Warong Nasi Pariaman tutup 31 Jan: Pemilik sedih, ucap terima kasih kepada pelanggan
Warong Nasi Pariaman tutup 31 Jan: Pemilik sedih, ucap terima kasih kepada pelanggan
Restoran turun-temurun yang menjual nasi Padang, Warong Nasi Pariaman akan menghentikan operasinya pada 31 Januari ini.
Ini disahkan salah seorang pemilik restoran itu, Encik Abdul Munaf Isrin, yang melahirkan rasa sedihnya di atas keputusan itu, namun enggan memberikan sebab restoran itu bakal ditutup.
“Buat masa ini saya tak nak komen apa-apa.
“Ramai yang prihatin tentang penutupan kedai ini, (dan) saya amat terharu dan sedih,” kata Encik Abdul Munaf semasa dihubungi wartawan pada 20 Januari.
Restoran yang terletak di 738 North Bridge Road telah beroperasi sejak 1948.
Apabila wartawan Berita Harian (BH) mengunjungi restoran itu sekitar 3.30 petang pada 20 Januari, seorang pelanggan setia Warong Nasi Pariaman Encik Anuwar Rahman, 58 tahun, berkongsi perasaan terkejut dan kecewa terhadap keputusan tersebut.
“Dengan segera saya memandu ke sini dari Jurong untuk mengesahkan khabar yang saya dengar tentang Warong Nasi Pariaman.
“Memang betullah restoran ini akan tutup. Saya macam tak percaya sebab restoran ini dah lama di sini.
“Saya membesar di kawasan ini dan walaupun saya sudah berpindah, saya masih kunjungi tempat makan ini tiga kali sebulan,” kongsi Encik Anuwar, seorang penghantar barangan.
Beliau menambah Warong Nasi Pariaman bukan sekadar sebuah tempat makan, malah ia ruang untuk sahabat lama dan anggota keluarga berkumpul sambil menikmati nasi Padang.
Seorang lagi yang terkesan ialah tukang masak restoran itu, Encik Marwan Ghani, 54 tahun, yang juga dikenali pelanggan sebagai ‘Ron’ atau ‘Atai’, juga tidak memberikan sebarang komen mengenai keputusan penutupan itu.
Dalam kunjungan BH itu, Encik Marwan dilihat sedang mencuci lantai dapur kedai makan itu yang dikatakan telah selesai perniagaan sekitar 2 petang apabila makanan habis dijual.
Encik Marwan, yang telah bekerja di Warong Nasi Pariaman sejak berusia 18 tahun, berkata:
“Kalau saya asyik fikirkan bahawa operasi restoran ini akan berakhir, mestilah saya sedih.
“Rencananya saya ingin bersara tahun depan apabila usia saya capai 55 tahun tetapi kerana memandangkan ia akan tutup tidak lama lagi, jadi saya buat keputusan pulang ke Kuala Lumpur lebih awal,” kata Encik Marwan.
Keluarganya yang terdiri daripada isteri, dua anak dan dua cucu menetap di Kuala Lumpur manakala Encik Marwan menetap di Singapura dan akan ulang-alik sekali setiap bulan atau setiap dua bulan jika masa mengizinkan.
Sementara itu, pemilik generasi ketiga Rumah Makan Minang, yang merupakan sebuah lagi restoran nasi padang, Encik Hazmi Zin, turut melahirkan perasaan sedih dan berharap agar perniagaan lain di sekitar Kampong Gelam dipelihara agar tidak ditelan zaman.

