Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

STB gantung khidmat 8 agensi pelancongan gagal patuhi peraturan

Dec 23, 2024 | 8:32 PM
Penggantungan bagi lapan agensi pelancongan itu akan berterusan sehingga dokumen atau pembayaran yang diperlukan diserahkan, atau untuk tempoh maksimum enam bulan, bergantung pada mana yang terdahulu. 
Penggantungan bagi lapan agensi pelancongan itu akan berterusan sehingga dokumen atau pembayaran yang diperlukan diserahkan, atau untuk tempoh maksimum enam bulan, bergantung pada mana yang terdahulu.  - Foto fail

Sebanyak lapan agensi pelancongan – termasuk beberapa agensi Melayu/Islam – digantung daripada menjalankan kegiatan agensi pelancongan mengikut Akta Agensi Pelancongan 1975, menurut Lembaga Pelancongan Singapura (STB).

Penggantungan itu melibatkan tujuh syarikat yang gagal menyerahkan Penyata Akaun Beraudit (AA) dan/atau Pulangan Profil Perniagaan Tahunan (ABPR).

Sebuah syarikat juga digantung kerana gagal mengekalkan keperluan kewangan minimum dan gagal membayar penalti kewangan tertunggak.

STB, dalam kenyataannya pada 23 Disember, menyatakan “di bawah Peraturan Agensi Pelancongan 2017, semua pemegang lesen dikehendaki menyerahkan dokumen AA dan ABPR mereka dalam tempoh enam bulan selepas penutupan tahun kewangan mereka”.

Kegagalan menyerahkan dokumen tersebut menyebabkan STB menggantung tujuh agensi pelancongan, dengan penggantungan berkuat kuasa pada 18 Disember. 

Agensi pelancongan yang terjejas termasuk Al Faheem Tours & Travels Pte Ltd; Gemini Travel N Tours Pte Ltd; I-C–I-D Pte Ltd; Intersys Pte Ltd; SGWANKA Pte Ltd; Wizfair Travel Pte Ltd dan Zayn Travels Pte Ltd.

Namun, penggantungan bagi Zayn Travels Pte Ltd berkuat kuasa pada 21 Disember. 

STB turut menggantung operasi VS Travel Pte Ltd kerana gagal membetulkan kekurangan nilai bersih dan melunaskan penalti kewangan tertunggak.

Penggantungan tersebut berkuat kuasa mulai 18 Disember. 

Menurut STB, penggantungan itu akan berterusan sehingga agensi pelancongan yang terlibat menyerahkan dokumen atau pembayaran yang diperlukan, atau untuk tempoh maksimum enam bulan, bergantung pada mana yang terdahulu. 

Sepanjang tempoh itu, agensi dikehendaki memenuhi tanggungjawab sedia ada kepada pelanggan tetapi dilarang menerima sebarang tempahan baru. 

“STB memandang serius terhadap agensi pelancongan yang melanggar peraturan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya demi melindungi reputasi industri pelancongan Singapura,” kata STB. 

Menurut laman STB, Intersys Pte Ltd sebelum ini pernah digantung pada 14 Februari kerana gagal menyerahkan AA dan ABPR.

“STB (Lembaga Pelancongan Singapura) memandang serius terhadap agensi pelancongan yang melanggar peraturan dan tidak akan teragak-agak mengambil tindakan yang sewajarnya demi melindungi reputasi industri pelancongan Singapura.”
Lembaga Pelancongan Singapura (STB) dalam satu kenyataan pada 23 Disember.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg