Cik Kamisah Kassim dan Encik Saini Salleh terkejut tidak terkata tatkala melihat keadaan rumah mereka di Johor Bahru pada April 2022 yang sudah lebih dua tahun ditinggalkannya dek pandemik Covid-19.
Apakan tidak.
Hampir segala-galanya, daripada perabot hingga ke pintu rumah, papan skirting kayu, buku-buku dan sekitar 20 jam antik, habis dimamah anai-anai dalam rumah dua tingkat mereka di Taman D’Utama – sebuah estet perumahan yang dilindungi pagar dan dijaga pegawai keselamatan.
Ajaibnya, yang masih utuh hanya senaskah Al-Quran di dalam rak buku.
Sementara itu, kawasan kebun kecil luar rumah mereka pula sudah menjadi rimba yang dihuni haiwan seperti ular, musang dan burung, serta kerap didatangi monyet.
Akibat kemusnahan tersebut, Cik Kamisah dan Encik Saini menganggarkan kerugian yang dialami mereka mencecah lebih $30,000 dan perlu membelanjakan sekitar $35,000, atau lebih RM100,000, untuk memperbaiki semula rumah mereka sepenuhnya.
Encik Saini, 70 tahun, mantan wartawan Berita Harian (BH), berkata:
“Macam nak nangis apabila tengok rumah ini. Apa dah jadi dengan rumah ini? Pintu depan dah hancur dan yang tinggal hanya besinya. Mana barang yang ada kayu semua habis dikerjakan anai-anai – sofa, almari, siling, rak buku yang ada lebih 100 buku, baju, semuanya habis.
“Ada juga jiran kami yang beritahu kayu luar rumah kita dah jatuh. Hanya pinggan mangkuk, barang yang dibuat daripada kayu jati, barang elektrik dan Al-Quran yang tidak dimakan.
“Kita nampak berjuta-juta anai-anai, terutamanya dalam buku. Geli-geleman tengok.”
Encik Saini dan isteri, yang tinggal di kawasan Woodlands, membeli rumah di Johor Bahru itu hampir tiga dekad lalu pada 1998.
Sebelum pandemik Covid-19, keluarga mereka biasanya masuk ke seberang Tambak setiap hujung minggu dan hari cuti, namun dalam pascapandemik ini, mereka menginap di rumah sana tiga hari seminggu.
Tambah Encik Saini, beliau dan isteri – yang mempunyai empat anak dan tiga cucu – mengambil masa sekitar tiga bulan secara keseluruhan untuk secara perlahan-lahan mengemas rumah mereka.
“Pening kepala nak kemas rumah. Nak tidur pun tak boleh. Sampai lebih 100 beg sampah yang kita gunakan untuk bersihkan rumah,” kata beliau.
Hanya setelah semuanya dibersihkan, barulah beliau dan Cik Kamisah, 67 tahun, mula mencari kontraktor untuk memperbaiki rumah mereka.
Namun, mereka bertembung masalah pula untuk mendapatkan kontraktor.
“Kontraktor kata mereka susah cari pekerja kerana ramai pekerja muda sekarang kerja di Singapura. Bahkan, orang yang buat lantai di rumah kami pun kata dia kerja di Singapura dan dia masuk Johor pada hujung minggu untuk buat kerja di sini,” ujar Cik Kamisah, seorang pesara.
Mujur, pasangan suami isteri itu akhirnya berjaya mendapatkan kontraktor lama yang pernah mereka gunakan khidmatnya sebelum ini.
Melalui kontraktor itu, mereka juga telah mendapatkan khidmat syarikat kawalan serangga perosak untuk menghapuskan sarang anai-anai dalam rumah.
Antara kerja-kerja pembaikan yang dilakukan di rumah itu, yang dijalankan dari Ogos hingga Disember 2022, termasuk membuat semula lantai rumah, membangunkan dapur dan kabinet dan memasang papan skirting kayu baru di siling.
Mereka juga menukar paip air di rumah, memandangkan sudah lebih dua tahun sistem paip tidak digunakan.
Kini, rumah mereka kembali tersusun rapi, diserikan lagi dengan tanaman seperti pokok papaya dan pokok belimbing buluh yang menghiasi bahagian luar.
Cik Kamisah turut meluahkan rasa syukur rumah mereka itu tidak dirompak, dengan barang elektrik seperti televisyen masih ada di rumah tetapi tetap terpaksa dibuang juga kerana sudah tidak boleh digunakan akibat lama dibiarkan.
“Alhamdulillah, sepanjang lebih dua tahun yang kita tak dapat masuk ini, jiran cakap tak ada orang pecah masuk. Apabila kita balik rumah, barang-barang dalam rumah semua masih ada, cuma hampir semua dah rosak disebabkan anai-anai,” kata beliau.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg