Seorang wanita Singapura berusia 42 tahun yang cuba memberi rasuah kepada seorang pegawai polis auksiliari dua kali di Pusat Pemeriksaan Woodlands dijatuhi hukuman penjara tiga minggu pada 15 November.
Wang Xiping mengaku bersalah atas pertuduhan melanggar Akta Pencegahan Rasuah.
Wanita itu telah memandu secara haram ke lorong bas di pusat pemeriksaan pada 17 Julai, di mana dia cuba memberi pegawai itu RM50 ($15) dan $50 “wang tutup mulut”, dengan harapan pegawai itu akan melepaskannya.
Pegawai itu tidak menerima sogokannya.
Wang Xiping memandu ke Johor Bahru, Malaysia, pada 17 Julai untuk menemani rakannya mengumpul laporan pemeriksaan perubatan dan membawa temannya keliling sekitar bandar itu, menurut laporan akbar Lianhe Zaobao dan Shin Min Daily News.
Walaupun Wang sering melawat Johor, ia adalah kali pertama rakannya itu ke Malaysia.
Wang memandu menuju ke Koswe selepas melepasi Pusat Pemeriksaan Woodlands pada kira-kira 10:50 pagi apabila seorang pegawai polis auksiliari di bawah kerahan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) menyedari kereta dipandu wanita itu berada di lorong bas.
Pegawai itu mengarahkan Wang berhenti dan meminta dia kembali ke Pusat Pemeriksaan Woodlands agar dia boleh memasuki Malaysia melalui lorong yang ditetapkan untuk kereta.
Wang kemudiannya mencapai beg tangannya dan mengeluarkan wang kertas RM50, dengan harapan sogokannya itu akan membolehkannya terus memandu di lorong bas.
Pegawai itu segera menolak dan meminta Wang menunjukkan pasportnya.
Dia kemudian menyerahkan pasportnya, bersama-sama dengan wang kertas $50, mengatakan dia perlu pergi ke hospital.
Pegawai itu menolak sogokan itu, menegur Wang atas kelakuannya, dan memaklumkan kepadanya bahawa kamera yang dipakai pada badannya telah merakam keseluruhan insiden itu.
Wang telah ditangkap pada 11:30 pagi hari itu di Pusat Pemeriksaan Woodlands dan kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin.
Wang berkata dia berasa cemas pada masa itu dan telah tersilap pegawai polis auksiliari itu sebagai pegawai polis Malaysia.
Dia menambah bahawa penguasaan bahasa Inggerisnya tidak baik dan menyangka pegawai itu telah menolak sogokan awalnya kerana inginkan lebih banyak wang.
Walaupun Wang telah melepasi pusat pemeriksaan dan memandu di Koswe, dia masih berada dalam sempadan Singapura apabila dia cuba menyogok pegawai itu, kata pihak pendakwaan.
Pihak pendakwaan menekankan bahawa Wang telah cuba menyogok pegawai itu dua kali dan mencadangkan Hakim menjatuhkan hukuman penjara tiga hingga empat minggu.
Hakim juga menekankan bahawa memberi rasuah kepada penguatkuasa undang-undang adalah jenayah yang serius semasa menjatuhkan hukuman.
Wang merayu untuk hukuman diringankan, berkata dia perlu menjaga empat anaknya, termasuk anak yang bongsu berumur kurang daripada setahun.
Suaminya juga berada di luar negara atas sebab perniagaan dan tidak akan kembali ke Singapura dalam masa terdekat, tambah Wang.
Dia meminta hukumannya ditangguhkan sehingga 18 November supaya dia boleh menguruskan anak-anaknya.
Hakim daerah meluluskan permintaannya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg