Menjelang 2027, pengunjung ke Waterloo Street bakal menikmati pengalaman berjalan kaki yang lebih selesa dan menawan, dengan laluan pejalan kaki yang lebih lebar dan lebih banyak pokok-pokok teduhan.
Pada 11 Disember, Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) mengumumkan bahawa tempat letak kereta di tepi jalan akan dimansuhkan bagi memberi laluan kepada pejalan kaki yang lebih luas, di sepanjang Waterloo Street antara Middle Road dan Bras Basah Road.
Peningkatan ini dirancang untuk mewujudkan ruang awam yang lebih besar untuk acara luar dan aktiviti masyarakat serta menjadikan kawasan itu lebih mesra pejalan kaki, lapor The Straits Times (ST).
Kerja-kerja pembaikan akan meliputi kira-kira 340 meter jalan, termasuk pemasangan bekalan air dan titik elektrik baru untuk kegunaan acara.
URA menjelaskan bahawa rancangan ini mengambil kira maklum balas daripada kumpulan seni tempatan dan juga orang awam.
Dalam hantaran Facebook, Menteri di Pejabat Perdana Menteri merangkap Menteri Kedua (Kewangan dan Pembangunan Negara), Cik Indranee Rajah berkata tender bagi kerja-kerja ini telah pun dibuka.
Beliau menambah, mereka yang memberikan maklum balas inginkan persekitaran jalan yang lebih mudah diakses dan menarik.
Menurut dokumen tender, kerja-kerja dijangka mengambil masa kira-kira 14 bulan selepas tender dianugerahkan dan tender dijangka ditutup pada 12 Januari 2026.
Sebagai sebahagian daripada penaiktarafan, empat titik paip air minum akan dipasang. Tiga daripadanya akan ditempatkan berdekatan hab seni seperti Pusat Kaligrafi Singapura dan Theatre Practice, manakala satu lagi akan berada di hadapan Waterloo Centre.
Di hadapan pembangunan perumahan awam itu, sebuah tempat menurun dan menaikkan penumpang baru juga akan dibina.
Di kawasan berhampiran, laluan berbumbung merentasi Waterloo Street akan dibina, menyambungkannya kepada laluan berbumbung baru sepanjang Hotel Waterloo Singapore menuju ke Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa).
Laluan pejalan kaki baru di Waterloo Link turut akan dibina, meningkatkan ketersambungan antara Queen Street dan Waterloo Street.
Cik Indranee berkata peningkatan ini melengkapkan usaha penaiktarafan di daerah seni dan warisan Bras Basah-Bugis, yang seluas 95 ekar, dibentuk melalui Rancangan Induk 1988.
Selama beberapa dekad, kawasan itu telah melalui banyak transformasi, termasuk menukar sebahagian daripada Albert Street, Waterloo Street, Queen Street dan Bencoolen Street menjadi laluan pejalan kaki.
URA juga menarik perhatian kepada laluan berbasikal baru di Bencoolen Street yang siap pada November, menghubungkan Bras Basah-Bugis dan Daerah Sivik.
Laluan pejalan kaki yang lebih lebar ini turut memudahkan inisiatif akar umbi seperti pasar seni dan karya seni pelajar NAFA.
URA menambah peningkatan ini akan mewujudkan lebih banyak peluang bagi masyarakat untuk terlibat dalam usaha menghidupkan kawasan tersebut melalui penambahan infrastruktur baru dan program kemasyarakatan.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg