Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18

Wanita S’pura meninggal akibat nahas go-kart di Batam, sehari selepas hari jadi ke-33

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Wanita S’pura meninggal akibat nahas go-kart di Batam, sehari selepas hari jadi ke-33

Feb 22, 2024 | 12:21 PM



Sambutan ulang tahun dengan sekelip mata menjadi tragedi apabila seorang wanita warga Singapura meninggal dunia sehari selepas beliau menyambut ulang tahun ke-33, setelah terlibat dalam satu kemalangan melibatkan kegiatan go-kart di kawasan Bengkong, Batam, pada 21 Februari.

Allahyarhamha Arini Mohamed Adinan, 33 tahun, seorang pekerja logistik, meninggal dunia selepas rambutnya dipercayai terbelit di tayar kenderaan go-kart yang dikendalinya pada petang hari itu.

Bercakap kepada Berita Harian (BH), abang arwah, Encik Mohamed Redzwan, 34 tahun, menyatakan arwah adiknya itu mengikuti tiga temannya lain untuk bercuti di Batam dari 20 hingga 22 Februari.


Ini bagi meraikan hari jadi ke-33 arwah, katanya.

Allahyarhamha Arini merupakan anak kedua dalam keluarga tiga beradik yang tinggal bersama ibu mereka dan seorang ayah tiri di daerah Chinatown.

Encik Redzwan berkata, arwah merupakan seorang yang rapat dengan anggota keluarga lain dan seorang penyayang dan sangat rapat dengan ibunya.

“Kami memang sangat terkejut dan sedih atas berita ini,” katanya yang menerima berita itu menerusi teman arwah.

“Kami tak tahu gerak-gerinya di Batam, cuma kali terakhir kami berjumpa adalah pada Selasa (20 Februari) apabila saya baru pulang dari kerja dan dia perlu berangkat dari rumah dalam jam 1 tengah hari,” tambah penolong gudang itu.

Nahas itu berlaku di Golden City go-kart, di Bengkong, Batam, Provinsi Kepulauan Riau (Kepri), Indonesia.

Pesuruhjaya Polda, Ketua Bidang (Kabid) Hubungan Masyarakat (Humas) Kepulauan Riau, Zahwani Pandra Arsyad pada 21 Februari berkata kepada The Straits Times, ketika mengendali go-kartnya, arwah telah melanggar pembatas laluan yang diperbuat oleh tayar.


Kejadian berlaku sekitar 3.30 petang waktu Batam (4.30 waktu Singapura).

“Saksi kejadian melihat mangsa dalam go-kart nombor 14 dan telah menyelesaikan sebanyak dua pusingan di litar,” katanya.

“Go-kart yang dikendalinya melanggar pembatas di litar itu.”

Kemalangan itu menyebabkan topi keledarnya terkeluar daripada kepalanya.

Seorang pekerja di tempat kejadian dengan segera mendekatinya dan mendapati rambut mangsa terbelit di roda belakang go-kartnya.

Encik Zahwani berkata: “Mangsa mempunyai rambut yang panjang hingga ke punggung. Sebilangan rambutnya ditarik dari kepalanya.”

Arwah Arini dikejarkan ke sebuah klinik berdekatan di mana beliau disahkan meninggal dunia.

Seorang teman ketika ditemui semasa upacara jenazah di Pusara Aman berkata arwah sebelum menaiki go-kart melengkapkan dirinya dengan jaring rambut dan topi keledar.

“Tapi jaring rambut macam tak begitu ketat dan mungkin bila terjadinya kejadian, ia terkeluar,” katanya yang hanya mahu dikenali sebagai Cik Zeth, 40-an tahun.

Dua lagi temannya mengesahkan mangsa menggunakan kedua-dua alat perlindungan itu dengan menyatakan mereka saling membantu memakaikan topi keledar masing-masing sebelum memulakan pusingan.

Seorang teman, yang mengenali arwah sejak kecil lagi dan hanya ingin dikenali sebagai Cik Julie, 50-an tahun, berkata apabila mereka tiba di tempat kejadian kelihatan rupa kepala mangsa sudah kehilangan rambutnya.


“Agak mengejutkan dan kami tidak berupaya mengungkapkan sebarang kata-kata apabila melihatnya,” katanya.


Jenazah bertolak dari Batam sekitar 3.50 petang waktu tempatan menerusi khidmat syarikat pengurusan jenazah Md Akbar International Islamic Casket.

Arwah tiba di Pusara Aman sekitar 5.30 petang dan selamat disemadi sekitar 6.45 petang pada 22 Februari.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >