Warga Singapura berusia 60 tahun dan ke atas kini boleh mendapatkan pelitup muka N95 secara percuma daripada mesin layan diri di kelab masyarakat (CC) mulai 23 Oktober.

Sebelum ini, hanya warga emas Singapura berusia 67 tahun dan ke atas sahaja yang layak menerima pelitup muka tersebut.

Langkah itu diumumkan Menteri Kemampanan dan Sekitaran, Cik Grace Fu, semasa lawatannya ke Pusat Penjaja Beo Crescent pada 22 Oktober.

Bercakap kepada media, beliau berkata penurunan had usia itu dilakukan menyusuli maklum balas daripada warga emas berusia 60 tahun dan ke atas yang sebelum ini tidak layak menerima pelitup tersebut.

Setakat ini, sebanyak 22 peratus pelitup muka N95 yang diperuntukkan telah diambil sejak pengagihannya bermula pada 14 Oktober, menurut jurucakap Pasukan Petugas Jerebu (HTF).

Mengulas tentang peluasan kelayakan itu, Cik Fu berkata: “Kami telah mengambil kira maklum balas orang ramai.

“Sebahagian warga emas berusia lebih 60 tahun yang bukan pemegang kad Generasi Merdeka atau Generasi Perintis (PG) telah menyuarakan bahawa mereka juga boleh raih manfaat daripada pelitup muka ini.

“Kami bersetuju dengan pandangan mereka, justeru kami memperluaskan kelayakan kepada semua warga emas Singapura berusia 60 tahun dan ke atas,” katanya.

Warga emas PG merupakan warga Singapura yang dilahirkan pada 1949 atau sebelumnya, manakala Generasi Merdeka merujuk kepada warga Singapura yang dilahirkan pada 1950-an.

Selain itu, mereka yang layak menerima pelitup muka dalam pengagihan pusingan kedua termasuk pemegang kad Skim Bantuan Kesihatan Masyarakat (Chas) Jingga / Biru dan pemegang Kad Pengecualian Bayaran Perubatan.

Golongan lain yang layak juga termasuk penerima bantuan ComCare, wanita hamil, kanak-kanak berusia antara tujuh dengan 16 tahun, dan ndividu yang mempunyai masalah kesihatan seperti penyakit lelah (asthma).

Namun, bagi wanita hamil, kanak-kanak dan individu yang mempunyai masalah kesihatan, mereka hanya boleh mendapatkan pelitup muka di lokasi Persatuan Rakyat (PA), seperti kelab masyarakat (CC).

Orang ramai juga boleh mendapatkan pelitup tersebut daripada mesin layan diri yang ditempatkan di 37 hab pengangkutan awam, pejabat khidmat sosial dan lokasi PA. Senarai lokasi pengambilan boleh didapati di go.gov.sg/hazemask.

Mereka yang belum mengambil pelitup muka dalam pusingan pertama juga boleh mendapatkan bekalan bagi kedua-dua pusingan sekali gus, dengan jumlah keseluruhan empat pelitup muka, tambah Cik Fu.

Beliau berkata langkah itu diambil sedang Singapura bersiap sedia melaksanakan pengagihan pelitup muka pusingan kedua, sebagai langkah berjaga-jaga terhadap kemungkinan keadaan jerebu kembali meruncing.

Semasa di Pusat Penjaja Beo Crescent, Cik Fu diiringi Anggota Parlimen (AP) GRC Jalan Besar, Dr Wan Rizal Wan Zakariah, di mana mereka bersama-sama mengagihkan beg berisi barangan bagi membantu penjaja menghadapi jerebu, termasuk pelitup muka, sirap herba dan minuman kelapa.

“Keadaan jerebu telah bertambah baik sejak beberapa hari lalu. Namun, kesihatan rakyat kita tetap menjadi keutamaan.

“Keadaan jerebu boleh bertambah buruk dalam masa terdekat, jadi kita mesti sentiasa bersedia,” kata Cik Fu.

Dalam pada itu, Cik Fu menasihat orang ramai untuk mendapatkan pelitup muka lebih awal, sementara mutu udara masih baik.

Beliau turut menggesa masyarakat untuk saling menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan, khususnya warga emas yang menghadapi kesukaran mengambil pelitup muka sendiri, serta golongan bekerja sendiri seperti penjaja dan penghantar makanan.

Cik Fu berkata pemerintah juga sedang bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan (MOH) untuk memastikan bekalan pelitup muka N95 di peruncit utama adalah mencukupi, selepas menerima laporan mengenai kekurangan stok di beberapa kedai.

Antara usaha yang sedang dilakukan termasuk memanfaatkan simpanan pelitup muka nasional bagi membantu peruncit mengisi semula rak jualan mereka.

Antara peruncit yang terlibat ialah Sheng Siong, Giant dan Cold Storage, menurut Cik Fu.

Cik Fu memberi jaminan bahawa bekalan pelitup muka masih mencukupi dan orang ramai tidak perlu membuat pembelian secara cemas, sambil memohon orang ramai untuk memberi sedikit masa kepada peruncit untuk menambah stok.

Menyentuh tentang kesan jerebu terhadap perniagaan penjaja, Cik Fu berkata maklum balas yang diterimanya semasa lawatan itu berbeza-beza.

“Ada yang memberitahu saya bahawa perniagaan mereka terjejas. Ada juga yang berkata keadaan perniagaan masih sama, manakala sebahagiannya menyaksikan peningkatan pesanan bungkus,” katanya.

Pemerintah akan mengumpulkan dan meneliti maklum balas tersebut sebelum menentukan sama ada bantuan tambahan diperlukan bagi menyokong penjaja yang terjejas akibat jerebu, tambah beliau.

Pemilik bersama gerai Nasi Lemak Goreng di pusat penjaja itu, Encik Abdul Rahman, 65 tahun, berkata hasil jualan merosot sekitar 20 peratus sejak keadaan jerebu melanda Singapura.

Namun, beliau tetap menaruh harapan keadaan jerebu akan beransur pulih dan hasil jualannya kembali meningkat tidak lama lagi.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti