Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wanita S’pura didenda bantu hantar alkohol, kopi bernilai lebih $600,000 ke Korea U

Jul 30, 2024 | 6:04 PM
Seorang pengurus perkapalan mengaku bersalah atas satu pertuduhan membantu syarikat lain menghantar barangan mewah kepada seseorang di Korea Utara.
Seorang pengurus perkapalan mengaku bersalah atas satu pertuduhan membantu syarikat lain menghantar barangan mewah kepada seseorang di Korea Utara. - Foto fail

Seorang wanita Singapura yang membantu sebuah syarikat menghantar alkohol, minuman Pokka dan Nescafe bernilai lebih $600,000 ke Korea Utara, didenda $3,500 pada 30 Julai.

Koh Poh Choo, 57 tahun, pengurus perkapalan di Skyline Shipping, mengaku bersalah atas satu pertuduhan membantu syarikat lain, Eluva International, menghantar barangan mewah kepada seseorang di Korea Utara.

Lima pertuduhan serupa diambil dalam pertimbangan semasa hukuman dijatuhkan, lapor The Straits Times.

Sekatan perdagangan terhadap Korea Utara menjadikannya satu kesalahan bagi sesiapa sahaja di Singapura untuk membekalkan, menjual atau memindahkan barangan eksport yang ditetapkan kepada sesiapa sahaja di negara itu, sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Pada 2017 dan 2018, Koh sengaja membantu Eluva mengatur perkhidmatan penghantaran barang ke Korea Utara, termasuk arak jenama Johnnie Walker, Hennessy dan Chivas, serta minuman Pokka dan Nescafe.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Jordon Li berkata Skyline Shipping menjalankan perniagaan menyediakan perkhidmatan penghantaran barang, dan membantu pelanggan berurusan dengan syarikat perkapalan.

Eluva pula membantu pelanggan dari Korea Utara mendapatkan pelbagai barangan, termasuk wain dan minuman keras.

Sebaik sahaja barangan itu diperoleh daripada pembekal di Singapura, Eluva akan menghubungi syarikat penghantaran barang untuk menghantarnya ke Korea Utara.

Skyline ialah antara penghantar kargo yang berkhidmat dengan Eluva.

Sebagai pengurus perkapalan, Koh mengenali ejen perkapalan, Liaoning Danxing International Forwarding, yang berpangkalan di Dalian, China.

Melaluinya, Skyline Shipping dirujuk kepada Eluva dan sebuah lagi syarikat yang tidak dinamakan, untuk mengatur perkhidmatan pengangkutan bagi kedua-dua firma itu.

Ini melibatkan penghantaran barangan ke Korea Utara melalui Dalian.

Memandangkan Koh menyedari sekatan dagangan terhadap Korea Utara, dia menasihatkan pemilik Eluva bahawa manifes perkapalan tidak boleh menunjukkan Korea Utara sebagai destinasi terakhir barangan itu.

Meminta denda $4,000 dikenakan ke atas Koh, DPP Li berkata tertuduh memudahkan lima penghantaran dalam tempoh kira-kira enam bulan dan menambah bahawa barangan terbabit mempunyai nilai yang besar.

Bagaimanapun, DPP menambah bahawa tiada bukti Koh secara peribadi mendapat apa-apa faedah daripada kesalahannya.

Kes Eluva International masih ditangani mahkamah.

Jika sabit kesalahan melanggar Akta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), seseorang boleh dipenjara sehingga 10 tahun, didenda sehingga $500,000, atau kedua-duanya sekali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg