Parti Pekerja (WP), dalam satu kenyataan pada 28 Disember, mengesahkan bahawa ia telah menerima permintaan oleh ahli kadernya untuk mengadakan satu persidangan khas bagi ahli kader.
“Parti Pekerja mengesahkan bahawa permintaan telah dibuat untuk Persidangan Khas Ahli Kader, dan Pengerusi Parti, Cik Sylvia Lim telah akur menerima permintaan ini kepada ahli kader tersebut.
“Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) Parti Pekerja akan mengambil langkah lanjut tersebut selaras dengan Perlembagaan Parti,” kata WP susulan pertanyaan media pada 27 Disember malam.
WP kini mempunyai 19 ahli CEC, termasuk 10 Anggota Parlimen (AP) dan dua AP Tanpa Kawasan Undi (NCMP).
Ahli kader ialah ahli parti yang dipilih khas dan memegang kuasa seperti bertindak sebagai pengundi untuk jawatan kepimpinan di CEC.
Mereka juga memastikan kesetiaan parti dipatuhi, membimbing dasar dan mengekalkan kestabilan – tidak seperti ahli biasa yang tidak mempunyai hak untuk mengundi jawatan CEC.
Menurut Perkara 14(2) di bawah Perlembagaan WP, pengerusi CEC, atau 10 peratus ahli kader atau sekurang-kurangnya 20 ahli kader parti (yang mana lebih tinggi), boleh pada bila-bila masa memanggil persidangan khas ahli kader untuk tujuan tertentu yang akan dinyatakan.
Anggaran lepas tentang bilangan kader WP telah dilaporkan sekitar 100 orang. Tidak jelas sama ada permintaan itu dikemukakan oleh bilangan ahli kader yang mencukupi.
Persidangan khas ini berasingan daripada Persidangan Ahli Kader yang biasa diadakan sekurang-kurangnya sekali dalam dua tahun, di mana CEC biasanya dipilih.
Perlembagaan WP juga menyatakan bahawa sekiranya persidangan dipanggil, Setiausaha Agung parti akan menghantar notis kepada semua ahli kader sebulan sebelum hari yang ditetapkan untuk persidangan ahli kader.
Ini bagi memaklumkan mereka tentang tarikh, masa dan tempat yang ditetapkan untuk mesyuarat tersebut.
Setiausaha Agung parti juga akan memaklumkan mereka tentang agenda dan resolusi yang dibentangkan untuk perbincangan apabila boleh.
Kenyataan WP pada 28 Disember itu dibuat menjelang perbincangan Januari di Parlimen mengenai respons yang sesuai terhadap sabitan Setiausaha Agung WP, Encik Pritam Singh, kerana berbohong kepada jawatankuasa Parlimen.
Ketua Dewan, Cik Indranee Rajah, juga telah berkata bahawa sabitan Encik Pritam mempunyai implikasi terhadap pemimpin parti Cik Sylvia Lim dan Encik Faisal Manap.
Ini juga akan menjadi sebahagian daripada perbincangan akan datang di Parlimen, yang akan bersidang pada 12 Januari.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg