Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pelan 5 tahun segarkan kejiranan Tanjong Pagar, Radin Mas

Pelbagai usaha tambah kehijauan, kemampanan dan keterhubungan jelang 2030
Feb 2, 2025 | 3:47 PM
Anggota Parlimen GRC Tanjong Pagar dan SMC Radin Mas (berbaju putih, dari kanan) Encik Alvin Tan, Cik Joan Pereira, Encik Chan Chun Sing, Encik Melvin Yong dan Encik Eric Chua, berada di Pasar Redhill pada 2 Februari bagi pelancaran Pelan Lima Tahun Bandar Tanjong Pagar.
Anggota Parlimen GRC Tanjong Pagar dan SMC Radin Mas (berbaju putih, dari kanan) Encik Alvin Tan, Cik Joan Pereira, Encik Chan Chun Sing, Encik Melvin Yong dan Encik Eric Chua, berada di Pasar Redhill pada 2 Februari bagi pelancaran Pelan Lima Tahun Bandar Tanjong Pagar. - Foto ST

Sepanjang lima tahun akan datang, penduduk GRC Tanjong Pagar dan SMC Radin Mas boleh menantikan ruang kongsi yang dinaik taraf, keterhubungan lebih baik dan masyarakat serta persekitaran lebih mesra alam.

Demikian menurut Pengerusi Majlis Bandaran Tanjong Pagar, Encik Melvin Yong, yang juga Anggota Parlimen (AP) SMC Radin Mas, ketika mendedahkan rancangan lima tahun Majlis Bandaran Tanjong Pagar.

Encik Yong berada di Pasar Redhill pada 2 Februari 2025, bersama AP GRC Tanjong Pagar lain termasuk Menteri Pendidikan, Encik Chan Chun Sing; Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan), Encik Alvin Tan; Setiausaha Parlimen Kanan (Kebudayaan, Masyarakat dan Belia merangkap Pembangunan Sosial dan Keluarga), Encik Eric Chua; dan Cik Joan Pereira bagi pengumuman rancangan tersebut.

Antara kerja naik taraf yang akan dijalankan termasuk usaha memberi nafas baru dan kesegaran pada kesemua enam divisyen bandar Tanjong Pagar, dengan adanya kedai yang dinaik taraf, kawasan hijau baru dan lebih banyak laluan mesra pejalan kaki.

“Kami akan membina lebih banyak tanjakan, lif dan laluan pejalan kaki berbumbung untuk menjadikan jalan kami lebih mesra pejalan kaki. Terdapat juga pilihan pengangkutan baru seperti perhentian bas tambahan dan dua stesen MRT baru di Keppel dan Cantonment yang akan melengkapkan Laluan Circle,” ujar Encik Yong.

Pembangunan juga dirancang dengan teliti bagi menghormati dan meraikan identiti unik setiap bandar.

“Kami akan menyuntik kesegaran pada estet-estet kami tetapi pada masa yang sama, kami juga akan cuba mengekalkan sebahagian daripada warisan unik di sini,” kata beliau lagi.

Misalnya, dalam pembangunan semula Bukit Merah, beberapa inisiatif berkaitan warisan akan dilaksanakan dengan paparan awam dan ciri-ciri lain untuk menjadikan seluruh bandar itu sebuah ‘muzium hidup’ yang mempamerkan sejarahnya yang kaya.

Satu lagi bahagian penting dalam Rancangan Lima Tahun tersebut ialah penambahbaikan keterhubungan dan ketersambungan di sekitar bandar.

Bagi menghubungkan Bandar Tanjong Pagar dengan lebih baik ke seluruh Singapura, jalan baru dan pembaikan jalan akan ditambah, terutamanya bagi memenuhi keperluan peningkatan pembangunan kediaman dan komersial baru.

Ini akan dilengkapkan dengan nod pengangkutan awam baru atau dipertingkatkan dan lebih banyak koridor hijau.

Dalam pada itu, demi menyokong gaya hidup mampan penduduk, lebih banyak kemudahan kitar semula akan disediakan di serata bandar.

Antaranya, lebih banyak mesin penghadam makanan yang menukar sisa makanan menjadi kompos akan diperkenal di pusat penjaja di divisyen lain merentas bandar Tanjong Pagar.

Ini setelah mesin tersebut berjaya dirintis di Pasar Redhill dan Tanjong Pagar Plaza.

Bagi menggalakkan penduduk memilih kaedah pengangkutan yang lebih hijau, lebih banyak pengecas kenderaan elektrik (EV) dan rak basikal akan ditambah.

Menjelang akhir tahun 2025, kesemua 156 tempat letak kereta HDB di bandar Tanjong Pagar akan dilengkapi dengan ruang pengecasan EV.

Majlis Bandaran Tanjong Pagar juga akan menjadikan bandar tersebut lebih mampan. Ia akan beralih secara berperingkat kepada penggunaan lampu bijak LED yang kurang menggunakan tenaga sehingga 60 peratus.

Program SolarNova, yang memasang panel solar di atas bumbung HDB bagi menggerakkan kemudahan yang dikongsi bersama seperti pam air, lampu dan lif juga akan diteruskan.

Di bawah program ini, perancangannya ialah untuk memasang sehingga 58,000 panel solar di bandar Tanjong Pagar menjelang 2030.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg