Seorang warga Singapura yang menetap di Amerika Syarikat ditahan oleh ejen Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) atas konspirasi mencuri dan pengubahan mata wang kripto lebih AS$230 juta ($297 juta).
Malone Lam, 20 tahun, didakwa di mahkamah daerah Amerika di selatan Florida pada 19 September, menurut kenyataan akhbar Jabatan Kehakiman (DOJ) di Amerika.
Turut menghadapi pertuduhan ialah lelaki yang bersubahat bersama Lam, Jeandiel Serrano, 21 tahun, di mahkamah daerah di California pada hari yang sama.
Mereka masing-masing menghadapi satu pertuduhan konspirasi melakukan penipuan dalam talian dan satu pertuduhan konspirasi pengubahan instrumen kewangan.
Menurut dakwaan, Lam, Serrano dan mereka yang bersubahat menghubungi seorang mangsa di Washington D.C. pada 18 Ogos dan memperoleh lebih 4,100 bitcoin secara haram, bernilai lebih AS$230 juta.
Mereka merancang melakukan pengubahan wang kripto yang dicuri melalui pertukaran dan perkhidmatan pencampuran sambil menggunakan rangkaian persendirian maya (VPN) untuk menutup identiti sebenar mereka, kata DOJ.
“Lam dan Serrano kemudian didakwa membelanjakan hasil mata wang kripto yang diubah itu untuk melancong, kelab malam, kereta mewah, jam tangan, barang kemas, beg tangan berjenama dan rumah sewa di Los Angeles dan Miami,” kata kenyataan itu.
Satu kenyataan di platform media sosial X oleh seorang detektif kripto, yang menggunakan nama akaun, ZachXBT, mengatakan Lam, Serrano dan seorang lagi yang bernama Veer Chetal telah berpakat untuk menyasar pemiutang firma perdagangan Genesis yang tidak lagi berfungsi melalui penipuan kejuruteraan sosial yang canggih.
Mangsa telah dihubungi oleh nombor palsu yang menyamar sebagai ahli sokongan Google, dan diyakinkan untuk menetapkan semula pengesahan dua faktor mereka dan menghantar dana ke dompet yang terjejas, kata ZachXBT.
Siasatan terhadap kes itu masih dijalankan.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg