Topik diikuti
Pergi ke BHkuWarga S’pura boleh beri pandangan mengenai dasar pendidikan
Warga S’pura boleh beri pandangan mengenai dasar pendidikan
Sesi awam pertama akan diadakan pada 27 Jun
Warga S’pura boleh beri pandangan mengenai dasar pendidikan
Satu siri perbincangan bersama warga Singapura oleh Kementerian Pendidikan (MOE) telah dimulakan pada April bagi mengumpul pandangan dan idea mengenai dasar pendidikan, dengan sesi awam pertama pimpinan Menteri Pendidikan, Encik Desmond Lee, akan diadakan pada 27 Jun.
Orang ramai boleh mendaftar untuk menghadiri sesi secara bersemuka tersebut di laman mikro Perbincangan Pendidikan atau Education Conversations kementerian berkenaan.
Encik Lee pada Januari mengumumkan hasrat memulakan perbincangan tersebut sebagai sebahagian usaha lebih luas untuk menyemak semula sistem pendidikan dan mengekang perlumbaan mengejar keputusan.
Dalam satu kenyataan pada 28 Mei, MOE menyatakan perbincangan tersebut akan menyentuh topik seperti mengurangkan tekanan peperiksaan, contohnya penggunaan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) bagi kemasukan ke Menengah 1.
Topik perbincangan lain termasuk menyemak semula skim Pengambilan Masuk ke Sekolah secara Langsung (DSA) bagi memperkukuh pembangunan pelajar, menambah baik pemilihan dan meningkatkan aksesibiliti, serta memperkukuh Pendidikan Perwatakan dan Kewarganegaraan (CCE) dan kegiatan kokurikulum bagi memupuk nilai murni serta kemahiran hidup.
MOE akan meneruskan perbincangan itu sepanjang 2026 sehingga 2027.
Mereka yang tidak dapat hadir tetapi ingin berkongsi pandangan dan idea boleh berbuat demikian dalam bahasa Inggeris dan bahasa ibunda masing-masing melalui laman mikro tersebut.
Dalam satu kenyataan, Encik Lee berkata:
“Memandang ke masa depan, dunia yang bakal diwarisi anak kita amat berbeza daripada dunia kita hari ini.
“Kita mesti lebih berusaha bagi mengurangkan tanggapan bahawa pendidikan ini merupakan satu perlumbaan mengejar keputusan, beralih daripada tumpuan terlalu sempit terhadap gred akademik, serta membolehkan anak kita berkembang secara lebih menyeluruh.
“Siri Perbincangan Pendidikan ini dibina atas usaha sebelum ini, dengan menyatukan individu yang amat mengambil berat tentang anak kita bagi membantu membentuk sistem pendidikan lebih kukuh untuk dunia yang semakin berubah.
“Kita akan bersikap terbuka dan mendengar pandangan secara meluas, kerana idea yang baik boleh datang daripada sesiapa sahaja.”
Melalui satu hantaran di media sosial pada 28 Mei, Encik Lee berkata sesi perbincangan yang telah beliau adakan bersama ibu bapa, pendidik, dan golongan muda sejak April telah berlangsung secara “terus terang dan ikhlas”.
“Terdapat pelbagai pandangan yang diutarakan, termasuk kebimbangan mengenai tahap tekanan tidak sihat berhubung persiapan menghadapi PSLE dan DSA, selain harapan agar kurikulum sekolah memberi lebih tumpuan kepada pembinaan kemahiran dunia nyata bagi membolehkan anak kita berdaya tahan serta berkembang secara menyeluruh,” jelas Encik Lee.
Beliau menambah bahawa walaupun landskap pendidikan Singapura sentiasa berkembang, dan perubahan telah dilaksanakan bagi mengurangkan penekanan melampau terhadap gred akademik, namun lebih banyak lagi usaha boleh dilakukan.
Sementara itu, satu lagi semakan semula terhadap sistem pendaftaran Darjah 1 kini sedang dijalankan.
Langkah tersebut merupakan sebahagian usaha untuk meluaskan akses ke sekolah bagi kanak-kanak yang berasal daripada latar belakang berbeza serta menggalakkan pergaulan sosial.
Sambil mengajak orang ramai untuk tampil melibatkan diri dan memberikan sumbangan dalam perbincangan tersebut, Encik Lee berkata:
“Suara anda amat penting dalam membentuk sistem pendidikan yang kita mahukan untuk anak-anak serta masa depan kita.”
