SEORANG peserta berbasikal rentas negeri warga Singapura meninggal dunia semasa berlumba di seberang tambak.
Menurut laporan Shin Min Daily News, Encik Zulkifli Rosli, 47 tahun telah dihantar ke hospital akibat penyakit jantung namun beliau tidak dapat diselamatkan.
Insiden itu berlaku sekitar 9.25 pagi pada 3 Jun lalu apabila Encik Zulkifli sedang berlumba di Gemencheh, Negeri Sembilan untuk menyertai edisi terbaru acara MTB Jamboree.
Dalam kejadian itu, Encik Zulkifli dilaporkan rebah semasa perlumbaan itu.
Polis Tampin berkata warga Singapura itu ditemui dalam keadaan tidak bergerak, di tepi jalan raya Jalan Batang Rokan, dekat sebuah stesen air.
Beliau dihantar ke Hospital Tampin untuk rawatan.
Malangnya beliau disahkan meninggal dunia oleh para pegawai perubatan.
Acara itu melibatkan para peserta berbasikal sejauh 35 kilometer dengan sebahagian kawasan yang perlu dilalui menawarkan bentuk laluan yang mencabar.
Sekitar 1,600 penunggang basikal menyertai acara itu, termasuk 174 warga asing daripada negara seperti Singapura, Indonesia dan Filipina.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg