Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

3 gajah mati dilanggar sepanjang hampir 5 bulan pertama 2025

Kerajaan M’sia akan perbanyak sanktuari gajah, penempatan baru di samping sediakan makan, bagi kurangi kadar kemalangan haiwan itu.
May 12, 2025 | 3:42 PM
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad (dua kanan), melihat proses pengambilan contoh minyak petrol dan diesel oleh kakitangan Jabatan Alam Sekitar ketika Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor di Jalan Jakar, Kemaman, pada 12 Mei.
Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad (dua kanan), melihat proses pengambilan contoh minyak petrol dan diesel oleh kakitangan Jabatan Alam Sekitar ketika Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor di Jalan Jakar, Kemaman, pada 12 Mei. - Foto BHM

CHUKAI: Sebanyak 2,361 kematian membabitkan pelbagai spesies haiwan direkodkan di seluruh negara dalam tempoh 2020 hingga 11 Mei, membabitkan kemalangan di jalan raya.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata Pahang merekodkan jumlah tertinggi iaitu sebanyak 765 kes diikuti, Perak (478 kes), Kelantan (224 kes), Terengganu (201) dan Negeri Sembilan (187 kes).

Katanya, sebanyak lapan gajah direkodkan mati akibat dilanggar kenderaan dalam tempoh sama.

“Ia membabitkan satu kematian pada 2020, dua pada 2021, tiada rekod pada 2022 dan 2023 manakala dua pada 2024. Dan tahun ini (2025), tiga ekor (dan) ia agak tinggi sebab kita baru sampai bulan Mei,” katanya, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Operasi Penguatkuasaan Kenderaan Bermotor di sini, pada 12 Mei.

Nik Nazmi berkata kerajaan akan memperbanyakkan sanktuari gajah atau penempatan baru bagi mengurangkan kadar kemalangan membabitkan haiwan itu.

Katanya, langkah itu juga antara usaha kerajaan dalam menangani masalah pencerobohan serta konflik haiwan dan penduduk.

“Kita nak wujudkan sanktuari gajah dan ia bukan setakat ada hutan tapi kena ada makanan yang cukup dalam hutan supaya haiwan itu tidak keluar.

“Biasanya, bila tak cukup makan, haiwan akan keluar mencari makan dan gajah serta harimau ini agak besar, boleh pergi jauh,” katanya.

Nik Nazmi berkata kerajaan juga akan memasang lebih banyak papan tanda diod pemancar cahaya (LED) gajah bagi memberi amaran tentang kehadiran hidupan liar itu seterusnya berfungsi sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati.

“Dengan alat pengesan kehadiran gajah dan ada lampu, ia lebih berkesan untuk mereka yang memandu di kawasan-kawasan yang berisiko,” katanya.

Ketika ditanya mengenai cuaca panas dan kering tidak menentu yang melanda Malaysia ketika ini, Nik Nazmi berkata, pihaknya akan mengadakan perbincangan dengan pelbagai kementerian dan jabatan berkaitan untuk menyelaraskan segala tindakan.

Beliau turut berhasrat mengadakan perbincangan dengan rakan-rakan sejawat dari negara-negara Asean berkaitan pelbagai perkara termasuk cuaca panas serta perubahan iklim.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg