Singapura
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Xueling: Pertubuhan agama, sekolah, hospital sedia hadapi serangan pengganas

Feb 26, 2025 | 5:17 PM
Cik Sun Xueling berkata kementerian telah bekerjasama dengan pertubuhan agama, sekolah dan hospital untuk mencegah, mengesan dan bertindak terhadap serangan pengganas.
Cik Sun Xueling berkata kementerian telah bekerjasama dengan pertubuhan agama, sekolah dan hospital untuk mencegah, mengesan dan bertindak terhadap serangan pengganas. - Foto MDDI

Sekolah, hospital awam, dan pertubuhan agama di Singapura telah menyediakan prosedur untuk menangani ancaman keselamatan dan serangan pengganas.

Menteri Negara (Pembangunan Sosial dan Keluarga merangkap Ehwal Dalam Negeri), Cik Sun Xueling, memberitahu Parlimen pada 26 Februari bahawa kementerian telah bekerjasama dengan institusi-institusi ini untuk mencegah, mengesan dan bertindak terhadap serangan pengganas.

Untuk sekolah, beliau berkata kementerian bekerjasama rapat dengan Kementerian Pendidikan (MOE) mengenai kesiapsiagaan menghadapi krisis, lapor The Straits Times.

Semua sekolah mempunyai prosedur operasi standard (SOP) untuk membantu kakitangan dan pelajar bertindak dan pulih daripada kecemasan.

Selain latihan lockdown (sekatan pergerakan) tahunan, sekolah juga menjalankan latihan berkala yang melibatkan polis dan Pasukan Pertahanan Awam Singapura (SCDF), kata Cik Sun.

Beliau menjawab soalan daripada Encik Christopher de Souza (GRC Holland-Bukit Timah) dan Cik Rachel Ong (GRC West Coast), yang bertanya bagaimana Kementerian Ehwal Dalam Negeri  (MHA) mempersiapkan masyarakat, termasuk sekolah, hospital dan tempat ibadat, untuk menghadapi potensi ancaman keselamatan.

Encik de Souza juga telah bertanya mengenai usaha-usaha MHA berikutan kejadian serangan kedua di tempat ibadat dalam tempoh kurang daripada enam bulan.

Kejadian pertama berlaku pada 9 November 2024, apabila seorang lelaki berusia 37 tahun didakwa menyerang seorang paderi dengan pisau di Gereja St Joseph di Upper Bukit Timah.

Reverend Christopher Lee, 57 tahun, mengalami luka di sekitar mulutnya. Penyerangnya telah didakwa dengan satu tuduhan menggunakan pisau untuk menyebabkan kecederaan parah secara sengaja.

Kejadian kedua pada 9 Februari 2025 melibatkan seorang lelaki berusia 22 tahun yang didakwa menyerang seorang paderi di Gereja Katolik di Upper Thomson.

Paderi tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan yang dapat dilihat, dan lelaki itu telah ditangkap atas kesalahan gangguan awam.

Cik Sun berkata pertubuhan agama mengambil bahagian dalam penilaian keselamatan diri, membangunkan rancangan kecemasan, dan menghadiri seminar antikeganasan untuk memahami lebih baik tentang ancaman pengganas dan keselamatan.

Di bawah program Kesiapsiagaan Krisis untuk Organisasi Agama yang dijalankan oleh Kementerian Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY), kumpulan keagamaan belajar menilai kesiapsiagaan krisis mereka sendiri, melatih anggota dengan kemahiran pertolongan cemas, dan menyediakan pelan tindak balas kecemasan yang terperinci.

Program ini, yang merupakan inisiatif di bawah Rangkaian Masyarakat SGSecure, bertujuan membantu kumpulan-kumpulan ini melindungi premis dan jemaah mereka dengan lebih baik, serta memberi bantuan kepada masyarakat yang lebih besar apabila berlaku krisis.

Cik Sun berkata hospital awam menjalankan latihan kesiapsiagaan secara berkala bersama polis dan SCDF.

Mereka dinilai berdasarkan langkah-langkah yang diambil untuk mengawal fasiliti mereka sambil menangani kejadian yang mana ramai mangsa cedera.

Beliau menambah Kementerian Kesihatan (MOH) menyelaraskan piawaian keselamatan di seluruh institusi penjagaan kesihatan.

Selain langkah-langkah yang diambil di sekolah, hospital awam dan pertubuhan agama, Cik Sun berkata apabila terdapat “situasi di mana orang ramai dalam bahaya”, polis akan meningkatkan kekerapan rondaan dan melibatkan pihak berkepentingan untuk memperkukuh langkah keselamatan.

Cik Sun juga berkata masyarakat perlu bersedia dari segi fizikal dan psikologi untuk menghadapi serangan sebegini.

“Pada suatu ketika, saya berharap ia tidak berlaku, tetapi kita perlu bersedia sekiranya serangan itu berjaya. Dan apabila ia berlaku, adalah penting agar kita sebagai masyarakat kekal tabah dan bersatu,” katanya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg