Seorang wanita, yang dibebaskan dengan ikat jamin pada Disember 2022 atas kecurian motosikal, kembali melakukan kesalahan tiga bulan kemudian apabila dia merancang serangan pisau yang menyebabkan dua mangsa cedera di Rest Bugis Hotel.
Norliana Hazuliani, 25 tahun, dijatuhi hukuman penjara dua tahun dua bulan pada 3 Oktober selepas dia mengaku bersalah atas pelbagai tuduhan termasuk melakukan serangan, mencuri dan mengambil dadah.
Dia juga hilang kelayakan daripada memiliki atau mendapatkan semua kelas lesen memandu selama setahun dari tarikh kebebasannya.
Norliana adalah individu ketiga dan terakhir yang terlibat dalam serangan pisau tersebut untuk ditangani di mahkamah.
Rakan subahat pertamanya, Mohammad Ghufran Sinarfadhli, ketika itu 23 tahun, dijatuhi hukuman penjara tiga tahun 11 bulan pada April selepas dia mengaku bersalah atas satu tuduhan menyebabkan kecederaan secara sengaja dengan senjata berbahaya dan tiga kesalahan berkaitan dadah.
Rakan subahat kedua Norliana, seorang pemuda Indonesia, ketika itu berusia 19 tahun, diperintahkan menjalani latihan reformasi pada November 2023.
Mereka yang diberi hukuman sedemikian ditahan di sebuah pusat untuk mematuhi rejimen ketat yang termasuk berbaris dan kaunseling.
Dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai B1, dia tidak boleh dinamakan kerana dia berumur bawah 18 tahun ketika melakukan beberapa kesalahannya.
Dia mengaku bersalah atas beberapa tuduhan, termasuk melakukan serangan, menunggang motosikal tanpa lesen, dan menjadi anggota perhimpunan secara haram.
Norliana kali pertama melakukan jenayah pada 29 November 2022, apabila dia bertindak selaku peninjau (lookout) manakala seorang lelaki berusia 24 tahun mencuri motosikal di Clementi Avenue 1.
Seorang orang awam memaklumkan polis dan pasangan itu melarikan diri. Norliana ditahan pada 24 Disember 2022, dan dibebaskan dengan ikat jamin pada hari berikutnya.
Dalam kes yang tidak berkaitan, Norliana berada di dalam bilik di Rest Bugis Hotel yang terletak di Jalan Kubor.
Dia bersama sekumpulan orang sekitar tengah malam pada 27 Mac 2023, apabila dia berselisih faham dengan seorang lelaki berusia 20 tahun.
Norliana tidak gembira kerana lelaki itu memberitahunya bahawa dia tidak sepatutnya bersama teman lelakinya, yang ketika itu berada di dalam penjara.
Dia sedang membuat panggilan video dengan B1 dan Ghufran lewat pagi itu apabila lelaki berusia 20 tahun itu mengganggu perbualan mereka dan menghina B1 dan Ghufran.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Quek Lu Yi memberitahu mahkamah bahawa Norliana kemudian menjemput B1 dan Ghufran ke bilik hotel untuk memberi pengajaran kepada lelaki itu.
DPP Quek menambah: “Secara khusus, (Norliana) menyuruh mereka datang dan membawa pisau kerana (lelaki itu) adalah ‘berbahaya’.”
Walaupun tidak mempunyai lesen motosikal, B1 – yang telah membungkus beg dengan dua pisau bergergaji – menunggang motosikal dengan membonceng Ghufran.
Apabila mereka berdua sampai di hotel, Norliana membawa mereka naik ke bilik. Dia mengetuk pintu yang dibuka seorang wanita berusia 19 tahun, dikenal pasti dalam dokumen mahkamah sebagai V1.
DPP berkata: “V1 secara tidak sengaja terlanggar B1. B1 mengelar V1 dua kali dengan pisaunya, menyebabkan dua luka besar, sebelum Norliana menahannya.
“Ghufran dan B1 mengelar (lelaki berusia 20 tahun itu) beberapa kali di beberapa bahagian badan, termasuk kepala, bahu dan lengan... (Lelaki itu) jatuh ke lantai dan B1 mengelar kakinya beberapa kali lagi... mereka mengelarnya lebih kurang lima minit. B1 dan Ghufran kemudian meninggalkan bilik hotel.”
Mangsa lelaki, yang mengalami banyak pendarahan akibat beberapa lukanya, meninggalkan bilik tersebut.
Dia kemudian menghubungi Norliana melalui telefon, dan Norliana mengakui bahawa dia adalah sebahagian daripada rancangan di sebalik serangan pisau itu.
Sementara itu, pekerja di Rest Bugis Hotel melihat darah di dalam bilik itu dan memaklumkan polis.
Dokumen mahkamah tidak menyatakan apa yang berlaku seterusnya, tetapi sebuah ambulans membawa mangsa lelaki ke Hospital Tan Tock Seng.
Dia dibenarkan keluar empat hari kemudian.
Laporan perubatan menyatakan kecederaan pada sendi lutut kanan dan tangan kirinya boleh mengakibatkan hilang upaya yang berkekalan.
Norliana telah ditangkap di satu hotel di Geylang pada hari sama serangan pisau itu berlaku. Pegawai merampas daripadanya empat paket bahan yang kelihatan mencurigakan.
Paket tersebut kemudian didapati mengandungi dadah termasuk methamphetamine dan ketamin. Mahkamah juga berkata sampel air kencing Norliana didapati mengandungi kesan methamphetamine.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg