Dalam usia 52 tahun dan berkerusi roda, Cik Noraini Hamid, tetap teguh menghadapi cabaran hidup.
Walaupun berdepan dengan keterbatasan fizikal, beliau tidak pernah mengeluh, malah terus gigih menjaga adik lelakinya, Encik Mohammad Anuar Hamid, 39 tahun, yang berkeperluan khas dengan tahap IQ rendah.
Baginya, kasih sayang terhadap keluarga adalah keutamaan.
“Saya anggap ini satu tanggungjawab dan amanah. Selagi saya mampu, saya akan terus menjaga adik dengan penuh kasih sayang,” katanya dengan nada tenang.
Cik Noraini telah menjaga adiknya sejak zaman remajanya, lebih-lebih lagi setelah kematian ibu mereka pada 2014 dan bapa pula pada 2016.
Setiap hari, beliau perlu menguruskan keperluan adiknya, memastikan makan minum serta kebajikannya terjaga.
Walaupun berhadapan dengan pelbagai dugaan, beliau tidak pernah mengeluh atau berputus asa.
Beliau juga perlu menghantar adiknya ke sekolah khas setiap hari dengan menggunakan pengangkutan peranti mobiliti peribadi (PMD).
Enggan duduk diam, Cik Noraini juga masih bekerja sebagai penghantar barangan secara sambilan dan juga merupakan penerima bantuan dan agihan daripada Persatuan Guru-Guru Al-Quran (Pergeraq) dan Kumpulan Orang Cacat Muslim Singapura (KCMS).
“Kekuatan saya datang daripada doa dan keyakinan bahawa setiap ujian ada hikmahnya. Saya percaya, selagi kita ikhlas, pasti ada jalan. Kita perlu sentiasa bersyukur kepada Allah swt.
“Pada setiap Isnin hingga Jumaat, saya akan menghantar Anuar (adiknya) ke sekolah dan menjemputnya balik dengan PMD.
“Pada waktu Anuar di sekolah, saya mengambil kesempatan ini untuk bekerja menghantar barangan dari masa ke masa, pergi ke pasar, mengemas rumah dan memasak untuk kami berdua,” jelas Cik Noraini.
Cik Noraini begitu teruja dengan pemberian hamper dan baucar makanan sempena ketibaan Aidilfitri.
“Saya amat bersyukur dan menghargai pemberian daripada Pergeraq dan KCMS ini. Ia sedikit sebanyak meringankan beban kami.
“Dengan pemberian ini, Lebaran kami dua beradik lebih bermakna dan meriah lagi,” tambah Cik Noraini.
Menurut Setiausaha Eksekutif Pergeraq, Encik Mohammad Hanafiah Tumin, pada 9 Mac, badan itu telah menyampaikan bantuan kepada golongan yang memerlukan.
Sempena projek iftar Pergeraq dan KCMS, mereka telah menganjurkan pengagihan serta penghantaran barang-barang makanan asas dan baucar makanan kepada golongan kurang upaya dan warga yang memerlukan dengan sokongan Masjid Sallim Mattar.
“Dalam pengagihan yang lalu, seramai 116 penerima telah menerima agihan makanan asas, baucar, kurma dan ada juga yang mendapat lampin pakai buang untuk orang dewasa. Semua penerima ini merupakan anggota KCMS.
“Pihak kami juga amat menghargai segala sokongan dan sumbangan daripada orang ramai dalam menjayakan projek agihan ini. Terima kasih atas keprihatinan dan kemurahan hati anda,” ujar Encik Mohammad Hanafiah.
UNTUK MENDERMA
1. Pemindahan bank ke dalam akaun semasa DBS 017-903204-0. WhatsApp untuk resit @ 9030-7057. Tulis nama anda/zakat atau derma.
2. PayNow ke: UEN T06SS0040C. Di ruang ‘rujukan’ tulis nama anda/zakat atau derma.
* Untuk pendaftaran atau maklumat lanjut, lungsuri laman web, pergeraq.sg.
* Pergeraq terletak di 218E Changi Road, #03-10, PKMS Building, Singapura 419737.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg