Meskipun berita mengenai serangan pihak Houthi ke atas lapangan terbang di Riyadh tidak menjejas kehidupan harian mereka, sesetengah warga Singapura yang menetap di Arab Saudi rata-rata tetap bersikap waspada setiap kali keluar rumah.

Malah mereka terus berhubungan dengan pihak berkuasa serta anggota keluarga mereka di Singapura bagi memberi perkembangan terkini keadaan mereka di sana, kata sesetengah mereka yang dihubungi Berita Harian (BH).

Antaranya ialah seorang penuntut di Universiti Raja Saud, Encik Unais Abu Bakar Sidik, 25 tahun, yang berkata beliau masih menghadiri kelas serta menjalankan rutin kegiatan hariannya seperti biasa, meskipun beliau lebih bersikap berhati-hati setiap kali keluar rumah.

Semasa dihubungi BH, penuntut tahun keempat jurusan Pengajian Al-Quran itu berkata rutin hariannya tidak banyak terjejas kerana asramanya terletak kira-kira lima minit berjalan kaki dari kantin, membolehkannya terus menjalani kehidupan seperti biasa di dalam kawasan universiti.

Namun, beliau bimbang sama ada dapat pulang ke Singapura semasa cuti penggal pada Jun depan sekiranya keadaan semakin meruncing sehingga menjejas penerbangan.

Beliau berkata meskipun sudah terbiasa dengan ketegangan serantau susulan konflik melibatkan Iran dan Amerika Syarikat pada Mac lalu, serangan terbaharu itu membuatnya berasa lebih cemas kerana kali ini Arab Saudi sendiri menjadi sasaran.

“Secara peribadi, keadaan sebelum ini tidak begitu menjejas saya. Namun, dengan perang kali ini, saya berasa sedikit lebih takut dan cemas kerana kini lapangan terbang di Arab Saudi jadi sasaran,” katanya.

Beliau menambah bahawa beliau akan meninggalkan negara itu sekiranya dinasihatkan supaya berbuat demikian oleh pihak berkuasa Singapura, namun tidak bersedia untuk mengorbankan pengajiannya akibat keadaan tersebut.

Kumpulan Houthi di Yaman telah memberi amaran kepada penumpang dan syarikat penerbangan supaya mengelakkan lapangan terbang serta ruang udara Arab Saudi, selain ancaman untuk melancarkan serangan lanjut menyusuli serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid di Riyadh pada 10 dan 11 Oktober.

Menurut beliau, ibu bapanya bimbang akan keselamatannya dan mahu beliau pulang ke Singapura.

“Keluarga saya mahu saya pulang, tetapi sayang jika tempoh yang telah saya habiskan di sini menjadi sia-sia. Selagi saya masih boleh menjaga keselamatan diri di dalam kawasan kampus, saya memilih untuk terus tinggal di sini dan meneruskan pengajian,” katanya.

Suasana di Universiti King Saud, Riyadh, tempat penuntut tahun keempat Pengajian al-Quran, Encik Unais Abu Bakar Sidik, 25 tahun, meneruskan pengajiannya meskipun serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid pada 10 dan 11 Oktober menimbulkan kebimbangan.
Suasana di Universiti King Saud, Riyadh, tempat penuntut tahun keempat Pengajian al-Quran, Encik Unais Abu Bakar Sidik, 25 tahun, meneruskan pengajiannya meskipun serangan ke atas Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Khalid pada 10 dan 11 Oktober menimbulkan kebimbangan. - Foto ihsan UNAIS ABU BAKAR SIDIK

Sementara itu, seorang usahawan warga Singapura yang hanya mahu dikenali sebagai “Abdallah” dan menetap di Riyadh sejak lebih daripada lima tahun lalu, berkata kehidupan keluarganya masih berjalan seperti biasa, meskipun beliau bimbang keadaan boleh menjadi lebih buruk.

Beliau berkata ketika dalam perjalanan pulang beberapa jam selepas serangan itu, beliau melihat penumpang penerbangan dipindahkan dari sebuah hotel berhampiran lapangan terbang berkenaan dengan diiringi anggota tentera.

Beliau turut melihat sedikit kepulan asap dari kejauhan.

Namun, beliau berkata keselamatan keluarganya tidak dirasakan terancam secara langsung.

“Setakat ini, semuanya masih agak normal. Kami berasa selamat. Malah saya sedang bersarapan di taman di rumah saya,” katanya.

Beliau menambah bahawa pihak berkuasa Arab Saudi kerap menyampaikan panduan keselamatan kepada penduduk dan beliau yakin mereka akan mengambil langkah yang diperlukan.

Seorang lagi warga Singapura yang menetap dan bekerja di Riyadh, yang tidak mahu namanya didedahkan, berkata kepada BH bahawa beliau berusaha mengekalkan ketenangan dan meneruskan tanggungjawab hariannya seperti biasa.

Beliau berkata dirinya sentiasa mengikuti perkembangan terkini melalui saluran rasmi pihak berkuasa Arab Saudi dan mematuhi arahan keselamatan yang dikeluarkan.

“Sebagai rakyat Singapura yang menetap dan bekerja di Riyadh, saya sentiasa berusaha untuk kekal tenang serta meneruskan kehidupan dan tanggungjawab harian seperti biasa, tertakluk kepada keadaan semasa,” ujarnya.

Beliau turut menekankan bahawa keselamatan diri dan orang di sekelilingnya menjadi keutamaan, sambil memastikan keluarganya di Singapura sentiasa mendapat perkembangan terkini tentang keadaannya.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti