Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Wartawan grafik BH raih Anugerah Infografik Iklim antarabangsa

Nov 5, 2025 | 9:30 PM
Artis Eksekutif Berita Harian (BH), Encik Mohd Samad Afandie (tengah), menerima Anugerah Infografik Iklim Terbaik (Perak) dari Persatuan Dunia bagi Akhbar dan Penerbit Berita (WAN-Ifra) semasa majlis Anugerah Media Asia 2025 di Conrad Singapore Orchard pada 5 November. Bergambar bersama beliau adalah Pengarah Asia WAN-Ifra, Encik Lee Kah Whye (kiri); dan Pengarah Presiden Bisnis Indonesia, Cik Lulu Terianto.
Artis Eksekutif Berita Harian (BH), Encik Mohd Samad Afandie (tengah), menerima Anugerah Infografik Iklim Terbaik (Perak) dari Persatuan Dunia bagi Akhbar dan Penerbit Berita (WAN-Ifra) semasa majlis Anugerah Media Asia 2025 di Conrad Singapore Orchard pada 5 November. Bergambar bersama beliau adalah Pengarah Asia WAN-Ifra, Encik Lee Kah Whye (kiri); dan Pengarah Presiden Bisnis Indonesia, Cik Lulu Terianto. - Foto ST

Menjelaskan perspektif sains di sebalik gunung berapi dan perubahan iklim bukan mudah, lebih-lebih lagi apabila ia memerlukan suntikan kreatif untuk menarik pembaca.

Istilah geologi rumit pula perlu dijelaskan dengan ringkas tanpa menjejas ketepatan saintifiknya atau daya tarikan visual.

Namun, cabaran tersebut disahut oleh Artis Eksekutif Berita Harian (BH), Encik Mohd Samad Afandie, dan kerja kerasnya diiktiraf baru-baru ini apabila beliau menerima Anugerah Infografik Iklim Terbaik (Perak) dari Persatuan Dunia bagi Akhbar dan Penerbit Berita (WAN-Ifra).

Anugerah tersebut disampaikan semasa Anugerah Media Asia 2025 di Conrad Singapore Orchard pada 5 November.

Idea bagi infografik tersebut tercetus selepas beliau melihat data membimbangkan yang dikeluarkan Institut Smithsonian, menunjukkan 46 gunung berapi yang kini aktif akibat perubahan iklim yang pesat.

“Penyelidikan saya mengenai ‘Pemindahan global akibat bencana perubahan iklim’ digabungkan dengan data ini… membangkitkan rasa ingin tahu saya tentang kemungkinan kebangkitan gunung berapi gergasi yang sedang ‘tidur’ di Asia.

“Kebimbangan ini lebih serius apabila mengambil kira implikasinya terhadap kawasan yang padat penduduk yang sudah pun terdedah kepada perubahan alam sekitar,” ujar beliau.

Minat terhadap topik tersebut mendorongnya untuk menghasilkan infografik berjudul Kebangkitan Gergasi yang Sedang Tidur di Asia – Danau Toba: Bagaimana Perubahan Iklim Mempengaruhi Gunung Berapi.

Menggunakan grafik 3D, infografik tersebut menunjukkan bagaimana cecair magma, kenaikan suhu serta pergerakan plat tektonik ‘berinteraksi’ di Danau Toba, yang terletak di Sumatera Utara.

Kata Encik Mohd Samad, ini seperti mengubah data geologi teknikal dan pandangan akademik daripada profesor Balai Cerap Bumi Singapura (EOS) di Universiti Teknologi Nanyang (NTU) kepada sebuah kisah visual yang jelas.

Ini di samping menghasilkan beberapa lakaran dan draf konsep dalam menterjemahkan butiran saintifik yang rumit, dan memilih warna, ikon dan rajah berskala secara strategik untuk menonjolkan perkara penting.

Menyentuh tentang pengiktirafan sedemikian, Editor BH, Encik Nazry Mokhtar, berkata:

“Dengan menghasilkan infografik yang kreatif dan padat dengan maklumat, kami berharap ia dapat meningkatkan kesedaran pembaca tentang isu-isu semasa seperti perubahan iklim yang semakin mendapat perhatian dalam masyarakat kita.

BH akan terus meneroka cara-cara inovatif dan digital untuk mempersembahkan berita dan informasi dengan lebih menarik.”

Menyentuh tentang cabaran yang dihadapinya, Encik Samad berkata usaha memproses dan meringkaskan maklumat yang diperlukan mengambil masa yang agak lama.

“Saya rasa penting untuk menggabungkan reka bentuk, komunikasi dan sains untuk menghasilkan infografik yang memberi maklumat, menarik minat, dan menghubungkan penonton daripada semua lapisan masyarakat,” kongsi Encik Samad, 61 tahun, yang telah berkhidmat di BH selama 20 tahun.

Ini merupakan kali ketiga beliau menerima pengiktirafan infografik di peringkat Asia.

Sebelum ini, beliau pernah menerima Infografik Surat Khabar Terbaik pada 2006 untuk infografik Sistem Mengesan Bencana Alam, dan Infografik Terbaik pada 2009 untuk Infografik Peluasan Masjidil Haram.

Berkongsi kepada BH, Encik Samad menyifatkan pengiktirafan tersebut sebagai suatu yang “sangat bermakna”.

“Dalan dunia yang sering menekankan potensi golongan muda dan bakat mentah, anugerah ini menonjolkan nilai pengalaman seperti pandangan mendalam, konteks, dan kefahaman yang lahir daripada masa yang diluangkan untuk meneliti sesuatu isu dengan mendalam.

“Anugerah ini menjadi peringatan bahawa pengalaman dalam bidang komunikasi sama pentingnya dengan keupayaan bakat baru, dan kedua-duanya boleh bekerjasama untuk memberikan kesan yang lebih mendalam,” kongsi beliau.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg