Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Karya seni pelajar khas antara lukisan pada pek NDP 2024

Jul 23, 2024 | 5:30 AM
Pelajar Sekolah Lighthouse, Muhammad Harith Haziq Kamalrozaman, 17 tahun, merupakan antara 40 pelajar daripada 22 sekolah pendidikan khas yang mengusahakan reka bentuk pek Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024. Reka bentuk pek NDP itu berdasarkan enam tonggak Pertahanan Mutlak iaitu Ketenteraan, Sivil, Ekonomi, Sosial, Digital dan Psikologi.
Pelajar Sekolah Lighthouse, Muhammad Harith Haziq Kamalrozaman, 17 tahun, merupakan antara 40 pelajar daripada 22 sekolah pendidikan khas yang mengusahakan reka bentuk pek Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) 2024. Reka bentuk pek NDP itu berdasarkan enam tonggak Pertahanan Mutlak iaitu Ketenteraan, Sivil, Ekonomi, Sosial, Digital dan Psikologi. - Foto ST

Walaupun beliau tidak dapat mendengar bunyi deruman enjin jet pejuang semasa Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) setiap Ogos, Muhammad Harith Haziq Kamalrozaman, tahu apabila pesawat akan berada di atas kawasan rumahnya.

Harith, 17 tahun, yang dilahirkan pekak, akan bergegas ke tingkap dapur rumah flat HDB beliau di Buangkok tepat pada masanya untuk menyaksikan jet pejuang dan helikopter dalam acara terbang lintas hormat yang membawa bendera Singapura.

Pada 2024, lukisan Harith yang merupakan sebuah jet pejuang hitam adalah antara hasil kerja seni daripada 40 pelajar berkeperluan khas yang dipilih bagi menghiasi pek NDP 2024.

Berkomunikasi melalui jurubahasa isyarat bahasa di acara pertemuan bersama Presiden Tharman Shanmugaratnam pada 16 Jun di Galeri Nasional Singapura, Harith berkongsi bahawa beliau berasa bangga seni karyanya diletakkan di pek NDP.

Para pelajar itu telah mencipta enam reka bentuk unik bagi pek tersebut berdasarkan enam tonggak Pertahanan Mutlak iaitu Ketenteraan, Sivil, Ekonomi, Sosial, Digital dan Psikologi.

Mereka berusia antara lapan dengan 18 tahun daripada 22 sekolah pendidikan khas yang dibiayai pemerintah.

Pertahanan Mutlak adalah konsep bahawa setiap rakyat Singapura memainkan peranan, secara individu dan kolektif, untuk membina sebuah negara yang kukuh, selamat dan bersepadu.

Karya seni mereka dicetak pada beg-beg poliester yang dikitar semula dan diberikan kepada para pelajar yang menghadiri pertunjukan Pendidikan Nasional (NE), dan orang awam sewaktu previu NDP dan pada hari sebenar NDP, 9 Ogos.

NDP 2024 pada 9 Ogos akan berlangsung di Padang.

Orang ramai yang telah mendaftar untuk mengunjungi lima tapak Sambutan Kejiranan Hari Kebangsaan pada 10 Ogos, serta menghadiri sambutan di The Promontory@Marina Bay pada 3 dan 9 Ogos, juga boleh mengambil pek NDP di tapak tersebut.

Ini merupakan tahun kelima jawatankuasa eksekutif NDP bekerjasama dengan agensi perkhidmatan sosial orang kurang upaya, SG Enable untuk mengusahakan reka bentuk pek NDP.

Ini merupakan kali pertama karya seni itu dilakukan sepenuhnya oleh pelajar berkeperluan khas.

Syarikat seni tidak mengaup untung, Temenggong Artists-in-Residence, juga memberi arahan artistik dan menyusun unsur-unsur karya seni pelajar untuk mencipta reka bentuk pada pek NDP.

Tuan Presiden dan isterinya, Puan Jane Ittogi, bertemu dengan artis pelajar di acara pertemuan itu untuk mengucapkan terima kasih dan mengamati inspirasi di sebalik karya seni mereka.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan Jawatankuasa Eksekutif NDP 2024, Tuan Presiden berkata:

“Anda hanya boleh mendapatkan inspirasi daripada artis yang mencipta reka pek NDP.

“Setiap daripada mereka menjangkau ketidakupayaan yang mereka ada, setiap satu lukisan ada kisah tersendiri yang ingin disampaikan, dan setiap daripada mereka berasa bangga kerana dapat membuat kita semua bersatu pada Hari Kebangsaan.”

Harith merupakan pelajar di Sekolah Lighthouse yang menyediakan pendidikan kepada pelajar yang mempunyai masalah penglihatan dan pendengaran.

Bapa Harith, Encik Kamalrozaman, 50 tahun, berkata Harith gemar menonton NDP sejak kecil dan sentiasa teruja mahu menyaksikan acara perbarisan dan terbang lintas hormat di kaca televisyen.

Mereka berdua akan menghadiri previu NDP buat kali pertama dengan tiket percuma.

Pengendali kren itu, yang menyambut hari lahirnya pada 16 Jun, berasa bangga atas sumbangan Harith dalam mereka pek NDP.

“Inilah hadiah terbaik yang saya terima,” kata bapa Harith.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg