Seorang wanita Iran dan suaminya dari Malaysia akan dihantar pulang dan dilarang memasuki Singapura selepas didapati terlibat dalam kegiatan menimbulkan ancaman terhadap keselamatan negara.
Pas lawatan jangka panjang Parvane Heidaridehkordi, 38 tahun, telah dibatalkan sementara suaminya, Soo Thean Ling, 65 tahun, hilang status Penduduk Tetap (PR), kata Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA) dalam kenyataan pada 10 Februari.
MHA berkata Parvane terlibat dalam operasi sebuah agensi pelancongan berdaftar di Singapura yang menaja permohonan visa warga asing yang ada kaitan dengan pengganasan untuk memasuki Singapura, lapor The Straits Times.
Siasatan mendapati agensi pelancongan itu menjadi tempat perlindungan bagi operasi yang dikendalikan oleh seorang warga asing berpangkalan di luar negara. Pendaftaran agensi pelancongan tersebut telah dibatalkan.
Soo cuba mendaftarkan syarikat untuk menjalankan perniagaan agensi pelancongan di Singapura dua kali selepas pihak berkuasa memulakan siasatan ke atas agensi pelancongan tersebut.
Soo merancang agar Parvane mengendalikan perniagaan itu, yang “kemungkinan besar akan memudahkan Parvane terlibat dalam menyokong kemasukan individu yang ada kaitan dengan pengganasan” ke Singapura, kata MHA.
Kededua permohonan pendaftaran syarikat oleh Soo ditolak atas alasan keselamatan negara.
Parvane diisytiharkan sebagai pendatang dilarang kerana terlibat dalam kegiatan mengancam keselamatan Singapura.
Soo juga diisytiharkan sebagai pendatang dilarang kerana beliau adalah ahli keluarga Parvane, kata MHA.
“Pendatang asing di Singapura yang didapati terlibat dalam kegiatan menimbulkan risiko keselamatan boleh kehilangan kemudahan imigresen mereka dan akan dihantar pulang,” kata MHA.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg