Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

BELASUNGKAWA

'King' Ridzuan Hashim dianggap ayah penyayang, sahabat prihatin

Hajat pelakon 'KL Gangster' hadiri majlis nikah anak pada 20 Mei tidak kesampaian
May 06, 2023 | 05:30 AM



PENONTON filem masa kini mengingati pelakon Ridzuan Hashim sebagai ketua kongsi gelap paling berpengaruh di Kuala Lumpur, King, dalam francais filem KL Gangster yang mula ditayangkan pada 2011.



Namun, kalau ditanya mereka yang mengikuti perkembangan Allahyarham Ridzuan, yang meninggal dunia pada pagi Khamis pada usia 62 tahun, dari awal, watak yang 'melekat' di fikiran adalah wartawan jenayah bernama Razif yang berani menggeledah rahsia sindiket pelacuran dalam filem Hati Bukan Kristal.



Watak itu membawa pada Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia Kesembilan.



Sebagai pendatang baru dalam dunia hiburan Malaysia ketika itu, nama Ridzuan yang bermula sebagai model tinggi lampai disebut-sebut kerana pakej rupa, penampilan maco bak wira aksi dan bakat yang dimilikinya.



Beliau diperkenalkan sebagai Shah oleh pengarah Datuk Rosnani Jamil dalam filem Antara Dua Hati.



Sejurus pemergiannya ekoran serangan jantung sewaktu bersarapan dengan anaknya di rumahnya sekitar Bandar Tun Razak diumumkan di media sosial, ramai warganet yang berkongsi berita itu dengan kata-kata "King sudah tiada... Al-Fatihah".



Anak Allahyarham, Muhammad Dhanial, 29 tahun, tidak dapat menahan sebak apabila ditanya mengenai pemergian bapanya.



Lebih membuatkan anak kedua arwah Ridzuan dan bekas isterinya, pelakon dan pelawak Didie Alias itu sedih adalah kerana hajat yang tidak kesampaian untuk bapanya menghadiri majlis pernikahannya pada 20 Mei ini.



"Arwah sempat jumpa tunang saya, cuma tak sempat jumpa keluarga di sana. Semuanya sudah disiapkan termasuklah tiket penerbangan ke Tawau, Sabah dan pakaian.



"Benda sudah nak jadi, tak mengapalah arwah tengok dari jauh," katanya kepada Berita Harian Malaysia (BHM).



Dhanial akan sentiasa mengingati bebelan bapanya itu tentang makanan.



"Arwah selalu membebel, jadi saya akan rindukan bebelannya terutama soal makanan kerana keluarga kami ada sejarah sakit jantung.



"Arwah tengah sarapan, selepas dua atau tiga suap terus rebah.



"Dia selalu bangun tidur antara 7 hingga 8 pagi, jadi saya sudah siapkan makanan untuknya.



"Saya kejut awal, tetapi hari ini arwah tak larat bangun, selalunya dia bangun awal.



"Jujurnya, arwah memang sudah lama menghidap penyakit jantung, tetapi arwah simpan sebab tak mahu orang tahu dan takut tiada 'job'," katanya.



Didie, 51 tahun, reda dengan pemergian Ridzuan yang hanya beberapa tahun ini dapat diajak menyambut Raya bersama setelah hampir 20 tahun tidak berbuat demikian.



"Saya sudah maafkannya. Dia tetap ayah yang bertanggungjawab. Saya juga tahu arwah ada penyakit jantung sebab pernah terkena serangan ketika bermain bola sepak, kemudiannya sesak nafas dan terus dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tiga tahun lalu.



"Tiga saluran jantung dimaklumkan tersekat dan kemudiannya, arwah dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN).



"Dan satu saluran diubati dan hanya tinggal dua yang tersumbat. Jadi, bila begitu kami risau mahu biarkan arwah tinggal berseorangan sebab semua anak-anak tinggal dengan saya.



"Saya berbincang dengan anak-anak dan sejak tahun lalu, anak kami, Muhammad Dhanial tinggal bersamanya," jelas Didie.



Menurut Didie, kesyukuran dapat dirasakannya, suami dan anak-anak apabila diberi kesempatan menjaga dan menyambut Aidilfitri bersama Ridzuan.



"Selepas lebih 20 tahun, kami bertemu semula dan banyak meluangkan masa sejak tahun lalu. Saya bersyukur Allah kurniakan peluang untuk kami berkumpul satu keluarga sebelum arwah pergi.



"Malah, arwah juga ada beraya dengan kami. Arwah ikut kami beraya di rumah ibu bapa mentua saya di Melaka. Memang ia satu kesyukuran buat kami dapat meluangkan masa bersama sejak kami berbaik semula dalam tempoh dua tiga tahun ini.



"Terima kasih Allah kerana kumpulkan kami. Arwah pun tak kahwin lain, jadi kami jadi seperti satu keluarga yang gembira dan tak kisah dengan kisah lalu," katanya.



Menurut Didie lagi, arwah seorang bapa yang penyayang dan rapat dengan anak-anaknya.



"Sebenarnya, arwah seorang yang penyayang dengan anak-anak. Kalau nak tahu kami panggil arwah 'baby' sebab sensitif orangnya," katanya.



Didie dan Ridzuan mendirikan rumah tangga pada 1991 dan bercerai pada 2002. Mereka dikurniakan lima cahaya mata.



Dalam satu klip wawancara bersamanya yang tular di media sosial kini, Ridzuan menjelaskan beliau lebih senang mempunyai kumpulan kecil sahabat kerana enggan timbul banyak masalah komunikasi.



Pelakon dan pelawak Ebby Yus menyingkap arwah Ridzuan pernah bertanyakan tentang rawatan penyakit jantung yang boleh diperolehi kepadanya yang menghidap penyakit serupa.



"Saya tak pernah berlakon dengan arwah, tetapi memang agak rapat sebab dia dan abang saya pernah sama-sama menjadi model.



"Bahkan saya dah mula kenal arwah sejak sebelum dia berkahwin dengan Didie lagi.



"Secara peribadi, arwah adalah individu yang sangat mudah didekati dan senang diajak berbual. Bahkan, kalau ada benda berkaitan masalah peribadi pun dia boleh jadi pendengar," kata Ebby lagi.



Filem terakhir Ridzuan adalah Daddyku Gangster di mana beliau berlakon sebagai salah seorang bapa angkat kepada anak-anak yang kematian ibu bapa.



Allahyarham Ridzuan dikebumikan di Tanah Perkuburan Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor pada Khamis.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >