Seorang sukarelawan gereja yang meletakkan barangan menyerupai alat letupan buatan sendiri di premis Gereja St Joseph telah didakwa melakukan ancaman palsu berkaitan perbuatan pengganasan.
Kokulananthan Mohan, 26 tahun, yang didakwa melakukan kesalahan itu sekitar 7 pagi pada 21 Disember, dipercayai bertindak seorang diri.
Menurut dokumen mahkamah, dia didakwa meletakkan tiga silinder kadbod yang diisi dengan batu kerikil serta mempunyai wayar merah, yang diikat menggunakan pita pelekat hitam dan kuning, di premis gereja itu.
Kokulananthan didakwa melakukan perbuatan itu dengan niat untuk membuat seorang lelaki lain percaya bahawa barangan tersebut berkemungkinan meletup atau terbakar, seterusnya menyebabkan kecederaan diri atau kerosakan harta benda.
Dalam satu kenyataan awal, polis berkata tiada bukti setakat ini yang menunjukkan bahawa kejadian itu adalah serangan berbaur agama atau perbuatan pengganasan, lapor The Straits Times (ST).
Acara misa (upacara keagamaan) di gereja yang terletak di Upper Bukit Timah Road dibatalkan pada 21 Disember selepas polis dimaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Seorang pengunjung gereja tersebut berkata kejadian itu berlaku sebelum misa berbahasa Cina pada 7.30 pagi.
Premis gereja telah dikosongkan dan Kumpulan Biologi, Radiologi Kimia dan Pertahanan Bahan Letupan Angkatan Bersenjata Singapura (SAF CBRE) telah dikerahkan ke lokasi kejadian.
Polis kemudian berkata barangan tersebut menyerupai alat letupan improvisasi atau buatan sendiri tetapi sebenarnya tidak berbahaya.
Barangan mencurigakan itu telah dikeluarkan dari tempat kejadian dan operasi polis berakhir sekitar 5 petang.
Pada 22 Disember, Kokulananthan diarahkan ditahan di Pusat Perubatan Kompleks Penjara Changi untuk pemeriksaan perubatan.
Kesnya akan disebut semula di mahkamah pada 12 Januari 2026.
Bagi kes mengemukakan ancaman palsu berkaitan perbuatan pengganasan, pesalah boleh dipenjara hingga 10 tahun, didenda hingga $500,000, atau kedua-duanya sekali.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg