Topik diikuti
Pergi ke BHkuWan Rizal yakin Chee Meng terus perjuang suara pekerja dalam Kabinet
Wan Rizal yakin Chee Meng terus perjuang suara pekerja dalam Kabinet
Wan Rizal yakin Chee Meng terus perjuang suara pekerja dalam Kabinet
Anggota Parlimen (AP) pergerakan pekerja, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, mengucapkan tahniah kepada Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), Encik Ng Chee Meng, atas pelantikan beliau ke dalam Kabinet pada 22 Julai.
Encik Ng, juga AP Jalan Kayu, dilantik sebagai Menteri di Pejabat Perdana Menteri.
Dalam catatan Facebook pada hari yang sama, Dr Wan yang juga Pengarah Pengurusan Pihak Berkepentingan, Perkhidmatan Kerjaya dan Kumpulan Perkongsian (CSPG) Institut Pekerjaan dan Daya Kerja (e2i) NTUC, berkata beliau semakin menghargai komitmen Encik Ng terhadap kebajikan pekerja dan keluarga mereka, hasil pelbagai perbincangan serta sesi libat urus yang diadakan sepanjang tahun lalu (2025).
“Sepanjang pelbagai sesi perbualan dan sesi libat urus saya bersama Encik Ng sepanjang tahun lalu, saya semakin menghargai komitmen beliau yang tidak berbelah bahagi terhadap pekerja dan keluarga mereka.
“Sama ada ketika bertemu pekerja di lapangan, berinteraksi dengan kesatuan sekerja mahupun membincangkan isu nasional, beliau sentiasa meluangkan masa untuk mendengar, memahami kebimbangan yang dibangkitkan, dan berusaha mencari penyelesaian praktikal yang dapat meningkatkan kehidupan rakyat,” kata Dr Wan Rizal yang juga AP GRC Jalan Besar.
Dalam pada itu, beliau melahirkan keyakinan pada Encik Ng dalam terus memastikan suara pekerja dibawa ke peringkat Kabinet, khususnya ketika golongan berkenaan berdepan perubahan pesat yang didorong kecerdasan buatan (AI), kemajuan teknologi dan corak pekerjaan yang semakin berkembang.
“Saya berharap dapat terus bekerjasama dengan beliau bagi memastikan setiap pekerja, termasuk pekerja Melayu/Islam serta pekerja bergaji rendah, dapat terus maju dengan penuh keyakinan dan sama-sama menikmati manfaat daripada masa depan Singapura,” ujar Dr Wan Rizal.