Seorang lelaki warga emas didakwa mencabul empat wanita semasa menaiki penerbangan Singapore Airlines (SIA) dari Amerika Syarikat ke Singapura antara 3.15 pagi dengan 5.30 petang pada 18 November.
Warga India, Balasubramanian Ramesh, 73 tahun, dituduh mencabul salah seorang daripada wanita itu empat kali, dan dikatakan menyasarkan tiga wanita lain.
Dia menghadapi tujuh pertuduhan mencabul di Mahkamah Daerah pada 25 November, lapor The Straits Times.
Dokumen mahkamah tidak mendedahkan sama ada wanita itu penumpang atau anak kapal, dan mereka tidak boleh dinamakan kerana perintah sekatan bagi melindungi identiti mangsa.
Balasubramanian didakwa mencabul mangsa pertama sekitar 3.15 pagi, dan mangsa kedua kira-kira lima minit kemudian.
Dia didakwa mencabul wanita kedua tiga kali lagi antara 3.30 pagi dengan 6 pagi pada 18 November.
Dia juga dikatakan mencabul kehormatan wanita ketiga sekitar 9.30 pagi dan didakwa mencabul wanita keempat kira-kira 5.30 petang hari yang sama.
Dia dijangka mengaku bersalah pada 13 Disember.
Bagi setiap tuduhan mencabul, pesalah boleh dipenjara hingga tiga tahun, didenda atau disebat, atau menerima kombinasi hukuman tersebut.
Balasubramanian tidak boleh disebat kerana berusia lebih 50 tahun.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg