Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Warga S’pura meninggal di Batam ketika urus persiapan korban

May 12, 2025 | 5:12 PM
Allahyarham Hamzah Kochen Mohamed dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam Singapura kerana peranannya menguruskan ibadah korban di luar negara bagi warga tempatan selama lebih dua dekad. 
Allahyarham Hamzah Kochen Mohamed dikenali dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam Singapura kerana peranannya menguruskan ibadah korban di luar negara bagi warga tempatan selama lebih dua dekad.  - Foto MUHAMMAD SHAFIQ HAMZAH

Pemilik perniagaan pembekal daging Shakira’s Butchery, Encik Hamzah Kochen Mohamed, meninggal dunia pada 10 Mei di Batam, Indonesia, ketika menjalankan tugas membuat persiapan korban untuk Hari Raya Aidiladha akan datang.

Allahyarham Hamzah, 56 tahun, yang kedainya terletak di Tampines Mart, dikenali kerana peranannya menguruskan ibadah korban di luar negara bagi warga Singapura selama lebih dua dekad.

Sepanjang dua minggu lalu, Allahyarham telah ke mengadakan lawatan ke Palembang, Medan dan Batam, yang merupakan sebahagian daripada rutin tahunan beliau untuk meninjau dan menilai keadaan ternakan untuk ibadah korban pelanggannya di Singapura.

Demikian menurut anak sulungnya, Encik Muhammad Shafiq Hamzah, 31 tahun, apabila dihubungi Berita Harian (BH).

Encik Shafiq berkata keluarganya dimaklumkan Allahyarham telah mengalami serangan jantung secara mengejut selepas mengadu sakit dada.

Bapanya menghembuskan nafas terakhir dalam perjalanan ke hospital di Batam ketika dibawa oleh pemandu tempatan.

Encik Shafiq, yang juga merupakan pengarah urusan Shakira’s serta kakitangan di perniagaan pengedaran kereta Noorjahan Global Enterprise, berkata bahawa kali terakhir beliau bercakap dengan bapanya adalah pada 9 Mei, sehari sebelum kejadian itu.

“Seperti biasa, bapa saya hubungi saya dan minta jemput di terminal feri. Tapi kali ini beliau tidak kongsi sama ada di Tanah Merah atau Harbourfront.

“Itu memang agak pelik sebab biasanya semua sudah diatur rapi,” katanya.

“Bapa saya hanya berkata, ‘Esok nanti awak tahu’,” tambah Encik Shafiq.

Namun pada malam keesokannya, sekitar jam 10 malam, Encik Shafiq menerima panggilan mengejut daripada Encik Muhammad Akbar Jalit, pemilik syarikat pengurusan jenazah Md Akbar International di Batam yang bertanya mengenai bapanya.

Encik Akbar telah mendapat tahu tentang jenazah warga Singapura yang dikenal pasti di hospital Batam.

Ketika itu barulah Encik Shafiq dimaklumkan tentang pemergian bapanya.

“Saya baru saja selesai kerja bila saya terima panggilan itu.

“Memang terkejut. Bapa saya adalah seorang individu yang sihat dan tiada sejarah penyakit pun,” ujar beliau.

Pada pagi 11 Mei, Encik Shafiq menaiki feri pertama ke Batam untuk menguruskan jenazah dan dokumen pemulangan ke Singapura.

Jenazah tiba di Singapura pada sekitar jam 3 petang dan dibawa ke rumah adik arwah di Tampines Street 33 untuk solat jenazah.

“Ramai sangat yang datang – keluarga, sahabat, pelanggan.

“Rumah penuh sampai ada yang tunggu di bawah blok dan bergilir masuk untuk melawat,” katanya.

Jenazah Allahyarham dikebumikan di Pusara Aman sekitar jam 5 petang pada hari yang sama.

Allahyarham meninggalkan seorang isteri, empat orang anak dan seorang cucu.

Selain mengurus Shakira’s Butchery, beliau turut dikenali kerana menyediakan khidmat katering untuk majlis perkahwinan serta usaha memenuhi keperluan ibadah korban masyarakat menjelang Aidiladha saban tahun.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg