Seorang wanita berusia 43 tahun telah ditangkap pada 25 Disember selepas contengan grafiti ditemui pada dinding dan beberapa kenderaan yang diletakkan di premis badan pertubuhan sosial, Salvation Army, di Upper Bukit Timah Road pada pagi itu.
Dalam satu kenyataan pada 25 Disember, polis berkata mereka dimaklumkan mengenai kes contengan grafiti di Praisehaven – The Salvation Army, di 500 Upper Bukit Timah Road, sekitar 9.15 pagi.
Pegawai polis menemui kata-kata berunsur hinaan yang ditulis menggunakan cat semburan merah pada premis tersebut serta harta benda, termasuk dinding bangunan dan tiga buah van, sambil menambah siasatan masih dijalankan.
Dalam gambar yang dimuat naik di laman Instagram Sgfollowsall sekitar 2 petang pada 25 Disember, sekurang-kurangnya tiga kenderaan yang diletakkan di situ dan dua dinding kelihatan ditutupi kain berwarna merah dan kuning yang besar.
Menurut kapsyen pada hantaran itu, seorang kakitangan telah menemui beberapa bahagian dinding dan kenderaan telah disembur cat merah dengan tulisan tertentu pada awal pagi.
Ia turut menambah pihak polis berada di lokasi kejadian.
Apabila akhbar The Straits Times (ST) tiba sekitar 3.30 petang, para pekerja baru sahaja selesai menutup grafiti pada dinding di luar dan dalam bangunan, serta pada van putih milik Salvation Army.
Namun, sisa-sisa cat merah masih kelihatan pada kenderaan tersebut.
Tiada kenderaan polis kelihatan di premis itu, yang kelihatan lengang.
Ketika ditemui ST, Ketua Perhubungan Awam The Salvation Army Singapore, Encik Marc Lee, enggan berkongsi tentang kata-kata hinaan hasil semburan cat itu, sambil menambah ia “bersifat sensitif dan melibatkan agama”.
Encik Lee turut berkata seorang pegawai yang tinggal di dalam premis itu telah menemui grafiti tersebut sekitar 7.30 pagi semasa pemeriksaan rutin pagi.
Semakan di laman Facebook William Booth Corps Family & Friends menunjukkan satu upacara keagamaan Krismas telah diadakan di premis tersebut pada 10 pagi.
Sekitar 100 orang, termasuk pekerja migran yang merupakan penerima bantuan Salvation Army, dilihat menghadiri satu upacara dalam bahasa Tamil sekitar 4.30 petang.
Berkongsi dengan ST, Leftenan Sin Soon Ho dari The Salvation Army berkata:
“Kami masih dapat menjalankan ibadah yang kami ingin adakan pada Krismas, dan para tetamu kami tidak terjejas. Itu merupakan perkara paling penting.”
Leftenan Sin menambah pintu masuk premis itu sentiasa terbuka setiap hari bagi orang ramai meletakkan barangan yang ingin mereka dermakan.
Beliau menambah pintu ke bangunan dalam juga tidak dikunci, justeru “terdapat kemungkinan seseorang telah masuk begitu sahaja”.
Beliau turut menyatakan sambutan Malam Krismas di premis itu berlangsung sehingga kira-kira 11.30 malam pada 24 Disember dan grafiti tersebut tidak dikesan pada masa itu.
Dalam kenyataannya, Salvation Army mengucapkan penghargaan kepada mereka yang telah membantu, serta orang awam yang telah menghubungi mereka dengan rasa prihatin dan memberi kata-kata sokongan.
Dalam kenyataannya, pihak polis berkata mereka memandang serius sebarang perbuatan yang mengancam keharmonian kaum dan agama di Singapura.
“Kelakuan sedemikian tidak akan diterima, dan pesalah akan dikenakan tindakan tegas mengikut undang-undang,” tambah polis.
Kejadian ini berlaku beberapa hari selepas seorang sukarelawan gereja berusia 26 tahun ditangkap pada 21 Disember kerana didakwa meletakkan satu objek yang menyerupai alat letupan di Gereja St Joseph, yang juga terletak di Upper Bukit Timah Road.
Perkhidmatan misa di gereja itu dibatalkan selepas polis dimaklumkan mengenai kejadian tersebut sekitar 7 pagi.
Objek berkenaan didapati terdiri daripada tiga silinder kadbod yang diisi dengan batu kerikil dan mempunyai wayar merah yang terjulur, diikat bersama menggunakan pita pelekat hitam dan kuning.
Sukarelawan tersebut, Kokulananthan Mohan, telah didakwa pada 22 Disember atas pertuduhan membuat ancaman palsu berkaitan perbuatan pengganasan.
Dia dipercayai bertindak bersendirian.
Dalam satu kenyataan berasingan, polis berkata tiada bukti yang menunjukkan kejadian itu merupakan serangan bermotifkan agama atau satu perbuatan pengganasan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg