SEORANG lelaki berusia 70 tahun ditemui mati di tempat meletak kereta di Kompleks Golden Mile, pada pagi Sabtu.

Polis berkata mereka mendapat tahu tentang kejadian tersebut pada 9 pagi dan setibanya di sana, mendapati lelaki tersebut terbaring tidak bergerak.

Beliau disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai paramedik Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF).

Polis menyifatkan ia sebagai kes kematian luar biasa namun tidak mengesyaki sebarang perbuatan khianat.

Seorang saksi yang enggan namanya didedahkan berkata sekurang-kurangnya empat kenderaan polis termasuk sebuah van dari unit siasatan jenayah, dilihat di Beach Road di hadapan bangunan itu, lapor akhbar, The Straits Times (ST).

Satu gambar yang dipetik di tempat kejadian menunjukkan hadangan polis yang melarang akses ke tempat letak kereta para penghuni.

Pekedai di bangunan komersial dan kediaman itu berkata lelaki tersebut, yang dikenali sebagai 'Michael', telah jatuh sakit sejak sekian lama.

Mereka berkata kakinya sering bengkak.

Seorang pelayan di restoran Thailand, yang enggan memberikan namanya berkata lelaki itu kerap ke kawasan beli-belah dengan setin minuman keras di tangan.

Beliau juga dilihat tidur di katil buatan sendiri di tempat letak kereta itu.

Pemilik sebuah kedai telekomunikasi di Kompleks Golden Mile berkata beliau telah menasihatkan lelaki itu agar menjaga kesihatannya dan agar beliau berhenti minum minuman keras.