Topik diikuti
Pergi ke BHkuWanita cabul lelaki, remaja ketika mabuk dipenjara 21 minggu
Wanita cabul lelaki, remaja ketika mabuk dipenjara 21 minggu
Seorang wanita berusia 49 tahun yang mencabul dua individu tidak dikenali – seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan seorang lelaki berusia 23 tahun – di Pusat Beli-Belah Boon Lay selepas meminum bir, dijatuhi hukuman penjara 21 minggu pada 9 Oktober.
Goh Mei Chi mengaku bersalah atas satu tuduhan mencabul, berkelakuan tidak senonoh, serta menyebabkan gangguan kepada orang ramai semasa mabuk di tempat awam.
Tiga tuduhan lain turut diambil kira dalam menjatuhkan hukuman ke atasnya.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Joelle Loy memberitahu mahkamah bahawa pada kira-kira 11 malam, 12 Februari 2024, Goh menghampiri kedua-dua mangsa yang merupakan adik-beradik di pusat beli-belah berkenaan selepas meminum “kira-kira 10 cawan bir”.
Dia mencengkam kolar baju mereka sebelum mencium pipi kanan serta bibir kedua-dua mangsa, menyebabkan mereka terkejut dan rasa dicabuli.
Goh ditangkap pada 1.30 pagi keesokan harinya dan dibebaskan atas jaminan peribadi pada 14 Februari 2024.
Kurang sebulan selepas itu, Goh terlibat dalam satu lagi kesalahan apabila membuat kecoh di sebuah kedai kopi di Jurong West.
Pada kira-kira 10.30 malam, 5 Mac 2024, dia menghampiri sebuah meja yang diduduki seorang lelaki berusia 44 tahun bersama rakan-rakannya, lalu merampas botol bir milik mereka.
Lelaki itu memintanya memulangkan kembali botol tersebut, namun Goh tidak berbuat demikian.
Sebaliknya, dia beredar seketika sebelum kembali ke meja berkenaan dan menghempas beberapa botol bir ke tanah.
Lelaki itu mengalami kecederaan selepas tanpa sedar terpijak serpihan kaca botol pecah tersebut.
Pegawai polis menahan Goh pada kira-kira 11.20 malam.
Pada 7 Mac 2024, dia dibebaskan atas jaminan peribadi, namun sekali lagi mengulangi kesalahan pada tahun yang sama.
Dokumen mahkamah menyatakan bahawa pada kira-kira 10 malam, 8 September 2024, Goh meminum sekurang-kurangnya sebotol bir dan sebotol minum keras soju, serta satu tin bir.
Seorang anggota polis menemuinya di Boon Lay Avenue pada awal pagi keesokan harinya.
Anggota polis itu mendapati bau minuman keras sangat ketara pada Goh, lalu mengarahkannya pulang ke rumah.
Namun, Goh enggan mematuhi arahan tersebut dan sebaliknya meninggikan suara terhadap anggota polis berkenaan serta rakan sejawatnya.
Goh ditangkap dan dihadapkan ke mahkamah pada 2026.