tetamu itu menampilkan tema Gatsby, diinspirasikan oleh minat Cik Atikah terhadap gerakan seni ‘art deco’ 1920-an sejak zaman pengajiannya.
“Saya memang dah lama terpesona dengan garisan berani dan keanggunan era itu,” kongsi Cik Atikah.
“Dekorasi jadi sangat penting bagi saya, dan pada mulanya saya dah tempah stylist luar. Tapi akhirnya, ayah saya dari Amideas Pte Ltd yang mengambil alih dan hasilkan semua elemen besar dengan pengalaman lebih 30 tahunnya dalam acara.”
Bagi pasangan muda itu, pilihan lokasi pula dipengaruhi oleh kehendak mereka untuk ruang dengan siling tinggi dan berhawa dingin agar benar-benar menyerlahkan tema yang dipilih.
“Kami juga jaga senarai jemputan agar hanya orang yang betul-betul kami kenal dan sayang dijemput, supaya setiap wajah dalam dewan itu bermakna buat kami,” kata Cik Atikah.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg