Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga emas didakwa bunuh isteri di flat Bukit Panjang

Jun 6, 2024 | 5:06 PM
Ridawi Morsudin dikatakan membunuh Cik Aminah Abdul, 74 tahun, antara 6.40 petang pada 4 Jun dengan 12.58 pagi pada 5 Jun di flat Blok 137, Petir Road.
Ridawi Morsudin dikatakan membunuh Cik Aminah Abdul, 74 tahun, antara 6.40 petang pada 4 Jun dengan 12.58 pagi pada 5 Jun di flat Blok 137, Petir Road. - Foto ZAOBAO

Seorang lelaki warga emas berusia 88 tahun didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh isterinya di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bukit Panjang pada 6 Jun.

Ridawi Morsudin, dikatakan membunuh Cik Aminah Abdul, 74 tahun, antara 6.40 petang pada 4 Jun dengan 12.58 pagi pada 5 Jun di flat Blok, 137 Petir Road.

Pertuduhan tersebut tidak menyatakan bagaimana perbuatan yang dikatakan sebagai pembunuhan itu dilakukan.

Lelaki berambut putih itu menghadiri sesi mahkamah menerusi hubungan video, dengan duduk di kerusi roda.

Dia mendengar prosiding tersebut dengan bantuan jurubahasa Melayu, lapor The Straits Times (ST).

Pendakwa polis meminta agar Ridawi ditahan di Pusat Perubatan Kompleks Penjara Changi untuk penilaian psikiatri.

Menurut pihak pendakwaan, ini bagi memastikan sama ada Ridawi menyedari betapa beratnya kesalahan yang dilakukan, dan untuk mengetahui sama ada dia mengalami sebarang masalah mental yang mengurangkan kesalahannya.

Apabila permintaan pihak pendakwaan diterangkan kepada Ridawi, dia menggumamkan kata-kata.

Namun, jurubahasa tersebut tidak memahami apa yang Ridawi katakan, tetapi mengesahkan bahawa warga emas itu memahami apa yang diminta oleh pihak pendakwaan.

Hakim Daerah Tan Jen Tse mengarahkan Ridawi ditahan selama tiga minggu untuk menjalani pemeriksaan kesihatan.

Kesnya akan didengar lagi pada 25 Jun.

Sebelum ini, polis menyatakan bahawa ia dimaklumkan mengenai panggilan meminta bantuan di flat tersebut sekitar 1 pagi pada 5 Jun.

Beberapa pegawai polis yang tiba di tempat kejadian mendapati Cik Aminah terbaring kaku di flat tersebut.

Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia menerima panggilan meminta bantuan di flat tersebut sekitar 12.45 pagi.

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.

Siasatan masih dijalankan.

Mereka yang disabitkan kesalahan membunuh boleh menghadapi hukuman mati.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg