Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita didakwa beri alamat rumah palsu semasa pendaftaran Darjah 1

Jun 5, 2025 | 4:19 PM
wanita, beri alamat palsu, pendaftaran Darjah 1
Wanita berusia 41 tahun tersebut dikenakan satu dakwaan memberi maklumat palsu kepada penjawat awam dan dua dakwaan di bawah Akta Pendaftaran Kebangsaan. - Foto ST

Seorang wanita yang didakwa berbohong tentang alamat rumahnya untuk mendaftarkan anak perempuannya ke sekolah rendah telah didakwa pada 5 Jun.

Wanita berusia 41 tahun itu dikenakan satu dakwaan memberikan maklumat palsu kepada seorang penjawat awam dan dua dakwaan di bawah Akta Pendaftaran Kebangsaan.

Nama wanita itu tidak dapat didedahkan kerana perintah sekatan untuk melindungi identiti anaknya, lapor The Straits Times (ST).

Menurut dokumen mahkamah, antara Jun dengan September 2024, wanita itu telah memberikan maklumat palsu kepada pengetua dan naib pengetua sekolah tersebut semasa pendaftaran Darjah 1 pada 2023.

Dia dijangka mengaku bersalah pada 18 Julai.

Mereka yang didapati bersalah kerana memberikan maklumat palsu kepada kakitangan awam boleh dipenjarakan selama hingga dua tahun, dikenakan denda, atau kededuanya.

Kementerian Pendidikan (MOE) dalam kenyataannya di laman web menyatakan bahawa mereka memandang serius terhadap kes ibu bapa yang sengaja menggunakan alamat palsu semata-mata untuk tujuan pendaftaran Darjah 1.

MOE berkata jika didapati ada niat untuk menyalahgunakan sistem, atau jika ibu bapa tidak dapat membuktikan maklumat yang diberikan semasa pendaftaran Darjah 1 adalah tepat, anak tersebut akan dipindahkan ke sekolah lain.

Ibu bapa tidak akan dibenarkan memilih sekolah mana anak mereka akan dipindahkan, tambah MOE.

Pada 2018, seorang wanita dikenakan denda $5,000 selepas memberikan alamat palsu ketika mendaftarkan anaknya di sebuah sekolah ternama semasa pendaftaran Darjah 1 pada 2015.

Suaminya dikenakan denda $4,000 kerana memberikan alamat palsu kepada pegawai pendaftaran di balai polis.

Pasangan itu telah berbohong bahawa alamat kediaman mereka berada di Bishan, sedangkan mereka masih tinggal di Serangoon Garden.

Dalam kes lain pada 2015, seorang lelaki dikenakan denda $5,000 kerana berbohong kepada pengetua sekolah tentang alamat kediamannya untuk mendapatkan tempat bagi anak perempuannya di sekolah rendah itu.

Lelaki itu menunjukkan alamatnya di kad pengenalan, sebagai berada dalam jarak satu kilometer hingga dua kilometer dari sekolah itu agar membolehkan anaknya mendapat tempat di sekolah tersebut.

Hakikatnya, dia sebenarnya menetap di Balestier Road, iaitu di luar lingkungan yang telah ditetapkan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg