Topik diikuti
Pergi ke BHkuPekerja penghantaran redah jerebu, bimbang kesan pendapatan dan kesihatan
Ada kurangkan waktu kerja apabila mutu udara merosot, bimbang kesan jangka panjang
Pekerja penghantaran redah jerebu, bimbang kesan pendapatan dan kesihatan
Sebelum berhenti bekerja sebagai pekerja penghantaran sepenuh masa dengan Foodpanda pada 18 Oktober lalu, Encik Muhammad Luqman Razale, biasanya bertugas selama 12 hingga 14 jam hampir setiap hari.
Apabila Indeks Pencemaran Udara (PSI) mencapai paras tidak sihat pada September dan mencecah julat sangat tidak sihat pada Oktober, tempoh masa yang panjang di luar rumah itu mula memberi kesan kepada lelaki berusia 38 tahun itu.
Beliau memberitahu Berita Harian (BH) bahawa sejak mutu udara merosot, beliau terpaksa mengambil masa rehat sehingga beberapa jam, berbanding hanya 30 hingga 45 minit.
Pada minggu lalu, sakit kepala yang bertambah buruk dipercayai akibat kesan jerebu memaksa beliau menghentikan syif sekitar tiga jam lebih awal, sekali gus menyebabkan beliau kehilangan anggaran pendapatan antara $100 dengan $120.
Walaupun sesetengah pekerja penghantaran seperti Encik Luqman terpaksa mengurangkan waktu kerja, individu lain yang ditemui BH berkata mereka masih mampu meneruskan tugas seperti biasa.
Namun, mereka melahirkan rasa bimbang akan kesan jangka panjang terhadap kesihatan jika keadaan jerebu berlarutan.
Encik Luqman, bapa kepada anak berusia tiga tahun, berkata:
“Saya sebenarnya lagi rehat ketika itu, namun kepala saya masih rasa sakit kepala sebelum ingin sambung bekerja…
“Saya masih teringat keadaan jerebu hari itu agak teruk di bahagian timur, sehingga susah untuk melihat pemandangan.”
Di samping tayar basikal yang pancit, cuaca panas dan kurang rehat, Encik Luqman memilih untuk henti syif pada hari itu.
Encik Luqman akan terus memantau PSI dan mempertimbangkan mengambil pelitup N95 bagi keselamatannya, terutamanya kerana beliau mungkin akan terus bertugas sebagai pekerja penghantaran sambilan.
Pekerja penghantaran sambilan, Encik Muhammad Hasyid, turut memilih untuk mengurangkan jumlah pesanan yang diambil apabila paras PSI memuncak baru-baru ini.
Individu berusia 28 tahun itu telah mengurangkan jumlah pesanan sebanyak 10 hingga 15 peratus dalam keadaan jerebu.
Pendapatannya turut merosot sejajar dengan pengurangan pesanan tersebut.
“Biasanya, saya bertungkus lumus menyempurnakan sebanyak mungkin pesanan dalam satu syif. Namun, dalam keadaan jerebu, saya perlahan sedikit kerana tak mahu memaksa diri sendiri,” kongsi Encik Hasyid.
Beberapa pekerja penghantaran lain turut berkongsi bahawa penglihatan mereka terjejas ketika di jalan raya, selain terpaksa berdepan dengan cuaca panas yang memburukkan lagi keadaan jerebu.
Ketika dihubungi BH pada 16 Oktober, Encik Harits Dzakir Abdul Aziz, pekerja penghantaran sambilan sejak 2021, berkata:
“Kadangkala, ia lebih sukar untuk melihat lampu isyarat di jalan raya.
“Saya tidak begitu terjejas buat masa ini, jadi saya dapat terus bekerja… Namun, saya pasti ada kalangan lain yang terkesan oleh keadaan jerebu.
Seorang lagi pekerja penghantaran sambilan, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Nabil, agak bimbang pendedahan kepada jerebu boleh menjejas kesihatan pernafasannya, terutama kerana beliau mempunyai sejarah penyakit bronkitis.
“Kalau jatuh sakit, saya perlu berjumpa doktor atau pergi ke hospital... ia akan menjadi beban,” katanya, yang berusia 28 tahun.
Itu akan menelan masa dan perbelanjaan, tambah beliau yang bertugas sejak 2019.
Memberi respons, syarikat platform penghantaran seperti Grab dan Foodpanda telah mengambil beberapa langkah untuk menyokong pekerja mereka dalam keadaan jerebu.
Menjawab pertanyaan BH, kededua syarikat itu berkata pihaknya memantau tahap PSI dan mutu udara, memberi pesanan secara berkala untuk menggesa pekerja mereka agar menjaga kesihatan dan keselamatan semasa bertugas.
Ini termasuk menekankan kepentingan mendapat hidrasi secukupnya, mengambil waktu rehat yang berkala, mendapatkan rawatan jika perlu serta mengehadkan pendedahan di luar apabila tahap PSI tinggi.
Jurucakap Grab berkata syarikat itu memberi jaminan bahawa tiada kesan terhadap pekerja yang memilih untuk log keluar semasa jerebu, atau mengambil masa lebih lama untuk menyempurnakan tempahan, demi keselamatan dan keselesaan pekerjanya.
Pihak Grab juga telah mempergiatkan usaha pengagihan pelitup N95 di lokasi penghantaran utama sejak 15 September.
Keselamatan dan kesihatan pekerja juga keutamaan pihak Foodpanda.
Jurucakap Foodpanda menambah bahawa rakan penghantar boleh memanfaatkan ciri pada aplikasi untuk mengurus waktu kerja secara lebih fleksibel.
Misalnya, pekerja Foodpanda boleh berehat sebentar di antara memenuhi tempahan tanpa menjejaskan insentif yang layak diterima.
Pihak Foodpanda juga telah memperkenalkan insentif jerebu khas untuk menyokong pekerjanya pada 14 Oktober.
Selain itu, pihak Foodpanda dan Grab turut menyokong inisiatif Persatuan Pekerja Penghantaran Nasional (NDCA) yang dilancarkan pada 12 Oktober, seperti dengan menyumbang pelitup N95.
Foodpanda telah menyumbang lebih 2,500 pelitup N95 kepada inisiatif itu.
NTWU juga membuka kantinnya di 30 pusat tukaran bas dan terminal bas bagi membolehkan penghantar makanan mengisi semula botol air mereka dan berehat seketika.
Sementara itu, jurucakap Foodpanda menjelaskan platform itu telah mencatatkan peningkatan dalam jumlah tempahan makanan dan barang rumah.
Trend itu mungkin kerana lebih ramai pelanggan memilih untuk mengurangkan masa dihabiskan di luar rumah, jelasnya.
Bagaimanapun, di sebalik peluang menghasilkan lebih pendapatan, sesetengah rakan penghantar risau akan kesan kesihatan akibat bekerja berterusan dalam keadaan jerebu.
Encik Harits, yang akan terus bertugas, berkata:
“Kami terdedah kepada risiko kesihatan apabila bertugas dan membuat penghantaran untuk masyarakat dalam keadaan jerebu ini.”
Encik Hasyid dan Encik Luqman, yang mungkin akan terus bertugas secara sambilan, akan mempertimbangkan mendapatkan pelitup N95 jika paras PSI kekal tinggi demi keselamatan.