Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Keluarga terjejas insiden tembak di Prague pulang ke S’pura; suami dirawat di sini

Jan 16, 2024 | 5:16 PM
SELAMAT PULANG: Cik Sofea Marsidah Musa, 40 tahun (gambar kiri, dari kiri); anak-anaknya Amirah Qystina Azman, 15 tahun, Josh Aidan Tariq Vendel, 5 tahun; dan suaminya Encik Peter Vendel 47 tahun, sedang bercuti di Eropah apabila Encik Vendel terkena peluru dalam satu kejadian tembakan rambang di Prague hingga beliau perlu diusung dalam pesawat dalam perjalanan pulang ke Singapura (gambar kanan).
SELAMAT PULANG: Cik Sofea Marsidah Musa, 40 tahun (gambar kiri, dari kiri); anak-anaknya Amirah Qystina Azman, 15 tahun, Josh Aidan Tariq Vendel, 5 tahun; dan suaminya Encik Peter Vendel 47 tahun, sedang bercuti di Eropah apabila Encik Vendel terkena peluru dalam satu kejadian tembakan rambang di Prague hingga beliau perlu diusung dalam pesawat dalam perjalanan pulang ke Singapura (gambar kanan). - Foto ihsan SOFEA MARSIDAH MUSA

Keluarga yang terjejas kejadian tembakan rambang di Prague, Republik Czech, pada Disember lalu, dengan salah seorang ahli keluarga cedera parah kerana terkena peluru, telah selamat pulang ke Singapura.

Cik Sofea Marsidah Musa, 40 tahun, suaminya Encik Peter Vendel, 47 tahun, dan anak lelaki mereka, Josh Aidan Tariq Vendel, lima tahun, tiba di tanah air pada 15 Januari.

Mereka sedang menunggu untuk mendapatkan rawatan susulan bagi Encik Vendel di hospital setempat.

Encik Vendel, seorang Penduduk Tetap Singapura yang berasal dari Belanda, terdahulu cedera parah kerana terkena peluru di pahanya sewaktu kejadian tersebut pada 21 Disember lalu.

Beliau terpaksa dibawa pulang secara diusung dalam pesawat sepanjang perjalanan lebih 20 jam dari Prague ke Singapura, termasuk transit di Frankfurt, Jerman, selama lebih enam jam.

Ini kerana peluru itu telah menembusi paha kanannya hingga tersendat bawah tulang rusuknya dan menjejas teruk pelvisnya, lantas membuatnya tidak berupaya berjalan. Sejenis alat besi kini dipasang pada paha dan punggungnya.

BERBARING DALAM PESAWAT: Encik Peter Vendel, yang cedera parah selepas terkena peluru dalam satu kejadian tembakan rambang di Prague, berbaring di dalam pesawat sepanjang perjalanan pulang ke Singapura.
BERBARING DALAM PESAWAT: Encik Peter Vendel, yang cedera parah selepas terkena peluru dalam satu kejadian tembakan rambang di Prague, berbaring di dalam pesawat sepanjang perjalanan pulang ke Singapura. - Foto ihsan SOFEA MARSIDAH MUSA

Cik Sofea ketika dihubungi Berita Harian (BH) berkata, suaminya berhasrat mendapatkan rawatan di sini kerana lebih dekat dengan keluarganya.

Anak bongsunya, Josh, sedang dijaga ibu bapa Cik Sofea. Seorang anak perempuan sulungnya, Amirah Qystina Azman, 15 tahun – yang pulang ke Singapura terlebih dahulu pada 29 Disember – dijaga bekas suaminya.

“Kami menempuh hari ke hari dengan perlahan,” kata Cik Sofea, yang sedang sibuk menguruskan suaminya di Hospital Mount Elizabeth, di Novena.

“Mujur kami terima banyak pertolongan dan doa dari teman dan keluarga kami. Pramugara dalam pesawat juga banyak membantu suami saya lebih selesa sepanjang berada dalam kabin kerana beliau hanya boleh baring sahaja.”

Cik Sofea berkata, beliau sedang menunggu keputusan daripada doktor bagi kaedah pembedahan paling sesuai untuk mengeluarkan serpihan peluru tersendat di pelvis suaminya itu.

Terdahulu, dalam kirimannya kepada wartawan menerusi WhatsApp, Cik Sofea memberitahu BH ketika beliau sedang menginap di Prague, suaminya mengalami komplikasi selepas menjalani dua pembedahan bagi mengeluarkan peluru itu.

Meskipun ia berjaya dikeluarkan, doktor mendapati ada serpihan daripada peluru tersebut yang masih tersendat di pelvisnya yang berupaya menyebabkan jangkitan lanjut.

Lantaran itu, Encik Vendel, yang pada awalnya mahu menjalani pembedahan di tanah airnya kerana lebih dekat dengan keluarganya, kemudian mengambil keputusan untuk dirawat di Singapura.

Apabila ditanya mengenai kos rawatan, Cik Sofea berkata, beliau belum sempat menghitung penuh kos rawatan suaminya itu kerana terlalu sibuk menguruskan perjalanan pulang ke tanah air.

Beliau juga berkata sebahagian kos rawatan dapat diliputi insurans yang dimiliki suaminya.

DIRAWAT DI HOSPITAL: Encik Peter Vendel (sedang berbaring), diziarah seorang teman di sebuah bilik wad di Hospital Mount Elizabeth, Novena.
DIRAWAT DI HOSPITAL: Encik Peter Vendel (sedang berbaring), diziarah seorang teman di sebuah bilik wad di Hospital Mount Elizabeth, Novena. - Foto ihsan SOFEA MARSIDAH MUSA

“Belum sampai sehari pun saya berada di tanah air sendiri, banyak perkara yang saya perlu fikirkan,” katanya.

“Tapi saya rasa bersyukur sebab suasana di sini jauh aman daripada Prague,” tambahnya.

Beliau menjelaskan sejak tragedi itu menimpa keluarganya, beliau dan anaknya turut ditimpa trauma.

“Kami sering kedengaran bunyi siren ambulans dan polis di sana (Prague), yang membuat saya dan anak (lelaki) saya gementar dan teringat kejadian buruk itu,” katanya.

“Josh asyik bertanya kepada saya, apa jadi dengan si penembak tu? Saya beritahu, pesalah itu sudah tiada lagi.

“Tapi dia masih bertanya-tanya. Apatah lagi kalau ada bunyi siren, dia fikir sesuatu yang buruk bakal terjadi kepadanya.

“Kasihan, dia perlu melalui pengalaman sebegini, tapi dia seorang anak yang kuat,” katanya.

POTRET KELUARGA: Menurut Cik Sofea (depan), gambar ‘selfie’ ini menunjukkan anak-anaknya Amirah Qystina Azman, 15 tahun (kiri); Josh Aidan Tariq Vendel, lima tahun; dan suaminya Encik Peter Vendel, 47 tahun, diambil sekitar 25 minit sebelum kejadian tembakan itu berlaku di Prague.
POTRET KELUARGA: Menurut Cik Sofea (depan), gambar ‘selfie’ ini menunjukkan anak-anaknya Amirah Qystina Azman, 15 tahun (kiri); Josh Aidan Tariq Vendel, lima tahun; dan suaminya Encik Peter Vendel, 47 tahun, diambil sekitar 25 minit sebelum kejadian tembakan itu berlaku di Prague. - Foto ihsan SOFEA MARSIDAH MUSA

Kejadian tembakan di Prague itu berlaku di bangunan mata pelajaran falsafah, Universiti Charles, pada 21 Disember, melibatkan suspek, dikenal pasti sebagai seorang pelajar universiti itu bernama David Kozak, 24 tahun.

Ketika itu, Cik Sofea dan keluarganya yang sedang bercuti merantau Eropah, sedang melintas Jambatan Manes – terletak berhampiran bangunan universiti itu.

Beliau dan dua anaknya selamat, manakala Encik Vendel cedera parah apabila terkena peluru.

Menurut laporan Reuters, kejadian tersebut mengorbankan seramai 14 orang dan menyebabkan seramai 25 orang lain tercedera. BH difahamkan, keluarga Cik Sofea sahaja merupakan golongan warga Singapura yang terjejas kejadian itu.

Suspek, dipercayai melakukan beberapa pembunuhan sebelum kejadian itu berlaku, ditemui mati oleh polis, dipercayai membunuh dirinya sendiri.

Watch on YouTube
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg