Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita didakwa dera anak tiri

Jan 8, 2025 | 6:04 PM
Kanak-kanak itu telah dikurung dalam bilik air dan hanya dapat keluar untuk makan atau bila bilik air perlu digunakan oleh ibu tiri dan bapa mereka.
Kanak-kanak itu telah dikurung dalam bilik air dan hanya dapat keluar untuk makan atau bila bilik air perlu digunakan oleh ibu tiri dan bapa mereka. - Foto DOKUMEN MAHKAMAH

Seorang wanita telah dituduh mendera dua anak tirinya, dalam kes yang menyaksikan Mahkamah Tinggi menjatuhkan hukuman penjara 34½ tahun dan 12 sebatan terhadap suaminya atas kematian anak kandungnya.

Wanita berusia 34 tahun itu dihadapkan dengan pelbagai pertuduhan pada 7 Januari termasuk empat pertuduhan menganiaya seorang kanak-kanak.

Dia dikatakan telah mengurung kanak-kanak itu di sudut bilik, berukuran sekitar 90cm kali 90cm, dari Februari hingga Oktober 2016.

Kanak-kanak yang ketika itu berusia antara dua dengan lima tahun didakwa dikeluarkan hanya untuk makan dan mandi.

Adik beradik itu juga dikurung dalam keadaan bogel dalam bilik air dari Oktober 2016 hingga Ogos 2017.

Wanita itu, yang didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama suaminya, telah menyatakan bahawa dia akan mengaku bersalah pada perbicaraan seterusnya pada 4 Februari.

Walaupun pasangan itu tidak dinamakan untuk melindungi identiti budak lelaki yang terselamat, seorang hakim Mahkamah Tinggi menarik balik perintah tersebut supaya masyarakat mengingati kanak-kanak perempuan yang teraniaya itu.

Ayeesha berusia lima tahun apabila dia meninggal dunia akibat kecederaan kepala pada 2017. Adik lelakinya baru berusia empat tahun ketika itu.

Bapa kandung kanak-kanak itu, yang terlatih dalam seni mempertahankan diri, menderanya selama dua tahun, menyebabkan anak itu kurang zat makanan.

Dia juga mengalami kesan parut dan kecederaan luaran.

Lelaki itu adalah bapa kepada Ayeesha dan adiknya hasil perkahwinannya sebelum ini. Dia kemudiannya mempunyai tiga lagi anak dengan isteri keduanya.

Dalam prosiding awal, mahkamah mendengar bahawa lelaki itu mula menganiaya Ayeesha dan adiknya pada 2015, tahun yang sama dia berkahwin dengan isteri keduanya.

Dia kurang memberi makan kepada adik-beradik itu, menyebabkan mereka terlalu lapar sehingga makan najis sendiri dan kekabus tilam.

Beberapa hari sebelum tubuhnya rebah, bapa itu mendera kededua kanak-kanak itu secara fizikal.

Dia menampar muka Ayeesha 15 hingga 20 kali, dan keesokan harinya pada 11 Ogos 2017, menumbuk bahagian belakang adik-beradik itu.

Dia juga menendang dan menghentak anak perempuannya sekitar 3 pagi, dan menyedari pada petang itu bahawa Ayeesha tidak memberi respons.

Pada awal pagi 12 Ogos 2017, dia telah menghapuskan bukti, termasuk rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasangnya untuk memantau kanak-kanak tersebut.

Dia kemudian menyorong anak lelakinya dan Ayeesha, yang sudah meninggal dunia, dengan kereta sorong ke Hospital Besar Singapura (SGH). Selepas doktor mengesahkan kanak-kanak perempuan itu sudah mati, lelaki itu berbohong kepada polis dan mendakwa kepala anak perempuannya telah terhantuk gelongsor di taman permainan.

Hanya apabila dia berhadapan dengan rakaman kamera pengawasan polis yang bercanggah dengan ceritanya barulah dia mengakui yang dia berbohong.

Lelaki itu pada mulanya didakwa atas tuduhan membunuh, tetapi ini kemudiannya dikurangkan kepada homisid.

Pada April 2024, dia dijatuhi hukuman penjara 34½ tahun dan 12 sebatan, selepas dia mengaku bersalah atas satu pertuduhan pembunuhan bersalah atas kematian kanak-kanak itu, empat pertuduhan penderaan kanak-kanak, dan satu pertuduhan melupuskan bukti.

Sebanyak 20 lagi pertuduhan, bagi penderaan kanak-kanak dan kerana berbohong kepada polis, telah dipertimbangkan semasa hukuman dijatuhkan.

Pada Mei 2024, lelaki itu disahkan tidak layak untuk dirotan, kerana penyakit cakera menua dan pemampatan cakera.

Dia kemudiannya diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan lagi sebagai ganti hukuman sebat.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg