Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga asing dipapar di sepanduk Hari Kebangsaan: AP bidas komen kebencian

Jul 29, 2024 | 2:04 PM
Daripada 20 sepanduk yang dipasang oleh GRC Tanjong Pagar, 18 menampilkan warga Singapura dan seorang penduduk tetap. Sepanduk terakhir memaparkan gadis yang kewarganegaraannya ditonjolkan oleh ahli politik pembangkang, Encik Lim Tean, hingga menarik komen jahat.
Daripada 20 sepanduk yang dipasang oleh GRC Tanjong Pagar, 18 menampilkan warga Singapura dan seorang penduduk tetap. Sepanduk terakhir memaparkan gadis yang kewarganegaraannya ditonjolkan oleh ahli politik pembangkang, Encik Lim Tean, hingga menarik komen jahat. - Foto FACEBOOK OUR TANJONG PAGAR

Seorang gadis yang dipaparkan pada sepanduk Hari Kebangsaan oleh GRC Tanjong Pagar mendapati dirinya menjadi sasaran komen jahat dalam talian selepas seorang ahli politik pembangkang menonjolkan kewarganegaraannya.

Gadis itu telah menyiarkan catatan Facebook dengan gambar dirinya tersenyum dan berdiri di bawah sepanduk dengan kapsyen “Selamat Hari Lahir Singapura yang ke-59”, lapor The Straits Times.

Ahli politik pembangkang, Encik Lim Tean, kemudian berkongsi siaran itu dan bertanya mengapa seorang yang bukan warga Singapura dipaparkan pada sepanduk itu, lantas menarik komen jahat netizen.

Pada 28 Julai, Anggota Parlimen (AP) GRC Tanjong Pagar, Encik Alvin Tan, menarik perhatian kepada Encik Lim dalam siaran LinkedIn, berkata rakyat Singapura lebih baik daripada pengucapan xenofobia dan pandangan yang dikemukakan pengasas Parti Suara Rakyat itu.

Banyak daripada 103 komen pada siaran Encik Lim itu memaparkan kenyataan xenofobia, dan gadis itu telah memadamkan siarannya.

Sambil menyifatkan episod itu sebagai “sedih dan mengecewakan”, Encik Tan berkata perkara ini tidak menunjukkan cara kita sebagai rakyat Singapura.

“Kita negara kosmopolitan yang bertenaga dan mengalu-alukan rakan dari seluruh dunia. Mereka juga membentuk sejarah Singapura, tenunan dan fabrik sosial yang berharga,” kata Encik Tan, yang juga Menteri Negara (Perdagangan dan Perusahaan merangkap Kebudayaan, Masyarakat dan Belia).

Daripada 20 sepanduk yang dipasang oleh GRC itu, 18 menampilkan warga Singapura dan seorang penduduk tetap.

Sepanduk terakhir memaparkan gadis yang kewarganegaraannya ditonjolkan oleh Encik Lim itu.

Encik Tan berkata ini bukan kali pertama sepanduk Hari Kebangsaan GRC Tanjong Pagar dijadikan subjek siaran dalam talian yang menghina.

Pada 2021, sepanduk menunjukkan atlet negara, Thiruben Thana Rajan, yang berusia 20 tahun ketika itu, dan keluarganya telah diserang netizen yang membuat kenyataan berbaur perkauman dan xenofobia.

Apabila Encik Thiruben melangkah ke hadapan dan mengenalkan dirinya, sekumpulan 41 penduduk dari estet Seng Poh di Tiong Bahru menghantar surat kepada Encik Thiruben dan keluarganya, dengan mengatakan: “Kami berdiri bersama anda menentang perkauman, umpan perkauman, xenofobia dan kejahilan.”

Encik Tan berkata dalam catatannya: “Bagaimana kita berhimpun menyokong Thiruben dan keluarganya pada 2021 menunjukkan siapa kita sebagai rakyat Singapura.”

Beliau berkata pasukannya telah berhubung dengan gadis itu dan keluarganya, yang menyatakan penghargaan mereka atas sokongan dan keprihatinannya.

“Insiden ini berlaku dalam masyarakat di seluruh dunia. Yang penting, cara bagaimana kita menangani perkara ini,” katanya.

The Straits Times telah menghubungi GRC Tanjong Pagar dan Encik Lim untuk maklumat lanjut.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg