Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Woodlands bandar pertama S’pura laksana inisiatif kesihatan khusus untuk penduduk

Dec 31, 2025 | 1:07 PM
HPB, woodlands, Bandar Penggalakan Kesihatan
Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) berkata kegiatan itu akan direka bersama dengan penduduk dan rakan kongsi, mengambil kira konteks budaya, serta keperluan pelbagai kumpulan. - Foto fail

Woodlands dijangka menjadi bandar pertama di Singapura yang melaksanakan inisiatif kesihatan khusus untuk penduduknya, menurut tender yang dikeluarkan Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) di portal perolehan pemerintah, GeBIZ pada 16 Disember.

Bagi tujuan itu, HPB sedang mencari kontraktor untuk membantu melatih pemimpin masyarakat, sukarelawan dari pusat penuaan aktif dan organisasi akar umbi. 

Mereka perlu mempunyai pengetahuan mendalam untuk melaksanakan aktiviti kesihatan yang sesuai dengan keperluan penduduk Woodlands dan mendorong perubahan dalam tabiat kesihatan mereka, lapor The Straits Times (ST).

HPB berkata kegiatan itu akan direka bersama dengan penduduk dan rakan kongsi, mengambil kira konteks budaya, serta keperluan pelbagai kumpulan, seperti golongan warga emas yang kurang aktif, keluarga berpendapatan rendah, belia dan masyarakat etnik yang berbeza.

Ini akan menjadikan Woodlands, Bandar Penggalakan Kesihatan pertama di Singapura, skim perintis di bawah SG Lebih Sihat yang bertujuan “menjadikan gaya hidup sihat pilihan semula jadi bagi penduduk”, menurut dokumen tender.

Oleh kerana proses tender itu akan ditutup pada 16 Januari 2026, HPB enggan memberikan lebih banyak butiran mengenai skim perintis itu, termasuk sebab Woodlands dipilih sebagai bandar pertama penggalakan kesihatan dan rancangan untuk mengembangkan skim itu pada masa hadapan.

Menteri Kesihatan, Encik Ong Ye Kung, berkata pada Oktober bahawa penduduk di tiga bandar utama di utara Singapura – Yishun, Sembawang dan Woodlands – mempunyai kadar penyakit kronik yang lebih tinggi berbanding penduduk di kawasan lain.

Walaupun sebab-sebabnya memerlukan kajian mendalam, “Saya rasa apa yang boleh kita lakukan sekarang adalah memberi tumpuan kepada usaha kesihatan penduduk dan pencegahan di kawasan utara,” kata Encik Ong.

Menurut dokumen tender, kontraktor dijangka membimbing pemimpin masyarakat dan sukarelawan cara mendapatkan maklumat yang relevan, seperti data klinikal penduduk dari kluster penjagaan kesihatan awam, dalam menjalankan pelbagai inisiatif kesihatan.

Maklumat relevan juga boleh didapati menerusi data kesihatan yang dikumpul aplikasi mudah alih Healthy 365 milik HPB.

Data mengenai tahap fizikal penduduk juga boleh didapati melalui penjejak kecergasan HPB.

Selain itu, kajian HPB mengenai persekitaran kehidupan yang sihat sangat berguna kerana ia telah mengkaji bagaimana pembinaan, kehidupan dan pendigitalan di Singapura mempengaruhi tingkah laku kesihatan penduduk, termasuk kegiatan fizikal, pemakanan, tidur dan kesejahteraan mental mereka.

Untuk membantu rakan kongsi masyarakat mendorong penduduk mengamalkan gaya hidup sihat, faktor seperti nuansa budaya dan tahap literasi akan diambil kira.

Kontraktor dijangka membangunkan 12 hingga 15 strategi pengaktifan kesihatan masyarakat, yang merangkumi bidang seperti kegiatan fizikal, pemakanan, pola tidur dan kesejahteraan mental.

Setiap strategi akan menggariskan hasil yang diingini, menyediakan butiran mengenai sumber, tenaga kerja dan logistik, mesej dan pendekatan komunikasi, pertimbangan keselamatan, serta penunjuk untuk memantau hasil.

HPB berkata kontraktor harus melibatkan penduduk dan bekerjasama untuk mencipta kandungan yang mencerminkan pengalaman mereka, sambil mengambil kira ciri-ciri fizikal dan demografi unik bandar tersebut.

Kontraktor juga perlu menyediakan “panduan pelaksanaan langkah demi langkah” untuk rakan kongsi masyarakat supaya mereka dapat melaksanakan rancangan dengan mudah dan “boleh disesuaikan untuk kegunaan bandar-bandar lain pada masa hadapan”.

Penganugerahan tender itu dijangka akan dilakukan pada Mei 2026.

Selepas itu, proses penerbitan buku panduan akan dimulakan dan dijangka siap pada 2027.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg