Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20

Warga perlu bersatu hati, capai aspirasi: PM Lee

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Singapura
27
0

Warga perlu bersatu hati, capai aspirasi: PM Lee

Berikut teks penuh ucapan PM Lee Hsien Loong dalam Bahasa Melayu
Dec 31, 2023 | 06:05 PM



2023 merupakan tahun yang mencabar. Persekitaran antarabangsa masih bergelora.

Pertemuan antara Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dengan Presiden China Xi Jinping di San Francisco baru-baru ini telah memantapkan hubungan antara kedua-dua kuasa besar ini, tetapi ketegangan di sebalik hubungan tersebut masih kekal.

Di Ukraine, pertempuran dan penderitaan kemanusiaan berterusan, tetapi perang tersebut menghadapi kebuntuan strategik tanpa adanya penyelesaian.

Serangan ganas Hamas ke atas Israel baru-baru ini, yang disusuli dengan tindak balas dahsyat tentera Israel di Gaza, telah mengorbankan dan mencederakan ribuan orang awam, sebahagian besarnya wanita dan kanak-kanak.

Penderitaan kemanusiaan yang ngeri dan berterusan ini telah menimbulkan perasaan benci dan marah di seluruh dunia. Di Singapura, rakyat dari semua kaum telah melahirkan rasa sedih dan prihatin mereka. Masyarakat Islam Singapura, seperti yang dapat difahami, merupakan kumpulan yang paling terkesan.

Walaupun kita cuba seberapa mungkin untuk mengasingkan diri daripada masalah yang berlaku di negara lain, dari semasa ke semasa, kita di Singapura tidak dapat mengelakkan diri daripada kesan percikannya.

Ini terbit daripada sifat keihsanan kita sesama manusia. Saya gembira kali ini rakyat Singapura sekali lagi memberi respons dengan cara yang penuh belas kasihan dan praktikal.

Kita menyuarakan pandangan kita dan pada masa yang sama mempertahankan kepentingan negara serta perpaduan sosial kita. Kita juga menyumbang dengan murah hati kepada bantuan kemanusiaan untuk mereka yang memerlukan, terutamanya di Gaza.

Saya amat berterima kasih kerana pada masa yang sangat genting ini, para pemimpin agama dan masyarakat, berganding dengan pemerintah dalam memberi nasihat bernas dan menyokong perpaduan sosial kita. Sepanjang beberapa dekad lalu, kita telah melalui jerih payah untuk membangunkan keharmonian kaum dan agama kita sebagai dasar asas masyarakat Singapura. 

Dari itu, kita mesti terus mendekati isu-isu yang berpotensi memecahbelahkan masyarakat seperti konflik Israel-Hamas dengan sikap toleransi dan saling hormat-menghormati antara satu sama lain.

Inilah cara untuk mendukung cita-cita dan visi mendiang Encik Lee Kuan Yew dan pasukan pemimpin pengasasnya, iaitu sebuah masyarakat yang adil dan saksama, di mana setiap rakyat Singapura mempunyai peluang yang sebaik-baiknya untuk berjaya; ekonomi yang berkembang maju atas dasar meritokrasi dan kerja keras; serta kediaman yang disayangi setiap rakyat Singapura.

Sempena ulang tahun ke-100 atau LKY100, kita merenung kembali nilai-nilai yang sudah lama bertahan ini, dan beriltizam untuk terus mendukung nilai-nilai tersebut.

Kemenangan ketara Presiden Tharman Shanmugaratnam dalam Pilihan Raya Presiden adalah satu petanda baik bahawa kita sedang mencapai kemajuan dalam usaha menjadi satu negara, tidak kira bangsa, bahasa atau agama.

Tahun ini, kita juga telah belajar bagaimana untuk hidup dengan Covid-19. Pada bulan Februari kita keluar dari suasana pandemik secara rasmi dan beralih ke Dorscon Hijau. Kita terhutang budi kepada para pekerja penjagaan kesihatan dan barisan hadapan kita yang telah berusaha tanpa mengenal penat lelah, serta sumbangan kolektif semua orang bagi memastikan Singapura selamat.

Jalan-jalan dan kawasan kejiranan kita kembali sibuk dengan hiruk-pikuk kehidupan, pelancong kini kembali, dengan tarikan pelancong seperti Bird Paradise yang baru dibuka menerima kunjungan berduyun-duyun pelawat.

Kita telah mengelakkan kemelesetan ekonomi dengan mencatat pertumbuhan 1.2 peratus tahun ini. Namun keluarga-keluarga masih merasakan tekanan kos sara hidup yang lebih tinggi, meskipun inflasi sedang beransur-ansur turun.

Saya harap pelbagai skim bantuan yang disediakan pemerintah telah membantu meringankan beban keluarga-keluarga berkenaan.

Pada tahun hadapan, MTI mengunjurkan GDP kita akan tumbuh sebanyak 1 hingga 3 peratus, dan diharapkan inflasi juga akan turun lagi. Namun, banyak bergantung kepada persekitaran luar negara.

Mulai 1 Januari, kadar GST akan dinaikkan kepada 9 peratus. Sumber hasil negara tambahan ini akan membantu pemerintah menampung perbelanjaan penjagaan kesihatan yang kian meningkat sedang penduduk kita semakin menua.

Bagi mengurangkan kesan kenaikkan GST, keluarga-keluarga akan tetap menerima Pakej Jaminan pada tahun hadapan. Dengan cara ini, keluarga-keluarga yang memerlukan akan mendapatkan bantuan, dan pada masa yang sama kami boleh memastikan keadaan kewangan negara kita kukuh dan mampan dalam jangka masa panjang.

Memandang ke 2024

Untuk beberapa tahun mendatang, kita harus menjangkakan keadaan persekitaran luaran yang kurang menarik yang mungkin akan menjejas keselamatan dan kemakmuran negara kita. Keadaan geopolitik yang tidak menentu akan terus membebankan ekonomi global.

Di rantau kita ini, terdapat ketegangan serta risiko berlakunya persaingan untuk menuntut hak kedaulatan di Laut Cina Selatan, dan juga disebabkan isu-isu rentas selat. Semua ini boleh menjejas tahap keyakinan di rantau ini, dan juga pertumbuhan ekonomi kita.

Pada masa yang sama, perubahan iklim akan menampilkan cabaran-cabaran besar bagi setiap negara. Kita sudah pun merasakan kesan-kesannya.

Singapura perlu membuat penyesuaian dan bersiap sedia untuk menghadapi kenaikan suhu dan paras air laut, serta memulakan peralihan ekonomi kita bagi mencapai pelepasan sifar bersih. Usaha ini amat mencabar dan memakan belanja yang besar.

Namun, kita juga ada sebab untuk menaruh harapan dan berasa yakin. Kemajuan teknologi yang pesat, terutama sekali dalam kecerdasan buatan dan robotik, menawarkan potensi yang besar untuk perniagaan-perniagaan dan rakyat kita.

Pemerintah akan bekerja rapat dengan perniagaan-perniagaan untuk mengubah dan meningkatkan operasi mereka, serta bekerjasama dengan rakan perikatan tiga pihak kami untuk memberi sokongan kepada setiap rakyat Singapura bagi meningkatkan kemahiran dan mempelajari kemahiran baru, agar semuanya dapat membangunkan kerjaya mereka secara aktif dan memastikan mereka terus dapat diambil bekerja dan berdaya saing. 

Pada masa yang sama, kita harus sentiasa prihatin terhadap anggota masyarakat kita yang lain, dan membantu mereka yang lebih memerlukan. Pemerintah akan terus berusaha memperbaiki kehidupan keluarga-keluarga berpendapatan rendah dan golongan yang mudah terjejas, untuk membolehkan mereka menjalani kehidupan yang bermutu dan lebih bermakna.

Kami akan terus membina perumahan awam yang mudah dimiliki dan berada dalam kemampuan rakyat Singapura. Ini merupakan asas penting kontrak sosial kita.

Bagi menjaga penduduk kita yang kian menua, kami akan mempertingkatkan prasarana fizikal dan jaringan keselamatan sosial kita, serta mengubah sistem penjagaan kesihatan kita kepada SG Yang Lebih Sihat dan Sihat Menua SG. Semua ini, dan banyak lagi, akan membentuk sebahagian daripada pelan induk kontrak sosial yang diperbaharu.

Agenda Melakar Hala Tuju Singapura merupakan satu matlamat yang tinggi buat negara ini. Lebih-lebih lagi kerana kita harus merealisasikannya dalam era perubahan pesat persekitaran baik di dalam mahupun di luar negara.

Banyak penduduk negara yang lebih besar telah berpecah belah dan menjadi lemah disebabkan isu-isu mencabar yang tidak ditangani secara langsung dan berkesan. Kumpulan-kumpulan berkepentingan yang berbeza pandangan saling berbalah. Para pemimpin pula mengutamakan kepentingan diri mereka sendiri berbanding kepentingan negara.

Sebagai titik merah yang kecil, Singapura tidak mampu untuk melakukan kesilapan yang sama dan mengalami kesudahan yang serupa. Kita perlu berusaha lebih gigih lagi untuk menyatupadukan masyarakat kita, dan memperkukuh jati diri serta semangat kenegaraan yang kita kongsi bersama.

Tahun hadapan, Timbalan Perdana Menteri Lawrence Wong akan mengambil alih sebagai Perdana Menteri. Ini bukan peralihan kepimpinan pertama yang kita lalui.

Namun begitu, proses peralihan sentiasa perlu dikendalikan dengan bijaksana. Singapura akan berada di bawah pengawasan rapi. Orang sekeliling, baik dekat dan jauh akan memerhatikan bagaimana para pemimpin baru mengeratkan hubungan dengan rakyat Singapura, dan sama ada negara kecil kita ini mampu kekal berjaya dan luar biasa.

Saya menggesa rakyat Singapura untuk bersatu padu, dan memberikan sokongan penuh kepada DPM Lawrence dan pasukan 4G beliau. Bekerjasama dengan mereka demi membina sebuah negara yang lebih bertenaga dan inklusif, adil dan berdaya saing, serta berdaya tahan dan bersatu padu. Beginilah caranya kita mengharungi krisis demi krisis dengan baik, dan beginilah juga caranya kita harus mengatasi cabaran-cabaran yang mendatang. 

Marilah kita menyambut ketibaan tahun 2024 dengan penuh bersemangat dan keyakinan, sebagai rakyat yang bersatu padu. Masa hadapan mungkin kurang menentu, tetapi matlamat kita jelas. Saya menyeru agar setiap rakyat Singapura bersatu hati dalam mencapai aspirasi kita, demi menjamin masa hadapan yang cerah untuk Singapura.

Selamat Tahun Baru kepada semua rakyat Singapura!




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >