Warong Nasi Pariaman dibanjiri pelanggan pada hari terakhir
Warong Nasi Pariaman dibanjiri pelanggan pada hari terakhir
Pemilik perniagaan warisan tambah lauk-pauk 5 kali ganda, simpan tekad sambung niaga meski kecil-kecilan
Sebelum ini, Cik Sarwa Saveira dan Cik Adhihasty Radhita dari Surabaya, Indonesia, tidak ketahui tentang populariti restoran Nasi Padang, Warong Nasi Pariaman, apa lagi menikmati sajian lauk-pauknya yang membuka selera.
Bagaimanapun, apa yang membuatkan mereka tertarik untuk datang bertandang ke restoran perniagaan keluarga di 738, North Bridge Road itu, adalah setelah membaca dalam talian tentang penutupan restoran tersebut yang mendapat liputan meluas daripada pelbagai laman media sosial di Singapura mahupun di Malaysia dan Indonesia.
Kebetulan, Cik Sarwa, 19 tahun, dan Cik Adhihasty, 22 tahun, kedua-duanya siswa kursus sarjana tahun kedua dari Universitas Airlangga di Surabaya, mempunyai satu persidangan untuk dihadiri di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS).
Lantas, mereka beruntung dapat menikmati makanan yang ditawarkan sebelum perniagaan warisan itu terpaksa ditutup selepas 78 tahun beroperasi, sejak 1948.
“Kami nampak di media sosial restoran ini akan ditutup. Justeru, kami mahu menjadi sebahagian daripada sejarah yang akan tersimpan dalam kenangan ramai orang Singapura,” kata Cik Adhihasty.
Cik Sarwa pula berkongsi mereka tertarik untuk mencuba makanan itu sebelum mereka pulang ke Surabaya.
“Kebetulan masa penerbangan kami adalah pada hari yang sama.
“Tetapi memandangkan kami ada masa sebelum bertolak ke Lapangan Terbang Changi, justeru, kami singgah sebentar dan ambil peluang untuk rasa Nasi Padang di sini yang berbeza dengan apa yang kita pernah rasa di Indonesia.
“Rasanya sangat sedap dan unik,” kata Cik Sarwa lagi.
Dua belia ini merupakan antara ramai pengunjung yang mula membanjiri restoran tersebut yang mengumumkan di media sosial pada 20 Januari lalu bahawa mereka akan menghentikan operasi selepas berkhidmat sejak 1948.
Menurut pemilik generasi kedua Warong Nasi Pariaman, Encik Abdul Munaf Isrin, orang ramai mula beratur seawal 6.30 pagi, jauh lebih awal daripada waktu operasi biasa pada 8 pagi.
“Barisan panjang sampai ke beberapa kedai jiran.
“Saya benar-benar terharu dengan sokongan yang diberikan,” katanya ketika ditemui Berita Minggu (BM) di kedai itu pagi 31 Januari.
Bagi menampung jumlah pelanggan yang membanjiri restoran itu, Encik Munaf berkata lauk-pauk yang disediakan adalah lima kali ganda lebih banyak daripada kebiasaan.
Di ambang penutupan restoran itu pada 25 Januari, seorang kakitangan kedai yang enggan menyebutkan namanya, malahan menjelaskan pihaknya menyediakan makanan tiga kali ganda lebih banyak daripada biasa.
Namun, semua sajian habis dijual seawal 11.45 pagi.
Ketika tiba di lokasi sekitar 9 pagi, wartawan BM mendapati barisan pelanggan yang memesan makanan untuk dibungkus dan dibawa pulang sahaja begitu panjang sehingga melepasi kira-kira lima kedai ‘jiran’ bersebelahan.
Barisan tersebut kekal panjang sehingga sekitar 1 tengah hari.
Encik Munaf berkata sambutan luar biasa itu membuatkan beliau berasa terharu dan sedih.
“Perniagaan ini bermula dengan usaha gigih ibu bapa saya dan saya mengambil alih daripada mereka. Ia telah bertahan selama 78 tahun,” katanya.
“Apabila kami mengumumkan tentang penutupan Warong Nasi Pariaman ini, semua orang mula datang untuk memberi sokongan.
“Saya sangat sedih, tetapi penuh kesyukuran juga,” tambahnya.
Ditanya tentang masa depan perniagaan legasi ini, Encik Munaf berkata beliau akan mengambil masa ini untuk berehat sementara waktu dan meluangkan masa bersama keluarga terlebih dahulu.
“Jika kesihatan saya mengizinkan, saya akan cuba untuk teruskan.
“Walaupun hanya kedai kecil, saya akan cuba buka semula,” katanya.
Meskipun ia merupakan hari terakhir restoran itu beroperasi, suasana di dalam kedai tetap sibuk dengan kehadiran banyak keluarga yang ingin menikmati hidangan terakhir bersama-sama.
Salah seorang pelanggan setia adalah Encik Henry Ong, 77 tahun.
Menurut Encik Ong, beliau telah menjadi pelanggan Warong Nasi Pariaman selama hampir lima dekad dan telah membawa anak cucunya makan bersama pada hari terakhir ia beroperasi.
“Semasa saya bekerja berhampiran restoran ini dulu, saya datang makan tiga atau empat kali seminggu,” katanya.
“Kami selalu adakan perjumpaan keluarga di sini.
“Jadi, hari ini saya bawa anak-anak dan cucu saya untuk menikmati makanan kegemaran kami,” katanya lagi.
Antara hidangan kegemarannya ialah ayam bakar, ikan bakar. Beliau bahkan menganggap sambal restoran ini sebagai pelengkap hidangan yang wajib.
Kian ramai hadir di Warong Nasi Pariaman selepas ia mengumumkan ia akan tutup buat selama-lamanya pada 31 Januari, dengan ramai yakin ada kena mengena dengan isu penyewaan.
Warong Nasi Pariaman, yang diasaskan pada 1948, merupakan antara kedai Nasi Padang tertua di Singapura dan dianggap sebagai perniagaan warisan ikonik di sini.
Susulan kebimbangan orang ramai, pihak berkuasa berkata pemerintah sedang bekerjasama dengan pemilik kedai untuk meneroka pilihan dan memberi lebih sokongan.
Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) menjelaskan demikian dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada 31 Januari.
Kenyataan tersebut merupakan respons kepada pertanyaan media mengenai cabaran yang dihadapi oleh perniagaan warisan.
URA berkata purata sewa rumah kedai di daerah bersejarah Kampong Glam, Little India dan Chinatown secara amnya meningkat pada kadar sederhana sejak dua tahun lalu.
Bagi sesetengah pelanggan, kunjungan terakhir ke Warong Nasi Pariaman bukan sekadar untuk menikmati makanan, tetapi juga bagi mengimbas kenangan lama bersama insan tersayang.
Cik Manisah Abu Yamin, 70 tahun, yang beratur lebih sejam bagi mendapatkan sebungkus nasi, berkata Warong Nasi Pariaman menyimpan banyak kenangan peribadi buatnya bersama arwah suaminya.
“Dulu masa bulan puasa, saya dan suami selalu datang makan di sini ketika mereka masih ada kedai di hujung Kandahar Street.
“Selepas suami saya sakit dan meninggal dunia, saya tak lagi datang menjamu selera di sini.
“Tapi apabila dengar mereka nak tutup, saya buat keputusan untuk datang buat kali terakhir ke sini,” katanya yang berkata kunjungan itu adalah sebagai tanda salam perpisahan terakhir.

