Ketika abangnya sedang tidur di bilik tidur flat mereka, seorang wanita memanaskan minyak di dalam periuk, sebelum menuang minyak panas itu ke atasnya, menyebabkan beliau mengalami kelecuran tahap pertama di leher dan belakangnya.
Lelaki berusia 25 tahun itu telah pulih daripada kecederaannya dan penyerangnya, Norjahan Abdul Karim, 21 tahun, dijatuhi hukuman penjara tujuh bulan pada 11 Mac, selepas dia mengaku bersalah atas tuduhan menyerang.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan apa yang membuatnya bertindak sedemikian, namun menyatakan dia dalam keadaan waras semasa kesalahan itu dilakukan.
Pihak pendakwaan berkata:
“Laporan IMH (Institut Kesihatan Mental) menyatakan tertuduh mempunyai personaliti yang agak kurang matang dalam konteks keluarga pincang, dengan keganasan antara anggota keluarga. Namun, dia tidak mengalami sebarang gangguan mental pada masa ini.
“Laporan IMH juga menyatakan terdapat risiko besar keganasan masa depan terhadap mangsa kerana dia (wanita itu) menunjukkan sikap yang kurang kesal atas tindakannya.”
Penolong Pendakwa Raya Lydia Goh memberitahu mahkamah bahawa pada 24 Oktober 2023, ibu Norjahan pergi ke dapur sekitar 6.30 pagi apabila beliau melihat anak perempuannya memanaskan minyak dalam periuk sehingga ia berasap.
Ibunya membuka tingkap dapur dan bertanya kepada Norjahan mengapa dia memanaskan minyak.
Pesalah tersebut tidak menjawab, sebaliknya terus memanaskan minyak itu sebelum menuju ke bilik tidur abangnya kira-kira lima minit kemudian.
Norjahan kemudian menyimbah minyak itu ke arah abangnya, yang terkejut daripada tidur dan terus menjerit kesakitan.
Ibu mereka memaklumkan polis dan pesalah tersebut ditahan tidak lama kemudian.
Mangsa dikejarkan ke Hospital Universiti Nasional (NUH) dan diberikan cuti sakit sehingga 26 Oktober 2023.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg