Rakyat dewasa Singapura yang layak bakal menerima pelbagai bantuan kewangan pada Disember bagi meringankan kos sara hidup mereka, menampung kos penjagaan kesihatan dan menambah simpanan persaraan.
Sekitar 2.9 juta rakyat Singapura berusia 21 tahun dan ke atas pada 2025 akan menerima wang tunai antara $200 dengan $600 sebagai sebahagian daripada Pakej Jaminan (AP) dipertingkat, seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2024.
Jumlah yang akan diterima bergantung pada pendapatan yang boleh dicukai dan jumlah hartanah yang dimiliki mereka, menurut Kementerian Kewangan (MOF), Kementerian Kesihatan (MOH) dan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan bersama pada 14 November.
Warga Singapura yang memautkan kad pengenalan (NRIC) mereka ke PayNow menjelang 23 November akan menerima pembayaran tunai AP mulai 5 Disember.
Mereka yang tidak mempunyai akaun bank yang dipautkan ke PayNow-NRIC tetapi mempunyai akaun dengan DBS, POSB, OCBC atau UOB boleh memberikan maklumat akaun bank mereka di laman web govbenefits menjelang 27 November.
Mereka akan menerima pembayaran melalui Giro mulai 16 Disember.
Mereka yang tidak mempunyai pautan NRIC-PayNow atau akaun bank yang sah akan menerima pembayaran kemudian melalui GovCash.
Bantuan kedua yang diagihkan pada Disember akan diberi kepada sekitar 1.4 juta rakyat Singapura yang lahir antara 1974 dengan 2003. Mereka akan menerima tokokan MediSave sekali sahaja sebanyak $300 hingga $500.
Mereka yang lahir pada 1973 atau lebih awal akan menerima tokokan sebanyak $1,250 atau $2,000 di bawah Pakej Majulah – Bonus MediSave.
Ini akan dinikmati sekitar 1.6 juta rakyat Singapura.
Tokokan MediSave ini diumumkan pada Oktober sebagai sebahagian sokongan tambahan pemerintah untuk mengimbangi kenaikan premium MediShield Life sejajar dengan peningkatan skim insurans kesihatan itu, kata kenyataan tersebut.
Bantuan ketiga ialah Bonus Simpanan Persaraan, iaitu satu lagi komponen di bawah Pakej Majulah.
Sekitar 800,000 rakyat Singapura yang lahir pada 1973 atau lebih awal akan menerima bonus sekali sahaja sebanyak $1,000 atau $1,500 ke dalam akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka, bergantung pada jumlah simpanan persaraan mereka.
Pembayaran MediSave dan CPF akan dikreditkan secara automatik ke dalam Akaun CPF mulai 18 Disember.
Mereka yang ingin memeriksa kelayakan mereka boleh log masuk ke laman govbenefits.gov.sg dengan menggunakan Singpass.
Kenyataan itu berkata penerima yang layak akan juga dimaklumkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) pada Disember setelah bantuan itu dikreditkan.
Mereka yang tidak mempunyai nombor telefon berdaftar dengan Singpass akan dimaklumkan melalui surat yang dihantar ke alamat dalam kad pengenalan Singapura mereka.
Kenyataan itu turut menekankan bahawa untuk melindungi rakyat daripada penipuan, hanya notifikasi SMS yang dihantar daripada gov.sg akan memaklumkan kepada rakyat tentang bantuan yang diterima.
Warga Singapura tidak perlu membalas SMS tersebut, mengklik sebarang pautan atau memberikan sebarang maklumat kepada pengirim.
Tiada mesej mengenai pembayaran akan dihantar melalui WhatsApp atau wadah mesej mudah alih yang lain.
Untuk maklumat lanjut mengenai skim tersebut, orang ramai boleh menghubungi talian hotline di 1800-2222-888 atau layari laman govbenefits.gov.sg.
Jenis Bantuan Kewangan:
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg