Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wan Rizal gesa belia sertai usaha, jadi relawan M³

Sep 15, 2023 | 3:34 PM
MAIN PERANAN BERSAMA: Dr Wan Rizal Wan Zakariah (kanan) berkata generasi muda berpotensi dan bertenaga dalam memajukan masyarakat dan mengundang usaha-usaha M³. Bersama beliau ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam (kiri), dan moderator, Editor Bersekutu BH, Encik Nizam Ismail (tengah).
MAIN PERANAN BERSAMA: Dr Wan Rizal Wan Zakariah (kanan) berkata generasi muda berpotensi dan bertenaga dalam memajukan masyarakat dan mengundang usaha-usaha M³. Bersama beliau ialah Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam (kiri), dan moderator, Editor Bersekutu BH, Encik Nizam Ismail (tengah). - Foto BH oleh NUR DIYANA TAHA

Generasi muda berpotensi dan bertenaga, dan boleh memainkan peranan dalam usaha memajukan masyarakat melalui kegiatan sukarelawan.

Menyatakan demikian, Anggota Parlimen GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, menggesa golongan belia menyertai dan menjadi sukarelawan dalam pelbagai program M³ secara aktif.

“Penglibatan sukarelawan merupakan kunci utama pembentukan dan pembudayaan dalam masyarakat,” kata beliau dalam dialog bersama sekumpulan belia anjuran Berita Harian (BH), yang turut disertai Setiausaha Parlimen Kanan (Kesihatan merangkap Undang-Undang), Cik Rahayu Mahzam.

M³ ialah usaha kerjasama antara tiga institusi utama – Majlis Ugama Islam Singapura (Muis), Mendaki dan Mesra – yang memberi tumpuan kepada membina sebuah masyarakat yang cemerlang melalui pelbagai program dan kerja sukarela.

Menekankan pentingnya penglibatan belia melalui program M³, Dr Wan Rizal mengajak mereka yang mempunyai masa dan mahu menyumbang supaya bergabung dengan usaha-usaha yang dilakukan di M³.

“Melalui platform ini, kita dapat bersama-sama menolong masyarakat kita. Ini bukan hanya tentang tindakan individu tetapi tentang bagaimana kita bersatu padu dalam mencapai matlamat yang lebih besar.

“Saya percaya potensi anak muda kita. Melalui program M³, kita boleh bersama-sama meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat kita. Definisi kejayaan bukan sahaja dari kejayaan peribadi, tetapi bagaimana kita sebagai komuniti saling menyokong dan maju bersama,” kata Dr Wan Rizal.

Paradigma kejayaan, ujarnya, perlu dilihat dari sudut yang lebih luas sebagai sebuah masyarakat dan bukan pencapaian individu sahaja.

Beliau juga menjelaskan beberapa inisiatif dalam program M³, termasuk bidang tumpuan kelima (FA5) mengenai kesihatan.

Program seperti ini dapat memberi peluang kepada belia untuk memainkan peranan penting dalam pembangunan masyarakat yang lebih sihat, kata beliau.

Dr Wan Rizal berkata dialog seperti itu penting untuk memahami dan mendengar suara hati belia dan dalam memastikan aspirasi masyarakat dapat direalisasikan.

“Setiap suara penting, daripada isu keselamatan hingga pendidikan. Apa yang telah kita bincangkan mencerminkan kepelbagaian keperluan dan harapan masyarakat kita,” kata beliau sambil melahirkan rasa bangga terhadap anak muda yang masih mempunyai semangat juang untuk perubahan positif.

“Ketika membincangkan pelbagai perkara termasuk agama, kita harus ingat bahawa tujuannya mungkin sama, namun cara mencapainya perlu disesuaikan dengan tuntutan generasi baru,” ujar beliau.

Antara lain, beliau menggesa pihak berkenaan, termasuk asatizah, supaya lebih aktif dalam media sosial bagi mempromosikan nilai-nilai positif.

Beliau berharap semangat kerjasama dan kolaborasi akan berterusan demi kemajuan masyarakat yang lebih cemerlang dan inklusif.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg