Rumah di Johor Bahru yang biasanya menjadi tempat mereka beristirehat hampir setiap hujung minggu dahulu bertukar bak ‘rumah hantu’ selepas lebih dua tahun tidak dikunjungi.
Dek pandemik Covid-19, Encik Ramli Abdul Razak dan isteri, Cik Rugayah Ishak, terpaksa membiarkan rumah mereka di seberang Tambak tidak dihuni kerana sekatan sempadan.
Namun, setelah akhirnya dapat kembali ke rumah tiga tingkat mereka di Taman Eco Cascadia pada Julai 2022, mereka terperanjat dengan apa yang dilihat.
Lantai rumah banyak sudah merekah dan pecah, sebahagian struktur rumah didapati retak, tembok semuanya berlumut, litar pintas berlaku pada sistem elektrik, dan terdapat kesan air pada lantai yang bererti air telah memasuki rumah itu.
Di samping itu, skrin sebuah televisyen sudah cair, tiga alat hawa dingin rosak, perabot sudah reput, dan kebun di luar rumah pula sudah menjadi seperti hutan.
“Kita rasa amat terkejut. Tak tahu mana nak mula untuk berkemas sebab barang semua bersepah di lantai. Ingatkan bila balik, kita dapat berehat, tetapi tak sangka keadaan begitu teruk seperti ini.
“Sebenarnya kita ada orang yang jaga dan bersihkan rumah dan juga seorang tukang kebun, tetapi disebabkan pandemik, mereka telah kembali ke negara sendiri di Indonesia. Jadi, tak ada orang yang tolong jaga rumah,” kata Encik Ramli, yang mempunyai tiga anak dan lima cucu.
Ditemui di rumahnya di kawasan Bukit Panjang, Encik Ramli, seorang eksekutif di Perbadanan Bandar Jurong (JTC) yang berusia 63 tahun, berkata mereka mengambil masa sekurang-kurangnya tiga bulan untuk mengemas dan membersihkan sepenuhnya rumah mereka.
Setelah itu, Encik Ramli menghubungi kontraktor untuk memperbaiki semua kerosakan yang berlaku di rumah tersebut.
Ini seperti membikin semula lantai yang merekah dan pecah, mengecat tembok yang berlumut, membetulkan wayar elektrik dan menebas semak samun dan pokok di kebun.
Secara keseluruhan, Encik Ramli membelanjakan sekitar RM20,000 ($5,900) bagi kerja-kerja pembaikan tersebut, yang mengambil masa sekitar tiga bulan untuk diselesaikan, dan membeli alat baru seperti alat hawa dingin.
Beliau menambah bahawa masa yang diambil untuk mendapatkan kontraktor juga agak lama disebabkan beberapa faktor.
“Oleh sebab kita jarang balik (ke JB), kita perlukan masa untuk cari dan buat janji temu dengan kontraktor. Kadangkala, bila kita boleh temu kontraktor, kontraktor pula sibuk.
“Sementara itu, kontraktor kami juga ada beritahu bahawa disebabkan pandemik, ramai pekerja mereka telah kembali ke negara masing-masing. Majoriti pekerja mereka dari Indonesia. Ada juga pekerja tempatan tetapi mereka juga telah pulang ke kampung atau bekerja di tempat lain,” kata beliau.
Meskipun telah melalui pengalaman buruk itu, Encik Ramli berkata beliau tidak serik dan tiada rancangan untuk menjual rumah di Johor Bahru itu.
Namun, beliau menasihatkan mereka yang mungkin perlu meninggalkan rumah untuk tempoh yang berpanjangan agar mempunyai hubungan rapat dengan jiran mereka.
“Bahkan, saya selalu berkomunikasi dengan jiran saya. Jadi, kalau ada apa-apa yang berlaku, dia boleh maklumkan kepada saya sebab dia duduk sana (Johor). Ada dua kali, pagar rumah saya dilanggar lori dan jiran sayalah yang maklumkan saya tentang perkara itu,” kata beliau, yang kini kembali pulang ke rumah Johor Bahru setiap hujung minggu bersama keluarga seperti waktu sebelum pandemik dahulu.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg