Seorang wanita Thailand yang terlibat dalam penipuan barangan mewah bernilai $32 juta telah disabitkan dengan kesalahan menipu dan pengubahan wang haram.
Pansuk Siriwipa, 30 tahun, mendalangi satu skim untuk menipu 189 mangsa. Ia merupakan salah satu penipuan terbesar yang melibatkan bilangan mangsa yang sangat tinggi.
Pada 21 Oktober, Pansuk, yang menghadapi 180 pertuduhan, mengaku bersalah terhadap 30 pertuduhan.
Ini termasuk penipuan caj perdagangan, dengn dia mengutip bayaran untuk jam tangan dan beg mewah berjumlah lebih $25 juta, walaupun mengetahui pesanan ini tidak dapat dipenuhi.
Suaminya, warga Singapura Pi Jiapeng, 29 tahun, menghadapi sembilan pertuduhan. Kesnya masih disiasat.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) David Koh berkata Pansuk dan Pi memulakan perniagaan mereka bernama Tradenation pada Mei 2021 untuk menjual jam tangan mewah.
Tidak sampai setahun kemudian, Pansuk memulakan sebuah syarikat lain, bernama Tradeluxury, untuk penjualan beg mewah.
Walaupun syarikat mula mengalami masalah kewangan, Pansuk terus menerima tempahan dan pembayaran daripada pelanggan.
Daripada memenuhi pesanan, Pansuk menggunakan wang itu untuk penerbangan jet peribadi dengan Pi dan rakan-rakan mereka bernilai $58,000. Dia juga membeli sebuah rumah bernilai lebih $2.3 juta di Bangkok dan sebuah kereta sport Chevrolet Corvette.
Apabila perniagaan bermula, Pansuk memperoleh barangan mewah dari Thailand dan menjualnya pada harga yang lebih rendah berbanding dengan penjual lain, sambil mengekalkan keuntungan.
Namun, pada penghujung 2021 dan pada awal 2022, dia menghadapi masalah mendapatkan barangan dari luar negara. Dia kemudiannya memperolehnya daripada pembekal tempatan, tetapi pada harga yang lebih tinggi.
DPP Koh berkata syarikat itu mula beroperasi dengan kerugian dan ini menyebabkan mereka berada dalam masalah kewangan.
Menjelang akhir Mac 2022, syarikat itu mempunyai liabiliti terkumpul lebih $9.3 juta dalam pesanan yang tidak dipenuhi, manakala aset mereka hanya bernilai sekitar $350,000.
Walaupun begitu, Pansuk tetap menerima tempahan.
Pendakwa raya berkata kedua-dua syarikat itu telah menjadi skim Ponzi, menjerat lebih ramai mangsa dengan harapan dapat membuat pembayaran atau penghantaran kepada pelanggan sedia ada.
Antara Mei dan Ogos 2022, 187 laporan polis telah difailkan terhadap Tradenation dan Tradeluxury kerana tidak memenuhi pesanan walaupun pembayaran telah dibuat sepenuhnya.
Pansuk berkemungkinan mendapat hukuman penjara 14-15 tahun.
Pendakwa raya berkata: “Apabila syarikatnya menanggung liabiliti yang besar, dia terus hidup besar dan membelanjakan duit pelanggan untuk barangan mewah, bukan yang dijanjikan kepada pelanggannya, tetapi untuk dirinya sendiri.”


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg