Seorang lelaki berusia 88 tahun telah diberkas di flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) di Bukit Panjang pada awal pagi 5 Jun, selepas dia dikatakan membunuh isterinya.
Dalam satu kenyataan, polis menyatakan ia menerima panggilan sekitar 1 pagi meminta bantuan di sebuah flat di Petir Road.
Beberapa anggota polis kemudian mendapati wanita berusia 74 tahun itu terbaring kaku di flat tersebut.
Siasatan awal menunjukkan kedua-dua mereka saling mengenali.
Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF) menyatakan ia menerima panggilan meminta bantuan di Blok 137, Petir Road sekitar 12.45 pagi.
Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh paramedik.
Siasatan sedang dijalankan, dan lelaki itu akan didakwa di mahkamah pada 6 Jun atas tuduhan membunuh.
Apabila The Straits Times (ST) ke tempat kejadian sekitar 1 tengah hari, kepungan polis telah ditanggalkan, dan beberapa jiran melahirkan rasa terkejut bahawa kejadian itu mungkin merupakan satu pembunuhan.
Cik Marilou A. Penar, 52 tahun, pembantu rumah kepada jiran lelaki itu, berkata beliau tidak pernah mendengar pasangan itu bertengkar, dan tidak mendengar suara teriakan ketika pembunuhan itu dikatakan berlaku.
Menurutnya, pasangan itu tinggal bersama cucu lelaki berusia 20-an tahun.
Beliau menyangka tindakan polis mengetuk pintu rumahnya pada pagi itu adalah perkara biasa, kerana lelaki itu pernah meninggalkan rumah sendirian dan sesat beberapa kali, sehingga pegawai polis membawanya pulang.
Seorang lagi jiran, Encik Chen Taifa, berkata lelaki itu adalah seorang yang “sentiasa senang hati”, dan mereka sering bertegur sapa di dalam lif.
Pesara berusia 74 tahun itu menambah bahawa lelaki itu kadangkala dilihat bercakap atau menyanyi sendirian.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg