Wacana
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Bakal haji SG Lebih Sihat

Ketetapan terkini kerajaan Saudi peringatan kepentingan jaga kesihatan
Nov 9, 2025 | 5:30 AM
Menunaikan fardu haji di Makkah menjadi impian ramai umat Islam. Namun ia menuntut persiapan fizikal dan mental. Gambar dirakam pada 4 Jun 2024 ketika jemaah tiba untuk melaksanakan ibadah haji.
Menunaikan fardu haji di Makkah menjadi impian ramai umat Islam. Namun ia menuntut persiapan fizikal dan mental. Gambar dirakam pada 4 Jun 2024 ketika jemaah tiba untuk melaksanakan ibadah haji. - Foto AFP

Sekian lama menanti, senarainya panjang dan puluhan ribu nama di hadapan.

Tahun demi tahun beliau mengharapkan Singapura memperolehi kuota tambahan bagi menunaikan fardu haji.

Namun beliau sedar sebagai sebuah negara kecil, kemungkinan memperolehi pertambahan itu juga sekelumit.

Bagaimanapun, hatinya remuk tatkala mendapat tahu tentang pengumuman Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi yang menetapkan peraturan baru melibatkan tahap kesihatan bakal jemaah yang mahu menunaikan haji.

Suaminya yang hampir berusia 60 tahun baru diserang sakit jantung.

Yang pasti, teman ini tidak sendirian. Ramai yang mungkin berhadapan ujian serupa.

Musim haji 2026 dijangka menyaksikan kalangan jemaah yang jauh lebih sihat berbanding sebelumnya.

Mungkin tidak akan ada lagi mereka yang memerlukan rawatan dialisis semasa menunaikan haji; mereka yang ditemani tangki oksigen bagi mempermudah pernafasan; mereka yang menghidapi gangguan psikiatrik atau demensia tahap lanjut; kehamilan bermasalah dan lain-lain lagi.

Pendek kata, bakal jemaah haji bakal melalui proses saringan terlebih dahulu berdasarkan ketetapan terkini dan disahkan sihat untuk menyahut seruan ke tanah suci.

Pendekatan terkini itu adalah usaha kerajaan Saudi dalam memastikan kelancaran ibadah yang membabitkan jutaan umat Islam dari seluruh dunia.

Berita itu mungkin menyentak.

Tetapi ia sekali gus mengingatkan kita tentang pentingnya menjaga kesihatan.

Malah, ia sejajar dengan usaha pemerintah di bawah SG Lebih Sihat – daya usaha Kementerian Kesihatan (MOH) – yang memberi tumpuan kepada kesihatan khususnya dalam mencegah penyakit.

Rakyat Singapura digalak mengambil langkah proaktif dalam menguruskan kesihatan mereka, menghalang bermulanya penyakit kronik dan mendapat sokongan padu dalam menjalani gaya hidup sihat.

Apatah lagi dengan penduduk negara yang kian menua.

Malah, Islam sendiri amat mementingkan penjagaan kesihatan. Ia disifatkan harta paling berharga.

Melaluinya juga lahir masyarakat yang sihat, cergas dan cerdas.

Tubuh badan yang sihat dan kuat akan menjadi perisai bagi menghindari penyakit sekali gus memudahkan seseorang itu menjalani kehidupan harian di samping memenuhi tuntutan agama.

Secara peribadi, saya sendiri pernah mendengar keluhan pesakit ginjal yang perlu menjalani rawatan dialisis dalam tempoh yang panjang tiga kali seminggu.

Apabila keluar dari pusat dialisis, kadangkala terasa letih dan mabuk. Hendak naik bas pun tidak larat, katanya.

Maka bayangkan jika pesakit sebegini perlu mengharungi lautan manusia dalam jumlah berjuta dari negara seluruh dunia dan kuman yang mungkin dibawa.

Dengan tahap kesihatan yang terjejas, memang mudah untuk dijangkiti penyakit.

Bagaimana kelak mutu ibadah yang dilaksana?

Dalam musim haji sebelum ini, terdapat laporan bagaimana jemaah berusia lebih 90 tahun ditegur kerana kelihatan sudah agak tidak berdaya meskipun duduk di kerusi roda.

Persoalannya, adakah ia masih menjadi tanggungjawab individu sebegitu untuk tetap menunaikan haji dalam keadaan yang boleh disifatkan sebagai tidak berkemampuan secara fizikal?

Perkara itu telah dijelaskan oleh Jawatankuasa Fatwa Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) yang telah mengeluarkan garis panduan bagi yang terjejas khususnya mereka yang tidak mendapat visa haji ekoran tahap kesihatan.

Bagi musim haji 2026, Muis telah mula mengedarkan Surat Hasrat dari 31 Oktober 2025 bagi pemohon yang berdaftar sebelum 7 Mac 2014.

Ia khusus untuk mengisi 900 kuota yang diberikan kepada Singapura.

Kali ini, sebelum memperolehi visa bagi menunaikan haji, setiap anggota jemaah perlu mendapatkan Sijil Penilaian Kesihatan daripada doktor terlebih dahulu. Ia perlu dilakukan sebelum 21 November 2025.

Sijil Penilaian Kesihatan itulah umpama ‘pasport’ yang membuka pintu bagi jemaah menjejakkan kaki ke tanah suci dalam musim haji 2026 seandainya giliran mereka sudah tiba berdasarkan nombor dalam senarai.

Hanya mereka yang disahkan sihat bakal menerima Surat Tawaran Rasmi daripada Muis.

Surat yang bakal diedar mulai 1 Disember 2025 itu akan membolehkan bakal jemaah membeli pakej haji daripada ejen yang dilantik Muis.

Muis menjelaskan di Facebook bahawa seseorang yang menghidapi penyakit kronik seperti kencing manis, darah tinggi, atau kolesterol tinggi, “tidak secara automatik menyebabkan anda disahkan tidak sihat untuk haji, sekiranya keadaan anda dikawal dan Sijil Penilaian Kesihatan diperolehi”.

Membuat pengisytiharan jujur tentang keadaan kesihatan semasa pemeriksaan menjadi satu kemestian.

“Adalah penting bagi anda untuk memastikan kesihatan anda dikawal dengan baik melalui ubat-ubatan yang betul, pemantauan tetap, dan susulan dengan doktor anda menjelang ibadah haji,” tambah Muis di Facebook.

Namun, ada sesetengah pihak berpendapat meskipun keadaan anggota keluarga mereka agak uzur untuk menunaikan haji, mereka tetap reda.

Reda dan siap menghadapi kemungkinan anggota keluarga itu menyahut seruan Ilahi di sana.

Tetapi bagaimana anggota jemaah yang uzur dapat menunaikan ibadat tanpa bantuan?

Jumlah kuota negara ini sendiri agak terbatas. Kakitangan ejen penjualan (GSA) pakej haji yang ditugaskan di tanah suci pula perlu menggalas banyak tugas kerana jumlah kakitangan juga tidak ramai.

Di samping tahap kesihatan, bagi 2026, keutamaan akan turut diberikan kepada pemohon berusia 70 tahun dan ke atas serta dalam keadaan sihat.

Seandainya ada anggota jemaah didapati mempunyai masalah kesihatan yang disenaraikan, namun tetap didapati berada di sana, pihak Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi, akan mengambil langkah pembetulan dan disiplin ke atas Pejabat Ehwal Jemaah negara terbabit, tegasnya.

Semoga ini akan menjadi pendorongnya.

Sudah tiba masanya setiap di antara kita meletakkan kesihatan di tahap yang sewajarnya. Jika perlu mengambil ubat, tetap setia ikut arahan doktor.

Mungkin juga inilah waktunya bagi kita menggandingkan kedua-dua – bahawa kesihatan juga satu bentuk ibadah dan tanpanya, semua jadi tidak bermakna.

Apa jua yang berlaku kemudian, sama ada hasrat menunaikan haji kesampaian atau tidak, berdamailah dengan takdir.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg