Seorang wanita yang mempunyai rekod melakukan beberapa kesalahan termasuk membuat gangguan dan perbuatan nakal kini didakwa kerana mengganggu ketenteraman orang lain.
Lim Sok Lay, 53 tahun, yang hadir di Mahkamah Daerah pada 19 Julai, didakwa kerana menjerit dan membuat isyarat yang mengganggu ketenteraman awam di Edgefield Plains, Punggol, antara 8.30 pagi dengan 9 pagi pada 18 Julai.
Seorang lagi wanita, Jolene Cheang Wan Ling, 28 tahun, turut didakwa atas kesalahan sama di tempat berkenaan pada 18 Julai.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan hubungan antara kedua-dua wanita tersebut dan kes mereka telah ditangguhkan hingga 1 Ogos.
Kes Lim dan suaminya, Cheang Eng Hock, kali pertama dilaporkan media apabila mereka mengganggu jiran mereka, seorang jururawat hospital, serta keluarganya semasa penularan wabak Covid-19 pada 2020.
Pasangan itu menjerit kata-kata seperti “Covid”, “penyebar Covid”, “virus” dan “keluarga virus” kepada jiran mereka. Lim turut menyembur cecair pembasmi kuman ke arah mereka.
Selain itu, Lim mencetuskan kekecohan ketika pertandingan tarian singa anak lelakinya pada 2023, antaranya dengan menuang kopi ke atas kostum tarian singa dan menendang bahagian kepala ‘singa’ tersebut.
The Straits Times (ST) melaporkan pada Julai 2023 bahawa semasa Lim melakukan kesalahan, anak lelakinya, 25 tahun, merupakan seorang penghibur bersama kumpulan Times Cultural Arts.
Beliau juga merupakan antara mereka yang mengambil bahagian dalam pertandingan anjuran Persekutuan Tarian Naga dan Singa Wushu Singapura.
Pada 2023, seorang jurucakap persekutuan tersebut memberitahu ST bahawa Lim dan Cheang cuba menghalang anak mereka daripada menyertai pertandingan itu selepas berlaku salah faham antara mereka bertiga.
Pada Februari 2022, Lim dikenakan denda $4,000, manakala suaminya, didenda $1,200.
Lim turut dikenakan denda $4,000 pada Februari 2025 atas beberapa kesalahan lain, termasuk mencetus kekecohan semasa pertandingan tarian singa anak lelakinya pada 2023 dan menyebabkan kerosakan melebihi $1,300 terhadap kostum tarian singa itu.
Suaminya, yang ketika itu berusia 60 tahun, dan turut mencetuskan kekecohan semasa pertandingan tersebut, didenda $3,000 pada April.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg