Sewa kedai privet melambung paksa peniaga warisan tutup kedai di Kg Gelam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Sewa kedai privet melambung paksa peniaga warisan tutup kedai di Kg Gelam

Sewa kedai privet naik hingga 150 peratus sejak 2020; lebih 10 perniagaan warisan tutup kedai
Jan 31, 2026 | 5:30 AM

Sewa kedai privet melambung paksa peniaga warisan tutup kedai di Kg Gelam

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula
Kg Gelam, sewa, mahal
Peniaga di Kampong Gelam, terutama perniagaan warisan, seperti penjual tekstil, amat terjejas dengan kenaikan harga sewa sejak beberapa tahun lalu, hingga ada yang terpaksa tutup kedai walaupun sudah berdekad lamanya bertapak di situ. Tinjauan Berita Harian (BH) mendapati beberapa kedai tekstil dan kedai permaidani yang telah beroperasi selama bertahun-tahun di situ sudah tiada lagi, digantikan dengan kedai baru, seperti kedai cenderahati dan kedai pencuci mulut (dalam gambar). - Foto BH oleh KHALID BABA

Kian ramai peniaga warisan yang menyewa rumah kedai daripada pemilik privet di Kampong Gelam terpaksa keluar daripada kawasan bersejarah itu sejak beberapa tahun lalu apabila harga sewa dinaikkan secara keterlaluan dan tidak lagi dapat dimampui.

Malah, beberapa peniaga yang ditemui Berita Harian (BH) berkata mereka hanya menantikan tempoh pajakan luput sebelum beredar.

Difahami, kebanyakan rumah kedai di kawasan tersebut dimiliki pemilik privet dan kadar sewa telah meningkat antara 30 peratus hingga 150 peratus sejak beberapa tahun lalu.

Pengerusi Perikatan Kampong Gelam (KGA), Encik Zaki Ma’arof, memberitahu BH lebih daripada 10 perniagaan warisan telah tutup kedai sepanjang lima tahun lalu, dengan kebanyakannya merupakan kedai tekstil.

Isu berhubung perniagaan warisan di Kampong Gelam telah menarik perhatian berikutan pengumuman bahawa restoran nasi padang popular, Warong Nasi Pariaman, akan ditutup pada 31 Januari.

Restoran itu terletak di 738 North Bridge Road dan telah beroperasi sejak 1948. Bagaimanapun, BH difahamkan bahawa penutupan Pariaman itu disebabkan beberapa faktor perniagaan lain dan bukan hanya berkaitan dengan soal sewa.

Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) dalam jawapannya kepada BH berkata agensi yang relevan telah mendekati anggota keluarga dalam kes Pariaman itu untuk meneroka pelbagai pilihan sokongan bagi menghulurkan bantuan lebih besar.

Namun, harga sewa melambung tetap menjadi isu bagi sebahagian peniaga di Kampong Gelam.

Ini ditambah beberapa faktor cabaran lain, seperti trend beli-belah yang berubah dalam kalangan masyarakat, termasuk menerusi dalam talian, di samping isu ketiadaan generasi pelapis yang meneruskan perniagaan warisan yang dimulakan datuk nenek mereka sebelum ini.

Antara mereka yang terjejas dengan isu harga sewa melambung itu ialah pemilik kedai tekstil Queen’s Fabric di 70 Arab Street, Encik Faslur Rahman.

Beliau bercadang untuk tutup kedai pada hujung Januari ini, hampir dua dekad sejak mula bertapak di sana pada 2010.

Harga sewa kedai yang terpaksa dibayarnya telah bertambah daripada $6,000 sebelum pandemik Covid-19 pada 2019, kepada $15,000 pada masa ini.

“Apa nak buat, akhir bulan, saya tutup,” ujar beliau.

Tinjauan BH di Kampong Gelam, yang bermula pada 2025, mendapati beberapa kedai tekstil dan kedai permaidani yang telah beroperasi selama bertahun-tahun lamanya di situ sudah tiada lagi. Tapak kedai mereka kini digantikan dengan kedai baru, seperti yang menjual cenderahati untuk pelancong dan makanan pencuci mulut.

Malah, sepanjang Arab Street yang berhampiran Masjid Sultan, sekurang-kurangnya lapan kedai menjual cenderahati boleh dihitung.

Kampong Gelam, termasuk Arab St diwartakan sebagai kawasan pemuliharaan pada 1989 dan merupakan pusat bersejarah bagi masyarakat Melayu/Islam, dengan Masjid Sultan dan Taman Warisan Melayu (TWM) sebagai mercu tanda ikonik utama kawasan tersebut.

Rumah kedai di kawasan itu dibina antara tahun-tahun 1840an dengan 1900an, dan merupakan antara generasi pertama rumah kedai di sini.

Antara 1993 dengan 1994, kawasan yang merangkumi Arab Street, Baghdad Street dan Bussorah Street disertakan dalam projek pemuliharaan rintis URA, yang menetapkan tingkat pertama rumah kedai digunakan sebagai ruang runcit.

Setiap deretan rumah kedai di lorong yang berbeza menampilkan ciri-ciri unik yang tersendiri, dengan Arab Street dikenali bagi kedai-kedai warisan dan tradisional yang menjual tekstil dan permaidani.

Sehingga 1997, 48 rumah kedai di Kampong Glam telah dipulihara dan dijual kepada tuan tanah dan peniaga, mengubah campuran peniaga di sana.

Difahamkan, rumah-rumah kedai kini dimiliki kumpulan yang berbeza, dengan sebahagian besarnya oleh keturunan generasi ketiga atau keempat pedagang Arab serta pelabur privet dari dalam dan luar negara.

URA, menjawab pertanyaan BH mengenai harga sewa kedai di kawasan itu, berkata data harga pajakan rumah kedai daripada pemerintah menunjukkan sewa median di Kampong Gelam – atau harga sewa pertengahan – yang dikenakan telah meningkat pada kadar sederhana sekitar 2 peratus setiap tahun sepanjang dua tahun lalu.

Ia serupa peningkatan harga sewa pertengahan di Little India, iaitu 2.5 peratus, dan 1 peratus di Chinatown.

Kenaikan harga itu juga setanding dengan kenaikan sewa ruang runcit konvensional di kawasan pusat Singapura, iaitu sekitar 2 peratus setiap tahun; dan juga di bawah pertumbuhan Hasil Dalam Negeri Kasar (GDP) nominal sekitar 6.7 peratus setahun dalam tempoh yang sama, kata URA.

“Pemerintah sedar perniagaan warisan, seperti semua perniagaan, menghadapi pelbagai cabaran komersial seperti kos pekerja dan bahan yang meningkat, serta kekangan tenaga kerja dan perubahan dalam permintaan dan pilihan pengguna, sementara berusaha mengekalkan ciri-ciri unik tawaran mereka,” kata URA.

“Pemerintah komited mengekalkan dan mempromosi perniagaan warisan, kegiatan tradisional, dan kehidupan budaya di kawasan bersejarah Singapura,” tambahnya.

Difahami, kebanyakan rumah kedai dimiliki pemilik privet, dengan beberapa peniaga dan ejen hartanah memberitahu BH lebih banyak rumah kedai di Kampong Gelam bertukar tangan sejak beberapa tahun lalu.

Pengarah Pemasaran Kanan di ERA Realty Network, Encik Hashim Bahashwan – yang berpengalaman dalam urus niaga hartanah rumah kedai di Kampong Gelam selama 25 tahun – berkata trend ini lebih ketara semasa pandemik Covid-19 dari 2020 hingga 2022.

Biasanya, tuan tanah baru akan mengenakan harga sewa yang jauh lebih tinggi kepada penyewa, apabila tempoh pajakan awal tamat, ujar Encik Hashim, berkongsi pemerhatiannya.

Dalam pada itu, peniaga yang ditemui BH berkata mereka turut prihatin dengan kehadiran kedai baru – termasuk kemunculan kedai-kedai cenderahati di Arab Street – yang menggantikan perniagaan warisan yang terpaksa berpindah pergi, dengan mereka bimbang ia berpotensi melunturkan nilai warisan Kampong Gelam.

Encik Zaki, berkata pihaknya maklum tentang isu harga sewa yang tinggi itu, sambil berkata mereka sedang mendekati pelbagai pihak berkepentingan, termasuk peniaga, ejen hartanah, pemilik rumah kedai dan agensi pemerintah, untuk mencari jalan penyelesaian.

KGA, yang dibentuk pada 2018, merupakan sebuah syarikat awam berhad dijamin (CLG) yang tertumpu pada usaha memelihara identiti budaya, menggalak kegiatan perdagangan dan perniagaan, serta memperkukuh hubungan masyarakat di Kampong Gelam.

Perikatan itu terdiri daripada penduduk, institusi budaya, badan perniagaan, pemilik hartanah dan hotel di kawasan bersejarah itu.

“Oleh sebab pasaran terbuka, isu harga sewa yang tinggi ini agak sukar ditangani. Namun, kami mendengar maklum balas daripada peniaga dan sedang berusaha mendekati pihak berkepentingan mencari huraian terbaik.

“Selain itu, kita juga perlu mengimbangi kepentingan nilai warisan Kampong Gelam. Kami tidak akan menyerah dalam mempertahankan budaya dan warisan Kampong Gelam, di samping berusaha untuk membantu para peniaga di sini,” kata Encik Zaki.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg