Pemerintah akan menyediakan pakej sokongan $4.1 bilion untuk membantu rakyat Singapura mengimbangi kenaikan premium selama tiga tahun akan datang berikutan peningkatan kepada skim MediShield Hayat.
Langkah tersebut merangkumi $0.7 bilion sebagai subsidi kenaikan premium, dengan lebih banyak subsidi diberikan kepada warga emas yang mempunyai pendapatan rendah dan sederhana, dan $3.4 bilion untuk tokokan MediSave tambahan.
Bercakap kepada media pada 11 Oktober, Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata premium MediShield Hayat perlu dinaikkan mulai April 2025 untuk menyokong penambahbaikan kepada skim insurans kesihatan nasional itu.
Bagaimanapun, beliau memberi jaminan kepada rakyat Singapura bahawa langkah sokongan $4.1 bilion yang disediakan oleh pemerintah akan lebih daripada mengimbangi peningkatan keseluruhan premium sebanyak $1.8 bilion dalam tempoh tiga tahun akan datang.
“Kami mempunyai pakej yang komprehensif untuk mengimbangi kenaikan premium ini, supaya bagi sebahagian besar rakyat Singapura, mereka boleh terus membayar premium ini menggunakan MediSave mereka.
“Anda tidak perlu keluarkan wang tunai dari poket anda sendiri. Jadi pakej ini jauh melebihi kenaikan premium.
“Dalam erti kata lain, kami mengambil peluang ini untuk turut menambah baki MediSave kebanyakan rakyat Singapura,” kata Encik Ong.
Pada 11 Oktober, Encik Ong mengumumkan bahawa pemerintah telah menerima cadangan yang dikemukakan oleh Majlis MediShield Hayat berikutan semakan MediShield Hayat 2024.
Antara perubahan itu termasuk membenarkan had tuntutan yang lebih tinggi untuk kemasukan hospital, pembedahan sehari dan bil pesakit luar di bawah MediShield Hayat dan MediSave secara berperingkat mulai April 2025.
Dengan tambahan tokokan MediSave dan subsidi premium serta sokongan, Encik Ong berkata sembilan daripada 10 rakyat Singapura akan dapat mengimbangi kenaikan premium mereka dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Bagi rakyat Singapura yang berpendapatan rendah dan sederhana dalam kumpulan umur lebih tua, subsidi premium mereka akan ditambah sehingga 60 peratus mulai 1 April 2025 – meningkat daripada 50 peratus hari ini.
Bagi Generasi Perintis (PG), atau mereka yang berumur 90 tahun dan ke atas pada 2025, mereka akan menerima tokokan tahunan MediSave yang lebih tinggi antara $300 dengan $1,200 – naik daripada tokokan semasa antara $250 dengan $900.
Bagi kumpulan ini, premium MediShield Hayat mereka akan terus dibayar sepenuhnya oleh tokokan MediSave tahunan dan subsidi khas sedia ada, manakala warga emas PG yang lebih muda akan terus melihat kira-kira dua pertiga daripada premium mereka dibiayai.
Bagi warga Singapura yang lahir pada 1973 atau lebih awal, mereka akan menerima Bonus MediSave Pakej Majulah sekali yang dipertingkatkan sehingga $2,000 pada Disember 2024 – lebih tinggi daripada $1,500 yang diumumkan pada Ogos 2023.
Bagi warga Singapura yang lahir antara 1950 dengan 1973, yang mempunyai baki MediSave yang lebih rendah, pemerintah akan memberikan Bonus MediSave tambahan $500 pada 2025 untuk membantu menampung kenaikan premium.
Bagi warga Singapura yang lahir antara 1974 dengan 2003, mereka akan menerima Bonus MediSave sekali sehingga $500 pada Disember 2024, lebih tinggi daripada $300 yang diumumkan sebelum ini semasa Belanjawan 2024.
Pemerintah juga akan meningkatkan Geran MediSave untuk Bayi Baru Lahir dari 1 April 2025 daripada $4,000 kepada $5,000. Bagi golongan ini, premium MediShield Hayat mereka akan terus dibiayai sepenuhnya sehingga mereka berusia 21 tahun.
Menteri Negara (Penerangan dan Pembangunan Digital merangkap Kesihatan), Cik Rahayu Mahzam, berkata selain subsidi premium dan tokokan MediSave, pemerintah juga akan menawarkan diskaun premium kepada mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas yang menjalani gaya hidup lebih sihat.
Ini boleh dilakukan melalui program dan aplikasi Healthy 365 Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB), yang menawarkan Healthpoints sebagai ganjaran.
Healthpoints adalah program ganjaran HPB di mana mata yang dikumpul boleh ditebus untuk baucar beli-belah dan pelbagai ganjaran lain.
“Mereka yang berusia 40 tahun dan ke atas boleh menggunakan Healthpoints untuk mendapatkan diskaun premium mereka.
“Ini juga akan menggalakkan kehidupan lebih sihat dan mereka juga dapat mengurangkan premium mereka,” kata Cik Rahayu.
Program ini, yang akan bermula pada suku ketiga 2025, akan membolehkan mereka yang berumur 40 tahun dan ke atas menebus diskaun premium MediShield Hayat, pada kadar pertukaran 150 Healthpoints kepada $2, lebih tinggi daripada kadar pertukaran biasa 150 Healthpoints kepada $1.
Untuk memperoleh Healthpoints, mereka boleh mengambil bahagian dalam program gaya hidup sihat dan cabaran menerusi aplikasi Healthy 365, atau mendaftar dengan klinik Healthier SG atau SG Lebih Sihat dan menjalani konsultasi pelan kesihatan mereka yang pertama.
Sebagai contoh, individu yang secara purata melakukan sekurang-kurangnya kegiatan fizikal sederhana selama 30 minit hampir setiap hari sepanjang tahun, boleh menebus diskaun bernilai $80 daripada premium MediShield Hayat mereka.
“Apa yang kita ingin memberitahu orang ramai adalah mereka juga boleh mendapat sokongan premium tambahan sekiranya mereka betul-betul memerlukannya.
“Kita akan pastikan tiada sesiapa yang akan dinafikan bantuan ataupun dinafikan mendapat tuntutan daripada MediShield Hayat kerana mereka tidak mampu,” ujar Cik Rahayu.
“
“Kami mempunyai pakej yang komprehensif untuk mengimbangi kenaikan premium ini, supaya bagi sebahagian besar rakyat Singapura, mereka boleh terus membayar premium ini menggunakan MediSave mereka. Anda tidak perlu keluar wang tunai dari poket anda sendiri. Jadi pakej ini jauh melebihi kenaikan premium. Dalam erti kata lain, kami mengambil peluang ini untuk turut menambah baki MediSave kebanyakan rakyat Singapura.”“
“Apa yang kita ingin memberitahu orang ramai adalah mereka juga boleh mendapat sokongan premium tambahan sekiranya mereka betul-betul memerlukannya. Kita akan pastikan tiada sesiapa yang akan dinafikan bantuan ataupun dinafikan mendapat tuntutan daripada MediShield Hayat kerana mereka tidak mampu.”

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg